Friday, March 1, 2013
Masa depan rakyat gemilang apabila Pakatan bawa harapan
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Bagi setiap orang ada malaikat yang sentiasa mengikutinya secara bergilir-gilir, baik di depan mahupun di belakangnya, mereka menjaga atas perintah Allah." - Al-Rad 13: 11
Bersyukur ke hadrat IIahi kita dipanjangkan usia dan diberi kesempatan bagi memuzakarahkan isu semasa; kali ini kita ingin menyentuh harapan rakyat berdasarkan Manifesto Rakyat oleh Pakatan Rakyat.
Jika ada bijak pandai menghuraikan demokrasi sebagai kuasa rakyat kepada rakyat, kita mendoakan kebangkitan rakyat kali ini terutama bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang disifatkan sebagai 'ibu segala pilihan raya' iaitu yang paling getir dalam sejarah negara, selepas itu akan menyaksikan tertubuhnya sebuah kerajaan yang menepati definisi bijak pandai itu - kuasa rakyat kepada rakyat.
Kita percaya Pakatan Rakyat sudah berada dalam laluan itu akan membuat yang terbaik untuk semua rakyat berdasarkan semangat yang sudah dilakar - Malaysia adalah negara berpotensi besar. Rakyatnya yang bersaudara gigih berusaha. Negara
dibina atas landasan agama dan akar budaya diikat oleh muafakat Perlembagaan.
Ya, sekaranglah masanya untuk mengakhiri keegoan kuasa golongan feudal yang bagaikan barah mengganas membaham rakyat sejak Merdeka lebih 50 tahun lalu. Cita-cita murni rakyat direncat oleh elit kekuasaan. Rasuah dan ketamakan membarah. Rakyat
dibiarkan dengan kepayahan hidup.
"Setiap daripada kita berhak mendapat yang terbaik. Pendidikan berkualiti, negara berkebajikan, peluang saksama dan pentadbiran beramanah menanti kita. Demi kita, demi rakyat, bersama-sama ubah sekarang untuk melakar masa depan Malaysia," demikian antara lain rumusan Manifesto Rakyat itu.
Juga dinyataan: "Malaysia yang ditadbir secara amanah dan rakyat yang makmur kehidupannya akan melahirkan sebuah masyarakat yang bermaruah. Masyarakat bermaruah adalah sebuah masyarakat yang yakin dengan asal-usulnya, berpegang dengan prinsip agama dan nilai sejagat yang membela yang benar dan menentang yang zalim, saling percaya akan hubungan persaudaraan setiap insan, gigih berusaha memperbaiki diri, yang kuat membantu yang lemah tiada yang terpinggir, berlumba-lumba mengagungkan budaya ilmu dan istiqamah pada usaha amar ma’aruf nahi munkar.
"Rekod pentadbiran kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat menjadi bukti iltizam kita terus membina kerajaan yang amanah demi memakmurkan rakyat. Pakatan Rakyat telah merakyatkan ekonomi. Jutaan penduduk Malaysia menikmati agihan kekayaan negara pada kala kekuatan kewangan negeri-negeri yang ditadbir terus digandakan. Pakatan Rakyat telah membudayakan amanah di dalam pentadbiran. Amalan rasuah dicegah dan laba dari pentadbiran beramanah ini disalurkan kembali untuk menjana kemakmuran rakyat."
Demikianlah keadaan gemilang digambarkan apabila kuasa berada di tangan rakyat. Rakyatlah penentu masa depan negara, bukan di tangan segelintir pemimpin kroni yang membahagi-bahagi kekayaan (daging) sesama puak sendiri dan bagi menutup pekung di dada melemparkan sedikit 'tulang' agar tidak 'disalak' rakyat. Dan apabila mereka tersepit seperti ketika PRU13 ini, maka lebih banyak lagi 'tulang' (atau hampas) dilemparkan kepada rakyat.
Namun kepada semua pemimpin, sukacita kita mengingatkan akan kata-kata bijak pandai yang menyebut 'power corrupts, absolute power corrupts absolutely'. Sehubungan itu kita benar-benar berharap agar rakyat akan sentiasa terbela melalui sikap besar pemimpin yang sedia dikritik termasuklah melalui saluran umum seperti media massa.
Memetik kata seorang pemimpin Pakatan yang bermaksud, "tidak guna kepemimpinan negara berubah, tetapi nasib rakyat tetap sama" marilah kita sama-sama berdoa bahawa masa depan gemilang yang diuar-uarkan itu akan menjadi milik semua rakyat!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment