Sunday, March 17, 2013
Cukuplah sudah agama, negara, bangsa dimalukan...
**********************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
**********************
Renungan
*********************
Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Perempuan yang memakai baju tetapi telanjang, dan dia memandang lelaki lain, dan membuatkan lelaki-lelaki lain terpandang kepadanya, maka perempuan ini tidak akan mencium bau syurga. Sedangkan syurga sudah pun boleh dibau dari jarak 500 tahun perjalanan.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
*************************
Ketika pertama kali kes l...t dihadapkan ke atas Timbalan Perdana Menteri (ketika itu), Anwar Ibrahim pada tahun 1998 yang kemudian laporannya diperbesar-besarkan oleh akhbar arus perdana yang biasa ditatap oleh murid-murid sekolah rendah, ramai murid bertanya kepada guru dan ibu bapa makna perkataan l...t itu. Demikianlah, betapa malu kita menerangkan kepada anak-anak. Ohhh, sungguh jijik isu yang diperbesar-besarkan oleh orang politik dan media massa kita.
**************************
Murid-murid sekolah rendah yang berusia kurang 12 tahun itu tidak faham, kini ramai daripada mereka sudah dewasa; ada yang sudah mempunyai jawatan tetap dan tinggi dan tak kurang juga sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak sendiri. Bayangkan sudah puluhan tahun berlalu, tetapi hari ini negara kita masih dibelenggu oleh permasalahan yang tidak sudah-sudah ini. Sepanjang pengetahuan kita, tidak ada negara yang berterusan memfokus hal seperti ini sehingga puluhan tahun lamanya.
****************************
Tuduhan l...t ini sudah cukup terlalu lama dan sungguh memalukan agama, bangsa dan negara kita. Cukuplah (enough is enough), bagi kita menanggung akibat daripada kebobrokan sistem dalam masyarakat kita. Sehubungan itu, bagi kita pengakuan bapa Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lasim yang memohon maaf dalam keceluparannya dalam isu ini sewajarnya dijadikan pembatas untuk kita menguburkan terus perkara yang sepatutnya tidak singgah dalam kehidupan kita sebagai seorang Muslim.
**************************
Kita amat dukacita apabila kes seperti dakwaan l...t ini dibicarakan luar daripada konteks kehendak Islam. Jelas sekali dalam menangani kes seperti ini Islam tidak diperlukan, lantas apakah maknanya kita meluangkan kecintaan kita kepada Rasululullah s.a.w. pada majlis-majlis khas yang kerap diadakan di negara kita seperti Maulidur Rasul? Saban tahun pada majlis-majlis seperti ini pemimpin akan beretorik, mengucapkan pesanan penuh syahdu seperti 'teladanilah Rasulullah s.a.w., nescaya kita akan selamat' atau pun 'Rasul adalah contoh ikutan'.
**********************************
Dengan mengetepikan hukum-hakam Islam, dan kemudian membabitkan diri dalam membuka keaiban orang dalam suasana paling jijik dalam sejarah, tidak malukah kita untuk terus mengaku bahawa kita cintakan Rasulullah s.a.w.? Pada ketika kita begitu hebat melakukan maksiat dengan menghina ajaran Rasul yang pada anggapan kita tidak layak membicara kes seperti l...t ini, bagaimana mulut kita boleh berkomat-kamit menyebut dan memuji-muji Rasul?
******************************
Tanyalah diri kita secara jujur, apakah perbicaraan dalam kes liwat ini mengikut kehendak Rasul? Andainya Rasul hidup dan menyaksikan apa yang berlaku ini, apakah baginda akan bersenang hati mendengar puji-pujian kita pada majlis Maulidur Rasul sebaliknya apa yang diajarkan baginda tidak diamalkan dalam kehidupan umatnya? Apa kata Rasul jika diberitahu ada pemimpin mengaku Islam tidak mahu kes ini dibicarakan mengikut undang-undang Islam. Malah mereka menghalangnya daripada dibicarakan di mahkamah syariah sebaliknya sibuk dengan sumpah laknat seperti dibuat oleh Saiful dan trio Dato' T.
*****************************
'Enough is enough' - kita berpendapat sudah terlalu lama kita menanggung azab di bawah rejim pemerintah sekarang, Umno-BN yang jauh terpesong daripada kehendak agama. Maka pada PRU kali ini, lakukan penghijrahan bagi membolehkan kita mendaulatkan Islam dengan segara hukum-hakamnya di negara tercinta ini.Kuburkanlah rejim yang telah merosakkan minda anak-anak muda kita yang kini sudah memasuki alam dewasa yang penuh dengan masalah kronik seperti pembunuhan, penipuan dan maksiat!
******************************
Kita benar-benar takut jika kita adalah hipokrit paling besar; mendabik dada mengaku cintakan Rasul, tetapi sebenarnya kita penghina ajaran baginda. Ramai daripada kita adalah kaki rasuah, perompak harta negara, pengamal riba dan pemakan duit haram daripada sumber judi dan arak, tetapi sungguh aneh pada sambutan Maulidur Rasul, kita terhegeh-hegeh menjerit memberitahu satu dunia bahawa kita cintakan Rasul.
********************************
Contohilah Rasul, jerit pemimpin tetapi merekalah yang ke depan memboloti harta negara, sedangkan Rasul jauh daripada kesenangan dunia. Rumah Rasul terlalu daif, biasanya dapurnya tidak berasap selama beberapa hari. Hari baginda berlalu tanpa tidak berlapar, pakaiannya bertampal, perabot beliau hanya katilnya yang kasar dan apabila meninggal dunia tidak meninggalkan harta. Tidakkah jeritan pemimpin membayangkan kemunafikan mereka!
**********************************
Alangkah baiknya jika aib (sekalipun dakwaan itu benar) orang ditutup rapat-rapat kerana keaiban diri sendiri pula ditutup oleh Yang Maha Kuasa. Untuk apa menghabiskan masa tua yang tinggal sebentar cuma itu menimbun dosa; sebaliknya memaksimumkannya untuk mencari bekalan sebanyak-banyaknya ke alam yang pangkat, kuasa, kemasyhuran dan duit serta emas permata tidak berguna lagi.
*********************************
Jika keaiban orang sengaja kita dedahkan, segala keburukan diri kita pula akan didedahkan bukan saja di dunia ini tetapi tersangat dahsyat di akhirat nanti di mana seseorang itu hanya mengharapkan perlidungan Allah SWT.
******************************
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, menyatakan: "Barang siapa melepaskan seorang mukmin daripada kesusahan hidup di dunia, nescaya Allah akan melepaskan darinya kesusahan di hari kiamat, barang siapa memudahkan urusan (mukmin) yang sulit nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Barang siapa menutup aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat..."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment