Friday, March 29, 2013
Sederhana itu cantik, melampau meloyakan...
**********************
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
**********************
Renungan
*********************
"Kerana itu ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) padamu, dan bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku." (Al-Baqarah 2: 152)
***************************
DULU sesekali saya tengok juga siaran berita di televisyen tetapi sejak akhir-akhir ini tiada lagi. Propaganda melampau dan murahan dalam siaran berita menyebabkan minat saya menjadi tumpul. Saya menjadi begitu meluat, loya...akhirnya saya membuat keputusan tidak mengikuti langsung siaran berita di TV.
*****************************
Malahan untuk menonton program televisyen pun saya tiada minat lagi. Apatah tidaknya, asyik-asyik disiarkan petikan ucapan tokoh tertentu, kemudian cerita kejayaan Bajet 2013, kemudian sketsa dengan lolongan lagu 'terima kasih', BR1M dan 'perkara sewaktu dengannya'.
*************************
Saya ingatkan saya seorang sudah 'loya' dengan siaran televisyen, rupanya ada orang tua yang berusia 70 tahun pun menyampah, demikian juga dengan anak-anak. Semuanya meluat sungguh dengan propaganda melampau dan episod masuk bakul angkat sendiri ini. Demikianlah sesuatu perkara melampau akan mengundang kesan negatif.
*****************************
Misalnya, adakah wajar selepas memberi bantuan RM500 kepada seseorang kita berterusan menguar-uarkan kebaikan kita itu? Bukan saja penerimanya akan meluat, orang yang mendengarnya juga berasa loya. Penerima yang kerap diasak dengan dendangan kebaikan itu mungkin akan berkata; "Lain kali tak bagi bantuan pun tak apa; tak ingin aku dengan duit kau tu!"
******************************
Berlainan dengan pendekatan melampau, sesuatu yang dilakukan secara sederhana (pemimpin sendiri menguar-uarkannya dengan istilah wasatiyyah) akan kelihatan cantik, sedap mata memandang. Ya, bertindaklah secara sederhana dalam segala bidang penghidupan, insya-Allah kita akan selamat bukan saja di dunia tetapi di akhirat.
**************************
Setiap insan dan pihak perlu menerima pandangan dan teguran. Dalam ruangan ini, kerap saya siarkan pandangan pembaca kerana bukan semua perkara yang saya utarakan itu betul. Mungkin pandangan dilontarkan pembaca adalah betul atau setidak-tidaknya kita dapat mendengar pandangan kedua, ketiga dan seterusnya dalam sesuatu isu itu.
***************************
Baru-baru ini melalui satu artikel dalam bahasa Inggeris di blog ini, saya ada menulis kritikan terhadap pemimpin dan masyarakat yang terlalu melampau 'mendewakan' Hang Tuah sehingga menamakan semula Masjid Duyong di Melaka sebagai Masjid Laksamana Hang Tuah. Saya membuat teguran, menyatakan Hang Tuah bukanlah peribadi Muslim yang baik sehingga namanya diabadikan pada sebuah rumah ibadat Allah. Buktinya dia 'menundukkan dengan ubat guna-guna',' menculik dan melarikan tunangan kerabat Pahang, Tun Teja untuk dipersembahkan kepada Sultan Melaka
****************************
Seorang pembaca mengirim maklumat, mengiyakan akan ketidakwajaran Hang Tuah disanjung secara melampau sehingga dibina sebuah perkampungan di atas namanya dengan kos RM132 juta manakala 'ada orang nak sembah kubur Hang Tuah'. Beliau mengirimkan selembar naskhah yang mengkisahkan hal Hang Tuah dengan Puteri Gunung Ledang yang nama sebenarnya Riangga.
***********************
"Riangga merupakan seorang penari istana Raja Majapahit yang kecantikannya diidamkan segala raja yang pernah melihatnya. Tariannya yang mempersona membuatkannya menjadi buruan.Namun, kasihan, Riangga telah diperkosa Bendahara Majapahit. Dia mendapat anak kembar, kedua-duanya puteri. Pada zaman itu anak penzina akan dibunuh. Walaupun Riangga diperkosa, anak-anaknya tetap dianggap anak zina. Riangga digilai Sultan Melaka yang taksub kepada wanita.
**********************
"Kononnya Hang Tuah bercinta dengan Puteri Gunung Ledang atau nama sebenarnya Riangga. Subhan-Allah, tidak benar. Hang Tuah hanya inginkan tubuh Riangga. Kesian Riangga, dahlah Bendahara Majapahit memperkosanya, Hang Tuah pula memperdayanya untuk mendapatkan tubuhnya.
*************************
"Masya-Allah, Hang Tuah sebenarnya manusia keji yang bertuhankan senjata. Dia tak ada apa-apa, kehebatannya hanya pada kerisnya yang dihuni oleh jin kafir bernama Taming Sari. Ya, Taming Sari ialah nama jin kafir yang menginap di dalam keris Hang Tuah. Jin pertama yang menginap di dalam keris. Dia harus dijamu darah, kalau tidak pemiliknya boleh jadi gila. Itu yang diagung-agungkan orang. Astaaghfirullah...."
*************************
Demikianlah secebis peribadi Hang Tuah yang dikirimkan seorang pembaca kepada saya. Terpulang kepada pembaca untuk membuat penilaian, namun apa yang ingin saya utarakan di sini adalah betapa pentingnya kita tidak terlalu melampau dalam tindak-tanduk kita dan dalam kes Hang Tuah ini 'mendewa-dewakannya' sehingga menamakan sebuah masjid berdasarkan namanya sedangkan peribadinya diragukan.
***********************
Jika Hang Tuah mewakili 'watak purba', berdasarkan perkembangan semasa adalah tidak wajar untuk kita 'mendewa-dewakan' atau mengangkat (membodek) sesetengah pihak atau pemimpin termasuklah melalui media massa seperti TV sehingga rakyat menjadi meluat dan menyampah dengan propaganda murahan termasuk slogan mengarut seperti 'dulu, kini dan selamanya'.
*************************
Ramai orang sudah loya dan tekak terasa nak muntah dengan propaganda murahan dan melampau ini. Hentikanlah atau rakyat 'memberhentikan sandiwara' kamu melalui pilihan raya!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment