Thursday, February 28, 2013

Usah jadi samseng, pemisah hidup-mati tersangatlah dekat...



Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)

HUJUNG minggu lalu seorang anak buah saya meninggal dunia. Ketika membantu menyempurnakan pengkebumian jenazah, terutama ketika menimbus kuburnya, insaflah saya bahawa keberadaan kita di atas dunia ini dan di bawah sana (dalam bumi) adalah tersangat dekat, jadi mengapa kadang-kala kita (termasuk penulis sendiri) begitu sombong dan samseng dalam menjalani kehidupan.

Sebagaimana sebuah iklan biskut menyebut "kejap ada, kejap tiada" - demikianlah hidup kita di dunia ini terlalu singkat untuk kita berbuat zalim termasuklah dalam berpolitik. Mengapa kita terlalu terkejar-kejar akan matlamat kita hendak mendapat 'segala yang dilihat sebagai keindahan dunia' sedangkan jika direnungkan bersungguh-sungguh dengan hati terbuka, apa yang kita buru itu  bukanlah benar-benar kita perlukan.

Saya terpanggil untuk menukilkan kembali kisah yang kerap diulang-ulang ini - perbualan seorang hartawan dengan doktor peribadinya dalam satu sesi rawatan. Bertanyalah si hartawan yang menderita pelbagai penyakit termasuk kencing manis itu, "Boleh saya makan daging?" "Tak," kata si doktor. "Ayam?" "Tak boleh." "Durian?" "Tak boleh." "Burger?" "Tak boleh." "Ketam?" "Tak boleh." "Udang?" "Tak boleh." "Kambing?" "Apa tuan nak..."

"Habis apa boleh saya makan?" laung si hartawan geram. "Tu biskut kering sana," kata sang doktor selamba.

Berlawanan dengan si hartawan, seorang lelaki pokai pula boleh 'baham' apa saja. Ayam, durian, rambutan semuanya boleh 'dirembatnya'. Pantang jumpa, namun masalahnya duitnya tidak sentiasa cukup pula untuk membeli makanan tersebut.

Demikianlah, dunia ini bukanlah kita punya untuk kita berdabik dada bangga termasuk dalam politik sehingga kita membenarkan matlamat menghalalkan cara (kaedah Machiavelli) termasuklah menggunakan kaedah samseng, almaklum kuasa berada di tangan kita yang berada di puncak.

Kadang-kala ketika duduk sendirian atau memandu kereta termenung panjang saya selepas menghayati lagu 'Terbang Helang' nyanyian Dato' Sharifah Aini yang berkumandang di corong radio; saya berpendapat ia sangat tepat untuk ditujukan kepada orang dan pihak sombong termasuklah diri penulis ini.

Terbang helang 

Di angkasa nan luas
Terbang sang helang bebas
Menebarkan sayapnya
Sungguh megah lagaknya
Helang mendabik dada
Membelahi angkasa
Dengan gaya perwira

Bila saja engkau menghampiri
 
Burung lain terbang lari
Kau merasakan dirimu gagah
Hak yang lain tak kau endah
Mengganas kau di angkasa
Dengan gaya perwira

Terbanglah engkau tinggi
 
Sampai ke mana lagi
Ingin engkau jelajahi
Sehingga kau terlupa
Yang tinggi jatuh jua
Bila tiba ketika
Kau ke tanah akhirnya

Usah kau lupa diri
 
Bahawa langit itu tinggi
Nanti lemas sendiri
Nanti lemas sendiri
Sebagai pengakhiran celoteh ini, saya siarkan e-mel seorang pembaca (Labah-labah) sebagai renungan bersama.

"Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh. 
Semoga tuan sekeluarga sentiasa dirahmati Allah SWT dan sihat walafiat dalam debaran musim pilihan raya. Saya sangat terkesan dengan celoteh tuan dan mohon agar diberi ruang untuk berkongsi pandangan dalam hal pemimpin perdana di tanah air tercinta ini.

Sejak 2006, apabila bersembang mengenai kes pembunuhan seorang warga Mongolia yang membabitkan penggunaan C4, setiap kali itu juga kumpulan kami akan menggeleng-gelengkan kepala lantas menamakan kes itu kes pembunuhan paling bengap dalam sejarah tanah air tercinta.

Kami dapat membayangkan aksi berguling-guling menekan perut kerana ketawa tidak terhingga si perancang dan pembunuh Mustakizah dan Norita. Kami akan mengulang lagi soalan yang sama. Mereka yang membunuh model Mongolia itu tidak pernah menyaksikan CSI? 

Kenapakah mereka tidak memasukkan mayat model Mongolia itu dalam tong dram, curahkan simen, tutup dan tolak tong dram itu ke dalam laut atau tasik? 

Kenapakah model itu mesti diletupkan? Dengan C4? Kenapakah model Mongolia itu diletupkan di dalam hutan simpan? Tidak di tengah laut? Apakah motif kedua-dua polis yang telah dituduh? Model Mongolia itu kekasih merekakah? Kenapakah mesti dipadamkan rekod imigresen model Mongolia itu?

Saya sangat berharap kepada pihak tuan agar terus menjadi jambatan informasi kepada masyarakat tanah air tercinta. Katakan kepada pemimpin perdana tersebut dan penasihat beliau, kami bukan masyarakat bodoh, dungu, kelabu asap, menganga di hadapan televisyen menelan apa saja sogokan berita kerajaan kini. 

Hentikanlah anggapan bahawa masyarakat terutama orang Melayu masih menyokong parti pemerintah. kami melaung kepada pemimpin perdana dan pengikutnya, bahawa puak jahil yang masih mendukung parti Pekembar adalah puak yang berkepentingan material.

Pakcik-makcik-datuk-nenek yang kononnya disanjung peranan mereka dalam peristiwa unjuk rasa Malayan Union dan 13 Mei serta suku-sakat Dr M masih berasa saat kematian masih belum tiba dan jauh lagi.

Buat semarak bangsa anak-anak muda yang mendapat pengalaman berharga di Pekan, Pahang, kami kirimkan lagu John Farnham - You're the Voice. (yang tidak akan disiarkan oleh radio/TV pemerintah). Kami sangat berbangga mempunyai generasi berani,seperti anda.

Buat tuan LanH, semoga pena bahasa sentiasa tajam menggegar rasa dan jiwa anak bangsa. Terima kasih. Wassalamualaikum warahmatullah." - Labah-labah

No comments: