Monday, February 18, 2013
Transformasi (perestroika) akhiri kuasa Umno-BN?
******************
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
*****************
Renungan
*******************
"Wafatkanlah aku dan keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang saleh." (Maksud Ayat 101 Surah Yusuf)
********************
KUASA besar dunia suatu ketika dulu, Kesatuan Soviet (USSR) tumbang selepas presiden terakhirnya, Mikhail Gorbachev memperkenalkan rancangan pembaharuan yang dinamakan ‘perestroika’ dan ‘glasnost’ pada akhir 1990-an.
************************
Pembaharuan inilah yang akhirnya menyebabkan Gorbachev sendiri tersingkir daripada jawatan presiden dan membuka laluan kepada kewujudan 15 negara baru termasuk Rusia yang dipimpin Presiden Boris Yeltsin (sudah mati) pada 1991.
************************
Apakah rancangan pembaharuan Gorbachev itu? Antaranya ialah membuka pintu Soviet Union kepada dunia Barat. Kesatuan Soviet akhirnya terdedah kepada ketidak-tentuan yang membawa kepada kemerdekaan republik-republik dalamnya dan akhirnya jawatan Gorbachev sendiri tercabar dan akhirnya beliau terpaksa menyerahkan jawatan kepada Yeltsin.
*********************
Di negara kita pula, Umno-BN pimpinan Najib Razak yang terdesak untuk melakukan pembaharuan semakin tersepit dengan parti-parti komponen berasaskan perkauman semakin disisihkan rakyat, bertindak melaksanakan pelbagai program transformasi termasuk dari segi politik.
**********************
Bercakap mengenai kuasa; jika Soviet Union yang perkasa itu akhirnya tumbang, di tanah air kita, apalah sangat dengan Umno-BN yang dianggap sesetengah pihak terlalu kebal untuk terlerai daripada kuasa.
*********************
Komunis Soviet yang melakukan penindasan paling dahsyat ke atas rakyat pun hanya mampu bertahan 70 tahun; tidakkah ia menunjukkan bahawa Umno yang mendominasi kuasa lebih 55 tahun juga berada dalam kedudukan sangat genting? Kata orang jika Tembok Berlin di Jerman pun boleh runtuh, apalah sangat ‘tembok perkauman’ Umno-BN?
***********************
Sekalipun Najib kini giat dengan program transformasinya, pelbagai pihak menyatakan Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah bagaikan Gorbachev yang membuka laluan kepada berakhirnya empayar terbesar dunia itu.
************************
Jika Gorbachev memulakan program pembaharuan perestroika dan glasnost, Abdullah melaksanakan pembaharuan di peringkat bawahan (rakyat) dengan salah satu slogan terkenalnya ‘bekerja bersama saya bukan bekerja untuk saya’. Abdullah juga terbabit dalam usaha penambahbaikan pasukan polis dan pencegahan rasuah dan sama seperti Gorbachev yang kehilangan kuasa, beliau juga turut disingkirkan oleh juak-juak yang tidak sabar berkuasa.
***********************
Pembaharuan tidak dapat dielakkan Gorbachev selepas kejatuhan satu demi satu negara blok komunis di Eropah Timur dan kini Umno-BN juga tidak dapat mengelakkan pembaharuan yang pantas melanda negara terutama dengan kemajuan dunia teknologi informasi dan komunikasi (ICT) yang menyaksikan satu demi satu ‘sandiwara’ dan ‘kebobrokan’nya termasuk dalam isu Bersih terdedah.
************************
Dalam kes Abdullah pula, selepas diasak kuat oleh tokoh dan orang dalam partinya sendiri, beliau menyerahkan jawatan walaupun hakikatnya beliau menang pada pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008. Tetapi prestasi kurang memberangsangkan Umno-BN pada pilihan raya itu selepas berlaku kebangkitan rakyat yang menyaksikan lima negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, menyebabkan Abdullah terlalu tertekan, lantas menyerahkan kuasa.
*************************
Gorbachev yang masih hidup (sekalipun isterinya Irina mati beberapa tahun selepas kehancuran Soviet Union) dapat menyaksikan detik-detik pedih kehancuran negaranya, tetapi bagaimanakah nasib Abdullah dan PM Keempat Dr Mahathir Mohamad agaknya? Masih sempatkah mereka menyaksikan kehancuran parti mereka, seterusnya gabungan perikatan BN dan akhirnya tertawannya Putrajaya di tangan pesaingnya?
***********************
Walau apapun dihadapinya, syabas diucapkan kepada Abdullah kerana beliau telah merintis jalan kepada kebangkitan rakyat. Kebangkitan rakyat ini bagaikan tidak dapat dibendung dan buktinya Pakatan Rakyat menang pada setiap kali pilihan raya kecil sehinggalah mereka digagalkan di Bagan Pinang oleh calon bernama Isa Samad yang kini dilantik sebagai peneraju Felda. Isa adalah liabiliti kepada Umno-BN kerana kes politik wang (rasuah)nya, sekali gus memudahkan Pakatan dalam usahanya ke Putrajaya.
***********************
Apabila Gorbachev tersingkir, Yeltsin cepat-cepat mengambil alih kuasa. Pengganti Abdullah, Najib Razak pun begitu, demikian juga Muhyiddin Yassin yang tidak sabar-sabar untuk ke jawatan nombor dua, kini dikatakan ke jawatan nombor satu. Namun kedua-duanya tidak dapat membendung kebangkitan rakyat yang sebenarnya sudah bosan berada dalam cengkaman Umno-Perikatan (BN) sejak lebih setengah kurun lampau.
************************
Namun kebosanan rakyat itu sebelum pilihan raya 2008, tidak dapat disalurkan kepada perikatan parti atau pihak yang dapat menyaingi Umno-Barisan Nasional. Ini kerana parti-parti saingan Umno-BN yang berjuang sendirian, jelas kelihatan tidak boleh digantungkan pengharapan.
**********************
Pakatan Rakyat hanya terbentuk selepas pilihan raya itu yang membabitkan kerjasama longgar PAS, KeADILan dan DAP. Namun selepas dilambung dan diuji badai dan samudera, pakatan itu kian mantap walaupun cuba digegar oleh Umno-BN dengan panahan beracun seperti isu kerajaan perpaduan Melayu, perbezaan perjuangan PAS-DAP dan sebagainya. Berdasarkan perkembangan semasa, INI KALILAH untuk rakyat mengakhiri kuasa monopoli Umno-BN selama 55 tahun seterusnya mara ke Putrajaya. Ingatlah, jika Soviet komunis boleh terlerai apalah sangat Umno-BN!
************************
Jika Gorbachev yang menerajui empayar paling hebat gagal menahan tumbangnya kuasa beliau di Kremlin, mampukah Najib dan sekutunya mempertahankan Putrajaya daripada jatuh ke tangan Pakatan.
******************************
Sewajarnyalah Najib dan rakan-rakannya belajar daripada Gorbachev dan Abdullah yang berundur secara baik bagi membolehkan peralihan kuasa berjalan secara aman dan lancar.
******************************
Jika Gorbachev dapat menerima kejatuhan itu dengan hati terbuka, lantas banyak menghabiskan masa tuanya di Amerika dan negara Barat lain (termasuklah ketika pemergian si isteri tersayang), tidak usahlah Najib menyebut-nyebut pasal bermandian darah atau berpisah nyawa daripada badan bagi mempertahankan kerusi empuk dan mahligai bergemerlapan di Putrajaya.
***************************
Mungkin adalah lebih baik merancang pemergian jauh-jauh bersama isteri tersayang ke UK, USA, Australia, New Zealand atau mungkin ke negara pewaris Soviet Union, Russia yang ditinggalkan Gorbachev!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment