Saturday, February 23, 2013
Mahu dihimpunkan bersama penyemarak tarian kuda di akhirat nanti?
****************
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
******************
Renungan
******************
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
*****************
SERONOK benar saya mendengar celoteh Tuan Guru dalam kuliah maghrib-isyak di sebuah masjid berhampiran rumah saya baru-baru ini. Beliau mensyarahkan punca iblis laknatullah binasa dan sebab Nabi Adam a.s. bahagia.
******************
Iblis jatuh celaka kerana dia tidak mengaku sudah berbuat dosa, tak sedih selepas melakukan dosa, tak mencela diri sendiri, tidak ada niat serta azam bertaubat dan putus asa atas rahmat Allah. Ringkasnya iblis sombong dan takabur.
*****************
Sebaliknya Nabi Adam a.s. berbahagia sebab mengaku buat silap, segera bertaubat, tidak putus asa, tawaduk lantas menjadi makluk pilihan.
*****************
Nabi Adam a.s. tersilap melanggar perintah Tuhan dengan memakan buah kuldi. Kesilapan itu antara lain disebabkan oleh desakan dan rayuan isteri baginda, Hawa. Namun selepas dikeluarkan daripada syurga, Nabi Adam a.s. tak pun salahkan isterinya. Dia tidak berkata, “ini semua kau punya pasallah Hawa!”
*********************
Tetapi Nabi Adam a.s. salahkan dirinya sendiri. Baginda bertaubat bersungguh-sungguh. Dia tidak berputus asa, taubatnya bukan setahun dua tetapi puluhan tahun. Akhirnya taubatnya diterima Allah, maka berbahagialah dia dan isterinya Hawa sehingga ‘membenihkan’ zuriat yang kini dinamakan manusia.
*********************
Adam a.s. mengaku silap dan memohon keampunan Allah SWT sekalipun baginda seorang Nabi. Berhubung topik Nabi Adam a.s. secara kebetulan Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ruangan Tafsir al-Qurannya dalam Harakah Bilangan 1819 (18-21 Februari 2013) yang mengulas perkara yang sama antara lain menulis: “Qotadah berkata, Adam a.s. merayu kepada Allah SWT: ‘Wahai Tuhanku, apakah pendapat-Mu jika aku bertaubat dan minta ampun dengan-Mu atas keterlanjuran aku lakukan sebelum ini’?”
**********************
Allah berfirman: “Kalau begitu Aku akan masukkan engkau ke dalam syurga (semula suatu hari nanti.” Adapun iblis, dia tidak pernah bertaubat kepada Allah SWT selepas insiden perintah sujud hormat kepada Adam a.s. Kerjanya hanya menghasut anak Adam a.s. supaya mereka sesat sebagaimana dirinya sesat.
***********************
Nah, jika Adam a.s. mencela diri baginda dan tidak salahkah orang lain (isterinya); bagaimana pendirian pendirian dan sikap diri kita termasuk pemimpin dalam menangani kesilapan yang sudah kita lakukan? Kebanyakan daripada kita mencari kambing hitam dalam hal yang sepatutnya kita bertanggungjawab atau dipertanggungjawabkan.
**********************
Dalam rumah tangga misalnya, si suami asyik menyalahkan si isteri jika anak-anak bermasalah; jarang benar dia mengaku tersilap lantas mencela dirinya sendiri seterusnya bertaubat. Begitu juga dalam negara, pemimpin asyik salahkan pihak lain jika berlaku masalah sedangkan ikhtibar daripada kisah Nabi Adam a.s., baginda tak salahkan sesiapa pun tetapi salahkan diri sendiri lantas bertaubat kepada Allah SWT.
**********************
Negara kita kini dilanda masalah sosial tenat – daripada kes pembunuhan yang menjadi-jadi kepada kegiatan samseng parti politik – namun pemimpin tidak melihat apatah lagi mengaku bahawa perkara menyimpang ini puncanya terletak di tangan mereka. Apa yang berlaku dalam masyarakat adalah cerminan kehidupan pemimpin. Jika pemimpin baik, insya-Allah rakyatnya akan baik, begitulah sebaliknya.
*********************
Dikatakan pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz yang amat warak, negara begitu aman damai sehinggakan serigala boleh menggembala kambing! Kutipan zakat sukar diagihkan kerana hampir tiada orang berhak menerimanya.
********************
Namun begitu jika pemimpin berperangai ‘macam syaitan’, rakyat lagi teruklah keadaannya. Kata pepatah Melayu, bapa borek anak rintik atau guru kencing berdiri anak murid kencing berlari.
**********************
Pemimpin mempunyai saham dalam cara hidup negatif ini, jadi usahlah mereka menuding jari kepada pihak lain seperti menuduh pembangkang kerana apabila mereka berbuat begitu, tiga lagi jari menuding ke arah mereka sendiri. Insaflah kuasa kini di tangan awak bukan pembangkang!
*********************
Ambil contoh semasa, pemimpinlah yang menyuburkan budaya berhibur dalam masyarakat sehingga seorang pembesar sanggup merendahkan martabatnya untuk menyertai rakyat menyaksikan tarian gangnam (kuda) oleh artis luar Psy dan bagi membolehkan hal ini berlaku jutaan ringgit terpaksa dihabiskan. Tak kiralah siapa membuat pembiayaan, hakikatnya rakyat mahu dilekakan dengan perkara yang jelas tiada kepentingan.
*********************
Jika seseorang pemimpin tidak bijak membuat penilaian apa yang baik (menguntungkan) dan tidak baik (tidak menguntungkan) bagi dirinya dan orang dipimpinnya di sisi Allah SWT apatah lagi untuk mengaku kesilapannya dan bertaubat seperti dilakukan oleh Nabi Adam a.s., maka apakah sewajarnya dia terus dimartabatkan sebagai pemimpin?
**********************
Perkara ini amat membahaya dan merugikan orang bawahan kerana di akhirat kelak seseorang itu akan dikumpulkan bersama orang dikasihinya termasuk pemimpin. Bertanya dan jawablah secara jujur kepada diri kita sendiri apakah di akhirat nanti kita mahu dikumpulkan dengan pemimpin yang menyemarakkan tarian kuda atau kita mahu menyertai pemimpin yang mengajak kita kepada pengamalan ajaran Islam sepenuhnya dalam kehidupan?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment