Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)
TAHAP kesabaran orang sekarang mungkin sudah hampir punah. Tidak lama dahulu, seorang pemandu treler melanggar belasan kereta yang dipakir berhampiran Stadium Hang Jebat, Melaka kerana mahu cepat keluar daripada kesesakan bagi menyelesaikan tugasnya.
Menatap berita akhbar, sedarlah kita betapa semakin ramai orang sudah hilang kesabaran mereka. Bayi dicampak dari tingkat 16 flet, peguam terjun dari tingkat 7, anak tikam bapa, dan bapa pukul guru adalah antara laporan yang kita baca. Persoalannya, apa sebenar sudah berlaku kepada masyarakat kita?
Bagi mencari jawapan kepada persoalan ini, usahlah kita pergi jauh...saya merujuk kepada diri saya sendiri. Baru-baru ini ibu saya masuk wad Hospital Melaka; lebih seminggu lamanya. Setiap hari saya mengunjunginya, antara masalah terbesar pelawat adalah mendapatkan pakir.
Pada waktu puncak terutama tengah hari, untuk mendapatkan pakir, pengunjung perlu 'berpusing-pusing' keliling hospital, mengharapkan ada pemandu kenderaan mahu mengosongkan tempat mereka.
Suatu hari saya 'berpusing-pusing' beberapa kali, kepala sudah pening dan 'darah sudah naik'. Peluh sudah memercik dari tubuh saya sekalipun pendingin udara kereta dipasang pada tahap maksimum.
Saya nampak ada ruang kosong; saya cuba pakir di tempat sempit itu. Sekejap saja , entah dari mana pengawal lalu lintas hospital sudah sampai; dia meniupkan wiselnya mengarahkan saya pergi. Saya yang 'dah naik darah', 'mendidih' pula hati saya.
Mahu saya 'gelek' saja pengawal itu...tetapi bersabarlah, bersabarlah, bersabarlah, pujuk hati saya. Hati saya berkata: "apalah kau ni, nama saja belajar agama sana sini, tetapi apabila diuji kau gagal." Saya pun 'blah' dari tempat itu, mencari tempat teduh yang jauh dari hospital, beristighfar sambil-sambil cuba mengingati firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang sabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab."
Dari kejauhan saya melihat hospital tersergam 'gah', namun terfikir di benak saya, hospital hanyalah tempat untuk merawat penyakit fizikal misalnya orang yang mengalami permasalahan hati dan jantung boleh dirawat di situ tetapi apakah boleh orang yang hatinya rosak dari segi rohani dirawat di situ?
Ya, apa yang dapat disaksikan sekarang ini, terlalu ramai anggota masyarakat yang hati mereka sudah rosak atau mati. Disebabkan hati rosak inilah makin ramai orang hilang sabar, maka terjadilah kejadian seperti sengaja melanggar kenderaan lain, menikam bapa sendiri atau menampar guru.
Hati rosak membawa pelbagai penyakit seperti pentingkan diri, tamak, berasa gagah dan sombong. "Malangnya," kata seorang ustaz yang saya ikuti kuliah mingguannya, "tidak ada hospital untuk merawat hati yang rosak."
Kata sang ustaz, tidak ramai orang sedar hati mereka sudah rosak; namun jika kita mahu mengusahakannya pergilah menuntut ilmu (hadiri tazkirah), membaca al-Quran dan memahami maknanya, bangun pada sepertiga malam untuk bersolat dan bermuhasabah diri dan mendekati guru mursyid. Guru ini akan mendedahkan sifat buruk dalaman kita dan bersama-samalah kita berusaha membaikinya.
Subhanallah, wahai pembaca, kita tiada hospital bagi membaik pulih hati yang rosak apatah lagi yang sudah mati. Sebaliknya kita sendiri dituntut untuk membaiki diri seperti bermujahadah bagi membersihkan diri daripada sifat-sifat terkutuk yang apabila terzahir akan berlakulah kejadian seperti merosakkan harta awam dan mencederakan orang lain seperti menampar guru. Ya, kata orang-orang tua; 'ikut hati mati, ikut rasa binasa...'
Kita perlu berilmu untuk mengetahui kedudukan nafsu kita daripada yang terbawah, 'ammarah', membawa kepada 'lauwammah', 'mulhamah', 'muthmainnah', 'radliyah', 'mardliyah' and 'kamilah' yang hanya dimiliki oleh pilihan Allah SWI seperti rasul-rasul-Nya.
Mengapai nafsu 'muthmainnah' sudah dikira terbaik kerana dalam Surah Al-Fajr (ayat 27-30), Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang reda dan diredai-Nya, maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku."
No comments:
Post a Comment