Friday, January 28, 2022

Jamadilakhir 25, 1443: Azan, iqamah sudah, solatnya (mati) bila?...(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 


BAHARU-BAHARU ini terpesona saya mendengar seorang ustaz membuat huraian mengenai kehidupan dalam tazkirahnya di sebuah masjid berhampiran rumah saya.


Antara lain katanya, tempoh kehidupan kita terlalu singkat, jadi mengapa terus leka. Ya ramai daripada kita perasan nak hidup 'dulu, kini dan selamanya'.


Dulu, ketika dilahirkan kita sudah 'dibangkan' (diazankan) di sisi telinga kanan kita diikuti 'dikamatkan' (iqamah) di sisi telinga kiri. Kata sang ustaz, kalau azan dan iqamah sudah, bila solat akan dilangsungkan?


Biasanya, kata sang ustaz, tempoh waktu antara azan dan iqamah adalah antara 5-10 minit tetapi sebaik saja iqamah 'dilaungkan' oleh bilal, solat akan didirikan dengan segera. Tiada tempoh menunggu lagi.


Demikianlah bandingan kehidupan seseorang manusia. Dia sudah diazan dan diiqamahkan, menunggu masa saja untuk disolatkan (solat jenazah). Tentunya kehidupannya di dunia adalah tersangat pendek, jadi masih ada waktukah untuk terus berleka?


Ya apabila semakin tua diri ini, semakin terasa pula terlalu sikit bekalan untuk dibawa ke alam sana. Kadang-kadang terasa cemas di hati, diri ini sebenarnya tiada apa-apa bekalan untuk dibawa ke sana. Ringkasnya diri ini sebenarnya 'tiada apa-apa'.


Seorang ustaz lain kuliah dwi-bulanan di sebuah masjid berhampiran rumah saya, berkata 'orang yang hidup hatinya', ada yang mula 'menggulung tilam' mereka sebaik saja memasuki umur 40 tahun seterusnya 'membuat pecutan' terakhir sebelum ajal menjemput mereka.


Apakah makna 'menggulung tilam' itu? Ustaz membawa kisah Umar Abdul Aziz (hidup pada 682-719 Masihi) iaitu salah seorang khalifah Bani Umaiyah yang juga dianggap Khalifah Al-Rasyidin yang kelima selepas Abu Bakar r.a., Umar al-Khattab r.a., Uthman Affan r.a. dan Ali Abu Talib k.w.j. yang mengungkapkan kata-kata tegas penuh ketakutan kepada Allah SWT kepada isterinya, Fatimah selepas dilantik khalifah yang kerajaannya terbentang dari Lautan Atlantik di barat ke India di sebelah timur dalam usia 35 tahun.


Umar berkata dia tak ada masa lagi untuk berseronok-seronok dengan anak isterinya, masa yang ada termasuk waktu tidurnya di atas tilam empuk dalam istana indah, perlu dikorbankan seluruhnya untuk Allah SWT termasuk melayan keperluan rakyat. Kalau isterinya bersedia menjalani kehidupan begitu berpanjanganlah jodoh mereka, jika tidak suka, dia sedia menceraikannya "dan kamu carilah lelaki lain yang boleh membahagiakan kamu." 


Sungguh Umar Abdul Aziz telah menjalankan pemerintahan dengan penuh ketakutan kepada Allah SWT sehinggalah dia meninggal dunia dua setengah tahun kemudian dalam usia 37 tahun. Sungguhpun pemerintahannya tersangkat singkat, keadilannya disanjung Timur dan Barat, membolehkan namanya diletakkan sebaris dengan khalifah Al-Rasyidin yang empat.


Khalifah Umar Abdul Aziz telah 'menggulung tilamnya' sebelum berusia 40 tahun (baginda meninggal dalam usia 37 tahun) tetapi adakah kita ini (termasuk sayalah tu) yang telah tua ini (melebihi setengah abad itu) masih mahu berleka-leka dengan kehidupan dunia yang singkat ini? 


Masa yang berbaki terlalu pendek tetapi apa yang telah kita buat?  Ya, bagi diri ini nampaknya tiada apa yang saya sudah buat kerana masih leka dan lalai.


Jika kita menyumbang sesuatu untuk agama kita, ia mungkin kecil di sisi kita dan manusia tetapi percayalah jika dilakukan ikhas semata-mata kerana-Nya, insya-Allah kita akan melihat hasilnya, termasuk di dunia lagi. 


Amat-amatilah kisah si burung kecil yang berusaha memadamkan api besar yang dinyalakan untuk membakar Nabi Ibrahim a.s. dengan membawa air di paruhnya; usahanya mungkin dilihat kecil oleh makhluk tetapi besar di sisi-Nya. Hendaklah kita menjadi seperti burung itu yang tidak meminta jasanya dikenang tetapi hanya mengharapkan reda Illahi.


Akhir sekali sebagai insan yang menumpang di bumi-Nya (ada hadis menyebut kita di dunia ini ibarat seorang musafir yang menumpang teduh dan melepas lelah di bawah sebatang pohon sebelum berangkat pergi), janganlah sesekali lupa bahawa diri kita ini sudah diazankan dan diiqamahkan, hanya menunggu masa untuk disolatkan..

No comments: