Sunday, January 16, 2022

Jamadilakhir 14, 1443: Pemisah hidup-mati tersangat dekat...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


TIDAK lama dahulu seorang anak buah saya meninggal dunia. Ketika membantu menyempurnakan pengkebumian jenazah, terutama ketika menimbus kuburnya, insaflah saya bahawa keberadaan kita di atas dunia ini dan di bawah sana (dalam bumi) adalah tersangat dekat, jadi mengapa kadang-kala kita (termasuk penulis sendiri) begitu sombong dalam menjalani kehidupan.


Sebagaimana sebuah iklan biskut menyebut "kejap ada, kejap tiada" - demikianlah hidup kita di dunia ini terlalu singkat untuk kita berbuat zalim termasuklah dalam berpolitik. 


Mengapa kita terlalu terkejar-kejar akan matlamat kita hendak mendapat 'segala yang dilihat sebagai keindahan dunia' sedangkan jika direnungkan bersungguh-sungguh dengan hati terbuka, apa yang kita buru itu  bukanlah benar-benar kita perlukan.


Saya terpanggil untuk menukilkan kembali kisah yang kerap diulang-ulang ini - perbualan seorang hartawan dengan doktor peribadinya dalam satu sesi rawatan. Bertanyalah si hartawan yang menderita pelbagai penyakit termasuk kencing manis itu, "Boleh saya makan daging?" "Tak," kata si doktor. "Ayam?" "Tak boleh." "Durian?" "Tak boleh." "Burger?" "Tak boleh." "Ketam?" "Tak boleh." "Udang?" "Tak boleh." "Kambing?" "Apa tuan nak..."


"Habis apa boleh saya makan?" laung si hartawan geram. "Tu biskut kering sana," kata sang doktor selamba.


Berlawanan dengan si hartawan, seorang lelaki pokai pula boleh 'baham' apa saja. Ayam, durian, rambutan semuanya boleh 'dirembatnya'. Pantang jumpa, namun masalahnya duitnya tidak sentiasa cukup pula untuk membeli makanan tersebut.


Demikianlah, dunia ini bukanlah kita punya untuk kita berdabik dada bangga termasuk dalam politik sehingga kita membenarkan matlamat menghalalkan cara (kaedah Machiavelli) termasuklah menggunakan kaedah samseng, almaklum kuasa berada di tangan kita yang berada di puncak.


Kadang-kala ketika duduk sendirian atau memandu kereta termenung panjang saya selepas menghayati lagu 'Terbang Helang' nyanyian Allahyarham Dato' Sharifah Aini yang berkumandang di corong radio; saya berpendapat ia sangat tepat untuk ditujukan kepada orang dan pihak sombong termasuklah diri penulis ini.


Terbang helang

Di angkasa nan luas

Terbang sang helang bebas

Menebarkan sayapnya

Sungguh megah lagaknya

Helang mendabik dada

Membelahi angkasa

Dengan gaya perwira


Bila saja engkau menghampiri

Burung lain terbang lari

Kau merasakan dirimu gagah

Hak yang lain tak kau endah

Mengganas kau di angkasa

Dengan gaya perwira


Terbanglah engkau tinggi

Sampai ke mana lagi

Ingin engkau jelajahi

Sehingga kau terlupa

Yang tinggi jatuh jua

Bila tiba ketika

Kau ke tanah akhirnya


Usah kau lupa diri

Bahawa langit itu tinggi

Nanti lemas sendiri

Nanti lemas sendiri


Benar orang 60+ seperti saya, sudah berada di ambang kematian, persoalannya bagaimana anak-anak (generasi baharu) yang ditinggalkan. Dalam melayari kehidupan, adalah amat malang jika seseorang anak sama ada mereka berjaya dalam kerjaya atau tidak, bersikap sombong kepada ibu bapa sendiri. 


Saya ada membaca buku bertajuk ‘Air Mata Ibu’ (terbitan BSP) karya Norani Abd Hamid yang memaparkan sikap derhaka sesetengah anak. Mereka bagai helang bongkak terbang gagah mencari mangsa di angkasa sedangkan dahulunya 'tidak ada apa-apa'.


Apabila membaca kisah-kisah sedih mengenai nasib ibu yang dipaparkan penulis, perasanlah saya bahawa dalam banyak kes bukan seseorang anak itu menjadi sombong sejak azali tetapi dibentuk demikian. 


Antaranya, mereka menjadi sombong dan derhaka kerana pengaruh isteri (mahukan kehidupan mewah dan benci ibu mentua), kawan (terbabit dalam dunia dadah) dan pesona kehidupan duniawi. Kisah terbanyak dipaparkan adalah pengaruh isteri di atas kederhakaan seseorang anak.


Ya, ketika baharu memulakan hidup seperti melangkah menceburi dunia pekerjaan, insya-Allah kebanyakan anak-anak ‘baik-baik’ belaka, tetapi selepas berumah tangga dan meniti kejayaan demi kejayaan dan terpaksa mengharungi desakan hidup seperti kesuntukan masa dalam membina kerjaya dan kepenatan membesarkan anak-anak dan ditimbuni hutang piutang, dikhuatiri sedikit demi sedikit mereka mula menyisihkan ibu bapa masing-masing. 


Apatah lagi jika pasangan masing-masing adalah daripada ‘jenis sombong bodoh’, pengaruh mereka akan membuatkan si anak lupakan daratan. Kata orang, kerana isteri yang cantik punya hal, ibu bapa pun ditolak ke tepi. Itulah kisahnya yang dipaparkan melalui buku yang saya baca itu seperti ‘Si Tanggang Moden’, ‘Ikut Telunjuk Isteri’ dan ‘Buang Ibu di Rumah Kebajikan’. Si Tanggang dulunya adalah ‘anak ibu’ (anak baik) tetapi selepas berjaya dalam pelayaran dan memperisterikan wanita hartawan, tidak mahu mengaku ibunya sendiri.


Demikianlah kita berdoa bersungguh-sungguh agar anak-anak dijauhkan diri daripada sifat Si Tanggang itu (mulanya baik tetapi berakhir dengan menderhaka kepada ibu bapa sendiri) semata-mata kerana diri mula diulit dengan harta dunia, pasangan (isteri atau suami) cantik atau kacak, kemasyhuran dan kuasa. 


Jadi pada pandangan hamba yang daif ini, adalah penting untuk mengingatkan generasi muda sentiasa berbakti kepada orang tua sepanjang hayat mereka malah selepas kematian seperti mendoakan dan berbakti atas nama mereka. Ya, jangan sombong seperti helang di angkasa, sebaliknya praktikkan ajaran agama kerana pemisah hidup dan mati tersangat dekat. Orang tua mati, orang muda pun mati!


No comments: