Friday, March 27, 2020

Tanah Suci 12: Bersemangat menjejaki Gua Thur

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

PERJALANAN ke Tanah Suci Makkah pada musim haji lalu sungguh memberi banyak pengalaman dan antara peristiwa yang masih segar dalam ingatanku adalah pengalaman mendaki Bukit (Jabal) Thur dan memasuki Gua Thur tempat Rasulullah s.a.w. bersembunyi ketika dicari oleh orang Musyrikin Quraisy.

Aku, suamiku dan jemaah kami sampai di Makkah 10 hari sebelum Hari Arafah, dan pada hari ketiga, ustaz yang memandu kami membawa kami menziarahi bandar Makkah, Padang Arafah, Mina, Mudzalifah, lokasi Bukit Thur dan Bukit
Nur tempat Gua Hira.

Dalam kunjungan singkat inilah sebahagian daripada ahli jemaah kami membuat permintaan untuk memanjat bukit-bukit tersebut melihatkan ramai jemaah dari negara lain yang berbuat demikian.

Atas permintaan ini, ustaz bersetuju untuk menemani beberapa jemaah yang
ingin mendaki, dua minggu selepas ibadat haji sempurna, jika diizinkah Allah.

Pada hari yang dicadangkan, jemaah kami seramai sembilan orang bertolak dari hotel jam 8.00 pagi.

Dengan pakaian biasa, jemaah kami pun menaiki sebuah van. Selepas
perjalanan kurang 20 minit, van itu pun sampai di kaki bukit.

Masing-masing jemaah membawa bekalan air minuman dan tidak membawa
beg untuk kurangkan bebanan. Masa pendakian adalah satu jam setengah
untuk sampai ke puncak dan 40 minit untuk turun kembali.

Aku sebenarnya bukanlah 'fit' untuk memanjat, kerana ketika di Malaysia, aku
tidak pernah memanjat bukit setinggi ini.

Suamiku agak tidak yakin dengan keinginanku, tapi aku meyakinkannya bahawa insya-Allah aku boleh. Sebelum memanjat, aku memandang ke puncak bukit.

"Aduh! tingginya...," hatiku tertanya-tanya sama ada aku mampu atau tidak. Mulanya aku bercadang untuk tidak memanjat kalau ada orang yang tunggu di bawah, tapi sangkaanku meleset kerana tiada sesiapa pun yang tunggu di
bawah bukit kerana yang datang ke situ semuanya memang berhajat untuk mendaki.

Hatiku terubat apabila melihat beberapa wanita berusia melebihi 50 tahun dari Turki menggagahkan diri memanjat, dan aku pasti aku juga boleh jika wanita itu boleh.

Aku pun melangkah perlahan-lahan dengan ucapan yang tidak putus-putus memohon pada Allah "Ya Allah, tiada daya dan upayaku melainkan dengan
izin-Mu jua..."

Tanah Bukit Thur adalah kering-kontang, berbatu-batan dan berpasir. Pendakian agak mudah kerana sudah ada laluan hingga ke atas.

Belum sampai 20 minit aku memanjat, aku sudah tercungap-cungap dan aku berhenti setiap 10 minit untuk berehat dua hingga lima minit hinggalah sampai
ke puncak.

Ustaz yang memandu kami sungguh sabar menunggu semua jemaah sampai dalam masa yang agak sama dan sebelum kami sampai ke puncak, beliau mengatakan 'sikit lagi...' beberapa kali, tapi tak sampai-sampai.

Aku kuatkan semangatku walaupun hanya Allah tahu betapa penatnya aku
ketika itu.

Dalam hati, aku pujuk diriku untuk merasai betapa sukarnya laluan Asmah
Abu Bakar dahulu ketika membawa bekalan kepada Rasulullah s.a.w., dan
betapa tabah Rasulullah s.a.w. menghadapi kesulitan dalam pendakian baginda.

Dan akhirnya, aku sampai ke puncak dengan penuh kesyukuran. Dan tiba-tiba
aku tidak merasa kepenatan seperti tadi apabila tiba di hadapan pintu Gua Thur. Aku merasai suatu kepuasan yang tidak dapat aku ceritakan.

"Apakah aku sebenar-benarnya sudah sampai ke puncak? Atau aku bermimpi? Maha Besar Kekuasaan-Mu Ya Allah yang telah mengizinkan aku sampai ke
tahap ini."

Pintu gua dipenuhi jemaah yang beratur untuk masuk ke dalam gua dan aku ke kanan pintu gua tersebut. Di sana ada tempat yang boleh kami duduk, dan ada sebuah pintu kecil yang dapat memuatkan seorang untuk memasukinya.

Jemaah kumpulanku masuk seorang demi seorang termasuk suamiku. Aku menunggu hingga tiada orang yang hendak masuk dan akhirnya alhamdulillah, memang ia kosong seolah-olah menantiku.

Aku meminta izin suamiku yang sudah keluar dari gua untuk aku masuk, dan dia membenarkan aku menuruni pintu kecil itu. Apabila tiba di dalam gua, aku
merasa begitu takjub dan aku berbisik sendirian "Ya Allah, inikah tempat persembunyian Rasul-Mu, di mana orang Quraisy berlegar-legar di luar pintu mencari nabi-Mu..."

Gua itu agak gelap, tetapi masih ada cahaya yang memasukinya, dan aku
berjalan itik di dalamnya dan sekejap lepas itu aku sampai ke pintu gua dan membongkok untuk keluar.

Satu kepuasan yang tidak dapat aku lahirkan melainkan mengucap kesyukuran dan terima kasih kepada Allah kerana nikmat ini.

Selepas itu, jemaah kami mendengar sedikit sirah daripada ustaz dan kemudian kami menuruni bukit sambil bertasbih, bertahmid dan bertakbir perlahan-lahan.

Sampai di kaki bukit, aku menoleh lagi ke atas bukit dan aku terus berkata-kata
di dalam hatiku bahawa aku akan merinduimu wahai Bukit dan Gua Thur.

Sebenarnya kerinduan inilah yang menguatkan aku untuk menulis kisah ini
untuk mengabadikan kata-kata rinduku dulu. - UMMU HASAN

***Kirimkan artikel anda kepada LanH di Lanh14@gmail.com


No comments: