DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. - Maksud ayat 1-3 Surah Al-Asr
MENJADI tetamu-Nya adalah ibarat mimpi yang cukup manis walaupun dulu ramai yang mengajak ke Tanah Suci, tetapi saya belum tergerak hati untuk ke sana.
Kalau bukan kerana ditimpa musibah yang cukup mencabar kesabaran hati, mungkin hati saya belum terbuka untuk menunaikan umrah.
Tuhan Maha Kaya, perasaan bagai tidak sabar-sabar untuk mengunjungi Tanah Suci sejak hari pertama mendaftar di agensi. Hati saya turut berdebar dan gelisah menjelang 'tarikh keramat' itu.
Kami ke Kuala Lumpur sehari sebelum berlepas kerana perlu mengikuti kursus umrah yang dianjurkan oleh agensi berkenaan.
Semasa mengikuti kursus di pejabat agensi, kami diberitahu tiket penerbangan belum diperolehi walaupun visa sudah diluluskan.
Malah ada jemaah yang tidak mendapat visa walaupun tiket penerbangan telah ditempah.
Sekalipun berbekalkan janji agensi yang akan berusaha mendapatkan tiket untuk penerbangan pada keesokan harinya, kami tetap resah. Kami berdebar-debar menunggu, dapatkah kami mengunjungi Baitullah agaknya.
Selesai menunaikan sembahyang sunat di hotel, saya terus melelapkan mata sambil berdoa kami dapat berlepas keesokan harinya.
Sesuatu yang tidak diduga pada malam itu, saya bermimpi berjumpa Nabi s.a.w. dan memberi salam kepada Baginda.
Baginda menanti sesiapa lagi yang akan memberi salam kepada Baginda. Peristiwa mimpi itu menyakinkan diri saya bahawa kami pasti dapat mengunjungi Baitullah dan menziarahi makam Nabi s.a.w. di Madinah.
Seperti yang dijangka, keesokan harinya kami dimaklumkan tiket penerbangan berjaya diperolehi dan kami akan berlepas pada jam 3.00 petang.
Saat pertama kali menjejak kaki di bumi Madinah dan memandang Masjid Nabawi, hati begitu sukar digambarkan seperti yang selalu diceritakan oleh mereka yang pernah ke sana.
Perasaan gembira, sedih dan sayu bercampur menjadi satu. Betapa pilunya hati ketika menziarahi makam Nabi s.a.w. Air mata mengalir deras pada saat kaki melangkah meninggalkan makam yang kaku itu, kerana masa tidak mengizinkan. Kami kemudian berangkat ke Makkah pula.
Perjalanan ke Tanah Suci Makkah berjalan lancar. Selesai membawa beg-beg ke bilik dan makan tengah hari, kami dibawa ke Masjidilharam untuk menyelesaikan umrah wajib.
Maha Suci Allah kerana diberi peluang jua akhirnya menjadi tetamu-Nya.
Pengalaman tawaf buat pertama kalinya sukar digambarkan dengan kata-kata. Matahari yang memancar terik tidak terasa sangat bahangnya. Hari berikutnya, kami bebas mengerjakan umrah sunat dan memperbanyakkan ibadat.
Di Masjidilharam saya terlihat beberapa ekor kucing dekat telaga Zamzam. Saya cuba membelai kucing-kucing berkenaan kerana memang sukakan haiwan itu.
Malangnya apabila dipanggil, ia hanya mengiau dari jauh. Semuanya sihat-sihat belaka dan sungguh comel sekali seperti kucing Friskies.
Suatu ketika selepas sembahyang Maghrib, seekor kucing yang sedang berkeliaran tiba-tiba membuang air kecil di atas beg tangan seorang jemaah dari Malaysia yang diletakkan di hadapan beliau.
Kami terdiam melihat peristiwa tersebut dan berasa tidak senang hati. Apa agaknya hikmah di sebalik peristiwa itu hanya Allah yang tahu.
Dalam perjalanan ke Makkah dari Madinah dulu, saya tertidur kerana mengantuk yang amat sangat. Lagipun musim panas memendekkan waktu malam di Tanah Suci. Waktu subuh seawal 3.30 pagi. Lama juga untuk kami menyesuaikan diri dengan suasana baru itu.
Lebih kurang 25 minit tertidur, saya tiba-tiba terjaga. Sebaik terjaga mata saya segera terpandang Masjidilharam tersergam indah disinari cahaya lampu yang terang benderang.
Kaabah dapat dilihat dengan jelas kerana lebih tinggi daripada bangunan masjid dan beberapa kali ganda besar daripada saiz sebenar. Saya terpaksa berpaling ke belakang mengikuti perjalanan bas kerana terpukau melihat Masjidilharam dan Kaabah yang begitu berbeza dengan saiz sebenarnya.
Di situ saya lihat tiada seorang pun berada di dalam masjid dan mengerjakan tawaf seperti lazimnya. Dalam keadaan kehairanan yang amat sangat kerana selepas itu kegelapan semula yang saya pandang dan padang pasir yang terbentang luas, saya bertanya kawan di sebelah, adakah kami telah tiba di Makkah?
Apabila dijawabnya tidak, aku terdiam. Rupa-rupanya Makkah yang kami tuju akan mengambil masa lebih kurang 20 minit lagi untuk sampai, tetapi apa yang saya lihat sebentar tadi cukup membuat hati ini tertanya-tanya sehingga kini. Kepada kawan saya tidak saya ceritakan hal ini sehingga kami selamat pulang ke tanah air.
Malam keempat di tanah air, sekali lagi saya bermimpi. Kali ini aku bermimpi menziarahi makam Nabi s.a.w. dan menatap wajah baginda yang begitu tenang di pembaringan. Maha Suci Allah yang telah memberi peluang sekali lagi menatap wajah Nabi s.a.w. Sungguh sukar untuk melupakan wajah junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. dan segala peristiwa di Tanah Suci.
Segala kenangan itu membuat hati sering pilu dan rindu untuk kembali mengunjungi makam Nabi s.a.w dan Tanah Suci suatu hari nanti. Insya-Allah. - HAMBA ALLAH
***Kirimkan artikel anda kepada LanH di Lanh14@gmail.com
No comments:
Post a Comment