Sunday, March 29, 2020

Tanah Suci 13: Banyak jemaah, banyaklah ragamnya...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ***************************** Renungan *************************** "Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)

HAJI boleh dikerjakan dengan tiga cara iaitu haji ifrad, tamattu’ dan qiran. Haji ifrad adalah mengerjakan haji dahulu dalam bulan-bulan haji kemudian mengerjakan umrah.

Haji tamattu’ pula mengerjakan umrah terlebih dahulu dalam bulan-bulan haji kemudian dikerjakan haji dalam tahun itu juga manakala haji qiran berniat mengerjakan haji dan umrah serentak dalam bulan-bulan haji dengan mengerjakan amalan haji sahaja atau berniat mengerjakan umrah sahaja tetapi sebelum tawaf dia berniat mengerjakan haji.

Ramai jemaah memilih untuk mengerjakan haji tamattu’ yang sesetengah orang mendakwa haji bersenang-lenang. Mengerjakan haji cara ini menyebabkan seseorang itu kena bayar dam, iaitu seekor kambing.

Biasanya jemaah yang datang awal mengerjakan haji ini kerana pada kali pertama kali sampai mereka menunaikan umrah sehingga tamat dan selepas itu bolehlah membuka pakaian ihram dan terlepas daripada pantang larang ihram.

Sepanjang menunggu tarikh untuk berniat ihram haji di hotel pada 8 Zulhijah seterusnya berwukuf di Arafah pada 9 Zulhijah (sehari sebelum Hari Raya Haji), jemaah berpakaian biasa dan menghabiskan masa untuk solat, tawaf, iktikaf dan pelbagai amalan sunat lain di Masjidilharam.

Adalah molek masa itu dimanfaatkan termasuk untuk bertamah mesra dengan jemaah lain yang datang dari serata dunia. Jemaah antarabangsa ini dapat memberikan input mengenai masyarakat dan negara ini. Saya kira ini amat penting kerana ia sumber pertama bagi memahami situasi di negara masing-masing.

Ketika menunaikan haji tidak lama dulu, saya berpeluang berinteraksi dengan sejumlah jemaah negara Arab seperti Palestin, Mesir dan Maghribi. Saya bernasib baik kerana ada jemaah berkenaan tahu berbahasa Inggeris sekalipun mereka ‘merangkak’ menuturkannya.

Seorang jemaah Palestin bernama Yasin yang berasal dari bandar Jericho di Tebing Barat mengkisahkan betapa sukarnya untuk jemaah memasuki seterusnya menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa. Katanya, hanya orang berumur 40 tahun ke atas saja dibenarkan solat di Masjid al-Aqsa. Selain itu, katanya, mereka juga dikehendaki membayar sejumlah wang kepada tentera Israel sebelum dibenarkan masuk. Saya terlupa jumlah wang yang disebutkan oleh Yasin, tetapi bayarannya agak besar juga.

Kepada seorang jemaah Mesir saya bertanyakan mengapa pihak berkuasa negaranya menutup pintu sempadan Mesir-Gaza yang menyebabkan bahan keperluan termasuk makanan terhalang daripada dibawa masuk ke wilayah terkepung itu.

Jawapan rakyat Mesir itu memeranjatkan saya. Katanya: “Mesir tidak mahu perisik dan penjahat Israel menyamar sebagai warga Gaza, seterusnya bebas keluar masuk Gaza-Mesir bagi memporak-perandakan rakyat Mesir. Orang Mesir tahu perisik Israel ini mempunyai senjata paling hebat iaitu jenis dadah suntikan yang boleh merosakkan seluruh generasi muda. Mesir tidak mahu perkara ini berlaku sebab itulah ia menutup semua pintu sempadannya dengan Gaza.”

Sukar untuk saya mempercayai apa yang dicakapkan oleh jemaah Mesir itu tetapi memandangkan perbualan kami terjadi dalam Masjidilharam ketika menunggu waktu solat, saya membuka pintu hati saya untuk mempercayainya. “Takkan dia bercakap bohong dalam Masjidilharam,” fikir saya.

Dengan seorang jemaah dari Maghribi, saya dengan dia tidak dapat berbual panjang kerana dia hanya tahu menyebut ‘good’, ‘yes’ dan ‘no’ saja. Selain itu dia banyak tersenyum dan menepuk-nepuk diri saya. Apabila terlihat sebuah buku panduan yang sedang saya belek, dia memintanya dan menyebut ‘good, good’ sebaik melihat doa-doa yang ditulis dalam bahasa Arab.

Dengan jemaah dari China juga saya cuba berinteraksi dan hasilnya adalah senyuman memanjang dan pengulangan sebutan ‘good, good’. Apa yang ‘good’ tidaklah saya ketahui.

Ketikaberada dalam Masjidilharam, saya turut terpesona dengan pelbagai karenah jemaah. Ketika menunaikan haji dulu, saya terpegun melihat bagaimana bersungguh-sungguhnya seorang lelaki Arab membaca al-Quran. Selepas puas membaca secara duduk, dia membaca secara berdiri pula. Tempoh itu bukan sekejap, tetapi lama. Kagum saya melihat cara dia membaca sambil berdiri itu.

Bagi saya dia sudah ‘expert’ dalam membaca al-Quran, tetapi apabila terpandang sekumpulan tiga jemaah yang fikir saya dari negara China yang sedang merangkak-rangkak membaca surah-surah ringkas seperti tiga Qul di depan seorang lagi rakan yang saya agak guru mereka, insaflah saya akan kebesaran Illahi.

Saya lihat si guru senyum-senyum melihat anak muridnya tetapi apabila bacaan murid teruk, dia kelihatan bengis, memarahi seterusnya membetulkan bacaan mereka. Saya turut tersenyum melihat senario itu, itulah tanda kebesaran Illahi, tidak semua orang sama pencapaian dan nasib masing-masing. Dunia dengan pelbagai ragam penduduknya, membuatkan insan tersedar dan insaf akan kebesaran-Nya.

***Kirimkan artikel anda kepada LanH di Lanh14@gmail.com

Friday, March 27, 2020

Tanah Suci 12: Bersemangat menjejaki Gua Thur

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

PERJALANAN ke Tanah Suci Makkah pada musim haji lalu sungguh memberi banyak pengalaman dan antara peristiwa yang masih segar dalam ingatanku adalah pengalaman mendaki Bukit (Jabal) Thur dan memasuki Gua Thur tempat Rasulullah s.a.w. bersembunyi ketika dicari oleh orang Musyrikin Quraisy.

Aku, suamiku dan jemaah kami sampai di Makkah 10 hari sebelum Hari Arafah, dan pada hari ketiga, ustaz yang memandu kami membawa kami menziarahi bandar Makkah, Padang Arafah, Mina, Mudzalifah, lokasi Bukit Thur dan Bukit
Nur tempat Gua Hira.

Dalam kunjungan singkat inilah sebahagian daripada ahli jemaah kami membuat permintaan untuk memanjat bukit-bukit tersebut melihatkan ramai jemaah dari negara lain yang berbuat demikian.

Atas permintaan ini, ustaz bersetuju untuk menemani beberapa jemaah yang
ingin mendaki, dua minggu selepas ibadat haji sempurna, jika diizinkah Allah.

Pada hari yang dicadangkan, jemaah kami seramai sembilan orang bertolak dari hotel jam 8.00 pagi.

Dengan pakaian biasa, jemaah kami pun menaiki sebuah van. Selepas
perjalanan kurang 20 minit, van itu pun sampai di kaki bukit.

Masing-masing jemaah membawa bekalan air minuman dan tidak membawa
beg untuk kurangkan bebanan. Masa pendakian adalah satu jam setengah
untuk sampai ke puncak dan 40 minit untuk turun kembali.

Aku sebenarnya bukanlah 'fit' untuk memanjat, kerana ketika di Malaysia, aku
tidak pernah memanjat bukit setinggi ini.

Suamiku agak tidak yakin dengan keinginanku, tapi aku meyakinkannya bahawa insya-Allah aku boleh. Sebelum memanjat, aku memandang ke puncak bukit.

"Aduh! tingginya...," hatiku tertanya-tanya sama ada aku mampu atau tidak. Mulanya aku bercadang untuk tidak memanjat kalau ada orang yang tunggu di bawah, tapi sangkaanku meleset kerana tiada sesiapa pun yang tunggu di
bawah bukit kerana yang datang ke situ semuanya memang berhajat untuk mendaki.

Hatiku terubat apabila melihat beberapa wanita berusia melebihi 50 tahun dari Turki menggagahkan diri memanjat, dan aku pasti aku juga boleh jika wanita itu boleh.

Aku pun melangkah perlahan-lahan dengan ucapan yang tidak putus-putus memohon pada Allah "Ya Allah, tiada daya dan upayaku melainkan dengan
izin-Mu jua..."

Tanah Bukit Thur adalah kering-kontang, berbatu-batan dan berpasir. Pendakian agak mudah kerana sudah ada laluan hingga ke atas.

Belum sampai 20 minit aku memanjat, aku sudah tercungap-cungap dan aku berhenti setiap 10 minit untuk berehat dua hingga lima minit hinggalah sampai
ke puncak.

Ustaz yang memandu kami sungguh sabar menunggu semua jemaah sampai dalam masa yang agak sama dan sebelum kami sampai ke puncak, beliau mengatakan 'sikit lagi...' beberapa kali, tapi tak sampai-sampai.

Aku kuatkan semangatku walaupun hanya Allah tahu betapa penatnya aku
ketika itu.

Dalam hati, aku pujuk diriku untuk merasai betapa sukarnya laluan Asmah
Abu Bakar dahulu ketika membawa bekalan kepada Rasulullah s.a.w., dan
betapa tabah Rasulullah s.a.w. menghadapi kesulitan dalam pendakian baginda.

Dan akhirnya, aku sampai ke puncak dengan penuh kesyukuran. Dan tiba-tiba
aku tidak merasa kepenatan seperti tadi apabila tiba di hadapan pintu Gua Thur. Aku merasai suatu kepuasan yang tidak dapat aku ceritakan.

"Apakah aku sebenar-benarnya sudah sampai ke puncak? Atau aku bermimpi? Maha Besar Kekuasaan-Mu Ya Allah yang telah mengizinkan aku sampai ke
tahap ini."

Pintu gua dipenuhi jemaah yang beratur untuk masuk ke dalam gua dan aku ke kanan pintu gua tersebut. Di sana ada tempat yang boleh kami duduk, dan ada sebuah pintu kecil yang dapat memuatkan seorang untuk memasukinya.

Jemaah kumpulanku masuk seorang demi seorang termasuk suamiku. Aku menunggu hingga tiada orang yang hendak masuk dan akhirnya alhamdulillah, memang ia kosong seolah-olah menantiku.

Aku meminta izin suamiku yang sudah keluar dari gua untuk aku masuk, dan dia membenarkan aku menuruni pintu kecil itu. Apabila tiba di dalam gua, aku
merasa begitu takjub dan aku berbisik sendirian "Ya Allah, inikah tempat persembunyian Rasul-Mu, di mana orang Quraisy berlegar-legar di luar pintu mencari nabi-Mu..."

Gua itu agak gelap, tetapi masih ada cahaya yang memasukinya, dan aku
berjalan itik di dalamnya dan sekejap lepas itu aku sampai ke pintu gua dan membongkok untuk keluar.

Satu kepuasan yang tidak dapat aku lahirkan melainkan mengucap kesyukuran dan terima kasih kepada Allah kerana nikmat ini.

Selepas itu, jemaah kami mendengar sedikit sirah daripada ustaz dan kemudian kami menuruni bukit sambil bertasbih, bertahmid dan bertakbir perlahan-lahan.

Sampai di kaki bukit, aku menoleh lagi ke atas bukit dan aku terus berkata-kata
di dalam hatiku bahawa aku akan merinduimu wahai Bukit dan Gua Thur.

Sebenarnya kerinduan inilah yang menguatkan aku untuk menulis kisah ini
untuk mengabadikan kata-kata rinduku dulu. - UMMU HASAN

***Kirimkan artikel anda kepada LanH di Lanh14@gmail.com


Sunday, March 22, 2020

Tanah Suci 11: Mimpi menyemarakkan hati di Tanah Suci

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan


Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. - Maksud ayat 1-3 Surah Al-Asr


MENJADI tetamu-Nya adalah ibarat mimpi yang cukup manis walaupun dulu ramai yang mengajak ke Tanah Suci, tetapi saya belum tergerak hati untuk ke sana.

Kalau bukan kerana ditimpa musibah yang cukup mencabar kesabaran hati, mungkin hati saya belum terbuka untuk menunaikan umrah.

Tuhan Maha Kaya, perasaan bagai tidak sabar-sabar untuk mengunjungi Tanah Suci sejak hari pertama mendaftar di agensi. Hati saya turut berdebar dan gelisah menjelang 'tarikh keramat' itu.

Kami ke Kuala Lumpur sehari sebelum berlepas kerana perlu mengikuti kursus umrah yang dianjurkan oleh agensi berkenaan.

Semasa mengikuti kursus di pejabat agensi, kami diberitahu tiket penerbangan belum diperolehi walaupun visa sudah diluluskan.

Malah ada jemaah yang tidak mendapat visa walaupun tiket penerbangan telah ditempah.

Sekalipun berbekalkan janji agensi yang akan berusaha mendapatkan tiket untuk penerbangan pada keesokan harinya, kami tetap resah. Kami berdebar-debar menunggu, dapatkah kami mengunjungi Baitullah agaknya.

Selesai menunaikan sembahyang sunat di hotel, saya terus melelapkan mata sambil berdoa kami dapat berlepas keesokan harinya.

Sesuatu yang tidak diduga pada malam itu, saya bermimpi berjumpa Nabi s.a.w. dan memberi salam kepada Baginda.

Baginda menanti sesiapa lagi yang akan memberi salam kepada Baginda. Peristiwa mimpi itu menyakinkan diri saya bahawa kami pasti dapat mengunjungi Baitullah dan menziarahi makam Nabi s.a.w. di Madinah.

Seperti yang dijangka, keesokan harinya kami dimaklumkan tiket penerbangan berjaya diperolehi dan kami akan berlepas pada jam 3.00 petang.

Saat pertama kali menjejak kaki di bumi Madinah dan memandang Masjid Nabawi, hati begitu sukar digambarkan seperti yang selalu diceritakan oleh mereka yang pernah ke sana.

Perasaan gembira, sedih dan sayu bercampur menjadi satu. Betapa pilunya hati ketika menziarahi makam Nabi s.a.w. Air mata mengalir deras pada saat kaki melangkah meninggalkan makam yang kaku itu, kerana masa tidak mengizinkan. Kami kemudian berangkat ke Makkah pula.

Perjalanan ke Tanah Suci Makkah berjalan lancar. Selesai membawa beg-beg ke bilik dan makan tengah hari, kami dibawa ke Masjidilharam untuk menyelesaikan umrah wajib.

Maha Suci Allah kerana diberi peluang jua akhirnya menjadi tetamu-Nya.

Pengalaman tawaf buat pertama kalinya sukar digambarkan dengan kata-kata. Matahari yang memancar terik tidak terasa sangat bahangnya. Hari berikutnya, kami bebas mengerjakan umrah sunat dan memperbanyakkan ibadat.

Di Masjidilharam saya terlihat beberapa ekor kucing dekat telaga Zamzam. Saya cuba membelai kucing-kucing berkenaan kerana memang sukakan haiwan itu.

Malangnya apabila dipanggil, ia hanya mengiau dari jauh. Semuanya sihat-sihat belaka dan sungguh comel sekali seperti kucing Friskies.

Suatu ketika selepas sembahyang Maghrib, seekor kucing yang sedang berkeliaran tiba-tiba membuang air kecil di atas beg tangan seorang jemaah dari Malaysia yang diletakkan di hadapan beliau.

Kami terdiam melihat peristiwa tersebut dan berasa tidak senang hati. Apa agaknya hikmah di sebalik peristiwa itu hanya Allah yang tahu.

Dalam perjalanan ke Makkah dari Madinah dulu, saya tertidur kerana mengantuk yang amat sangat. Lagipun musim panas memendekkan waktu malam di Tanah Suci. Waktu subuh seawal 3.30 pagi. Lama juga untuk kami menyesuaikan diri dengan suasana baru itu.

Lebih kurang 25 minit tertidur, saya tiba-tiba terjaga. Sebaik terjaga mata saya segera terpandang Masjidilharam tersergam indah disinari cahaya lampu yang terang benderang.

Kaabah dapat dilihat dengan jelas kerana lebih tinggi daripada bangunan masjid dan beberapa kali ganda besar daripada saiz sebenar. Saya terpaksa berpaling ke belakang mengikuti perjalanan bas kerana terpukau melihat Masjidilharam dan Kaabah yang begitu berbeza dengan saiz sebenarnya.

Di situ saya lihat tiada seorang pun berada di dalam masjid dan mengerjakan tawaf seperti lazimnya. Dalam keadaan kehairanan yang amat sangat kerana selepas itu kegelapan semula yang saya pandang dan padang pasir yang terbentang luas, saya bertanya kawan di sebelah, adakah kami telah tiba di Makkah?

Apabila dijawabnya tidak, aku terdiam. Rupa-rupanya Makkah yang kami tuju akan mengambil masa lebih kurang 20 minit lagi untuk sampai, tetapi apa yang saya lihat sebentar tadi cukup membuat hati ini tertanya-tanya sehingga kini. Kepada kawan saya tidak saya ceritakan hal ini sehingga kami selamat pulang ke tanah air.

Malam keempat di tanah air, sekali lagi saya bermimpi. Kali ini aku bermimpi menziarahi makam Nabi s.a.w. dan menatap wajah baginda yang begitu tenang di pembaringan. Maha Suci Allah yang telah memberi peluang sekali lagi menatap wajah Nabi s.a.w. Sungguh sukar untuk melupakan wajah junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. dan segala peristiwa di Tanah Suci.

Segala kenangan itu membuat hati sering pilu dan rindu untuk kembali mengunjungi makam Nabi s.a.w dan Tanah Suci suatu hari nanti. Insya-Allah. - HAMBA ALLAH 
 

***Kirimkan artikel anda kepada LanH di Lanh14@gmail.com

Thursday, March 12, 2020

Tanah Suci 10: Madinah sasaran 'ekspansionisme' Yahudi?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

BARU-BARU ini Arab Saudi menggantung kemasukan jemaah untuk mengerjakan umrah di Makkah dan melawat Masjid Nabawi, Madinah, untuk sementara waktu. Kementerian Luarnya dalam satu kenyataan berkata, langkah itu susulan penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19) ke Timur Tengah.

Selain wabak penyakit yang 'menafikan' kunjungan jemaah ke Tanah Suci seperti yang berlaku sekarang ini, ancaman perang dan ketidak-stabilan  Timur Tengah juga boleh membawa kepada kemungkinan umat Islam tidak dapat mengerjakan ibadat tersebut.

Baru-baru ini rantau berkenaan digegarkan kemungkinan berlaku peperangan dahsyat selepas tercetus krisis Iran-Amerika Syarikat berikutan pembunuhan Jeneral Qassem Soleimani dalam satu serangan oleh pihak Amerika.

Sebenarnya, Amerika dan 'bapa saudara'nya di Timur Tengah, Israel telah lama mengidam menjadikan rantau itu 'milik mak bapak' mereka. Buktinya segala kelengkapan perang sudah dihimpunkan di sana - di Arab Saudi sudah ada 3,000 tentera Amerika, di Jordan ada 3,000, di Turki ada 2,500, di Iraq ada 6,000, di Bahrain ada 7,000 dan paling memeranjatkan di Kuwat dan Qatar masing-masing ada 13,000 tentera Amerika.

Jika Amerika sudah 'memegang' negara-negara Arab, Israel dibiarkan bermaharajalela dan baru-baru ini bertindak rakus membina lebih banyak penempatan haram dalam kawasan Palestin termasuk di Baitulmaqdis.

Cita-cita '
ekspansionisme' (expansionism) peluasan wilayah Yahudi bukan semata-mata untuk merampas tanah air Palestin seluruhnya tetapi memenuhi impian sebuah ‘Greater Israel’ (Israel Raya) yang bersempadankan Sungai Nil (di Mesir) di sebelah barat dan Sungai Furat (di Iraq) di sebelah timur.

Sempadan ‘ekspansionisme’ dari sebelah barat ke timur ini sudah diketahui banyak pihak tetapi tidak ramai menyedari rancangan perluasan di sebelah selatan yang menjangkaui rantau Madinah al-Munawwarah di mana terdapat Masjid Nabawi dan makam semulia-mulia makhluk iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Sesetengah Yahudi mendakwa mereka keturunan Bani Nadir dan Bani Quraizah yang pernah mendiami Yathrib (Madinah) pada zaman Rasulullah s.a.w. sebelum mereka diusir dari sana selepas melanggar perjanjian yang dimeterai dengan Nabi Muhammad s.a.w.

Berdasarkan pendedahan cita-cita besar Zionis Israel ini, umat Islam perlu bangkit daripada lena yang panjang kerana ancaman Yahudi bukan menyangkut orang Palestin saja tetapi ummah termasuk mempertahankan tanah suci Madinah dan Makkah.

Jika pencabulan Zionis ke atas Masjid Al-Aqsa di al-Quds (Baitulmaqdis) tidak cukup untuk menyemarakkan semangat perjuangan ummah, kini dengan tergugatnya Madinah dan kota suci Makkah di mana terdapat Kaabah iaitu kiblat ummah; apakah umat Islam masih mahu terus menyepikan diri; masing-masing tenggelam dengan permasalahan negara dan bangsa sendiri sehingga tiada masa memikirkan nasib agama sendiri.

Sebelum rejim Zionis melangkah lebih jauh, kita berpendapat sekaranglah masa untuk umat Islam berganding bahu, berbuat sedaya upaya untuk menghentikan kezalimannya di bumi Palestin. Kejahatannya untuk menghancurkan al-Aqsa dan kawasan persekitaran perlu dihentikan segara; di sinilah ummah diperlukan untuk menyumbang tenaga semaksimum mungkin sama ada melalui pemikiran, pemboikotan, penggunaan kekuatan dan sebagainya.

Jika ancaman Zionis di Palestin ini tidak dapat ditangani, kita bimbang cita-cita perluasannya kian dekat untuk direalisasikan apatah lagi selepas jatuhnya Iraq ke tangan Washington, sekutu kuat Tel Aviv. Jika seluruh Palestin jatuh, terpalitlah seluruh dunia Islam dengan dosa tidak membantu saudara seagama.

Jatuhnya Masjid Al-Aqsa, tercemarlah maruah umat Islam tetapi bahaya lebih besar, terbukalah peluang Zionis laknatullah untuk menyampaikan cita-cita ‘ekspansionisme’nya, menjarah negara-negara umat Islam sehingga akhirnya sampai ke Madinah Al-Munawwarah.

Inilah fitnah terbesar akan dihadapi ummah; oleh itu bangunlah, bangunlah wahai umat Islam sedunia, marilah kita mulakan sesuatu, menutup ruang-ruang yang membolehkan Zionis laknatullah merealisasikan cita-cita besarnya.

Mulai sekarang kejutkanlah ummah yang kerap bersengketa itu bahawa kota suci Nabi itu pun semakin hampir untuk digapai oleh musuh. Tidak ngerikah kita memikirkan perkara itu, tidak malukah kita nanti kitalah ummah yang membenarkan musuh Allah ini menghina dan mencerca Nabi kita tatkala mereka menguasai kota kesayangan Nabi itu?

Oleh itu, marilah kita umat Islam, tidak kira dari Barat atau Timur bersatu hati, menghadapi ancaman Zionis di bumi Palestin. Halang mereka di bumi barakah ini sebelum mereka bergerak jauh, menghancurkan negara umat Islam satu persatu sehingga terbalaslah dendam Bani Quraizah dan Nadir lebih 1,400 tahun dulu.  

Thursday, March 5, 2020

Amaran kepada PH, KEADILAN Disember lalu

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. - Maksud Surah A;-Asr, 1-3

ARTIKEL DARIPADA SUARA KEADILAN (cetak) DIS 2019 yang juga kini SUDAH MATI. Tajuknya 'Ambil iktibar kejatuhan Melaka'.


DARIPADA 'terpampang gagah' kini sudah tiada lagi. Ia sudah jadi 'allahyarham'. Demikianlah nasib akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo terbitan Utusan Melayu Malaysia Berhad.

Saya yang hampir setiap hari ke bahagian majalah Perpustakaan Awam Melaka di Bukit Baru, hanya melihat di rak akhbar nama tanda 'gagah' UTUSAN MALAYSIA dan KOSMO, tetapi sayang seribu kali sayang kedua-dua akhbar ini sudah jadi 'allahyarham'. Bila 'nak hidup balik'? Wallahu a'alam (Dan Allah lebih tahu),

Kini Kongres Nasional KEADILAN diadakan di Melaka. Selamat datang di negeri Melaka yang terkenal dengan 'tagline' Di Sini Segalanya Bermula. Namun perlu diingat di negeri ini juga berlaku 'pelbagai pengakhiran'. "Kematian' Utusan Malaysia dan Kosmo juga dirasai di Melaka. Jadi kepada 'orang' KEADILAN dan HARAPAN, berhati-hatilah dalam tindakan dan sikap anda sekarang ini, takut-takut parti dan kerajaan anda juga sedang menuju kematiannya!

Kini setiap kali ke perpustakaan, saya sebagai pembaca tegar, 'berasa semacam' apabila terlihat 'batu nesan' (papan nama di rak)  Utusan Malaysia dan Kosmo. Sekalipun tidak suka dengan pendekatan laporan dan kecenderungan serta kecondongan Utusan Malaysia, saya baca juga akhbar ini, tetapi sekarang terasa begitu sepi sekali apabila akhbar ini sudah mati...

Apabila Utusan Malaysia terkubur apakah terkubur sama perjuangannya?Suatu hari saya membongkar akhbar keluaran lalu Utusan Malaysia. Dalam akhbar Rabu 9 Oktober 2019, ada satu iklan satu muka surat penuh Utusan menyatakan: Mencari Penaja Dalam Perjuangan Membina 100 Baitul Hikmah di 100 Masjid.  Ayuh Lahirkan Lagi 100 Imam Ghazali.

Persoalannya, dengan 'matinya' Utusan Malaysia, matikah sama cita-citanya ini? Demikianlah ini sebagai contoh sahaja; kepada 'orang', 'penyokong', perwakilan terutama pemimpin KEADILAN yang berkongres di Melaka, 'pikiak' (fikir-fikirlah), parti dan kerajaan anda juga akan sampai kepada 'noktah' (penghujung) macam Utusan Malaysia jika 'perangai' dan 'sikap' awak tak banyak beza. 'Banyak' gaduh, adu domba, hasut menghasut, dengki, tikam belakang dan sebagainya,.

'Hei 'brother', ambil iktibar daripada kejatuhan empayar Melayu Melaka lebih 500 tahun dulu. 

Jika kita rujuk kejatuhan banyak empayar termasuk Melaka, satu daripada faktornya adalah penguasa-penguasa terakhirnya (termasuklah orang besar seperti menteri) tersungkur di kaki perempuan, korupsi berleluasa dalam negara manakala rakyat dizalimi dengan pelbagai tekanan termasuk dikenakan cukai melampau. Ada yang membiarkan permaisuri 'menguasai keadaan' - mereka bagikan tunggul atau 'yes man' saja kepada segala kehendak bini.

Selain itu terlalu ramai pemimpin menjadi 'kaki bodek' (mengiyakan apa saja kelakuan pemerintah iaitu tidak berani menegur mereka manakala sebahagian lagi menjadi pengkhianat - mereka menjadi gunting dalam lipatan, memberi bantuan kepada musuh pada saat-saat genting).

Zaman gerhana Melaka kerap dirujuk kepada pemerintahan Sultan Mahmud Shah (1488-1511) iaitu pemerintah Melaka terakhir. Merujuk kepada sesetengah pengkaji, mereka mendakwa Sultan Mahmud tidak mementingkan kesejahteraan rakyatnya. Salah satu kelemahannya adalah berkenaan perempuan. Semua perempuan berdahi licin hendak dimilikinya.

Misalnya, Tun Fatimah, anak Bendahara Melaka yang cantik dicemburui sultan kerana telah berkahwin dengan Tun Ali. Akibat rasa cemburu dan tidak senang hati dengan tindakan Bendahara Tun Mutahir tidak mempersembahkan Tun Fatimah terlebih dahulu kepadanya, Sultan Mahmud murka. Terlebih dahulu Datuk Mandeliar dan Si Kitol telah menghasut Sultan Mahmud Shah – masuk jarum.. Alahai sultan, mudahnya terpengaruh. Akhirnya seluruh keluarga Tun Mutahir dibunuh, yang tinggal hanya Tun Fatimah untuk dijadikan isteri Sultan.

Kemaruk Sultan memuncak apabila 'tergilakan' Puteri Gunung Ledang. Puteri bijak menghelah dengan mengemukakan tujuh syarat peminangan termasuklah disediakan jambatan emas menghubungkan puncak gunung itu dengan Melaka dan semangkuk darah anakanda Sultan, Raja Ahmad. Disebutkan pada mula Sultan Melaka berhasrat memenuhi syarat itu - cukai ke atas rakyat ditingkatkan manakala ada menyebut harta mereka seperti emas dirampas. Namun faktor membabitkan kepentingan diri sendiri (semangkuk darah Raja Ahmad), Sultan membatalkan hasrat itu.

Kezaliman Sultan sudah keterlaluan, tetapi adakah orang berani menegur? Jawapan yang zahir adalah tidak kerana mereka tersangat takut kerana orang kanannya sendiri seperti Bendahara bukan saja disingkirkan tetapi seluruh keluarganya dibunuh. Menegur Sultan bermakna mati atau setidak-tidak dihumbankan ke dalam penjara atau 'dibuang ke luar daerah' (dihukum bunuh tetapi diselamatkan Bendahara Tun Perak) seperti dialami Laksamana Hang Tuah.

Menegur Sultan (mengkritik pemerintah) tidak berlaku pada zaman gerhana ini. Apa yang ada terdapat ramai pengampu dan tukang fitnah serta pengkhianat seperti Si Kitol dan Datuk Mendeliar. Sultan diberi 'gambaran indah-indah' - tidak mengetahui situasi sebenar dalam negara yang di ambang untuk jatuh. Ramai yang berarak menyatakan sokongan kepada Sultan, hakikatnya sokongan inilah yang membawa rebah. Ya pemerintah sudah nazak tetapi masih ramai rakyat berarak-arak di jalan raya...

Apabila Portugis menyerang Melaka pada 1511, dilaporkan angkatan perang Melaka terlalu gagah untuk dikalahkan. Tetapi angkara terlalu ramai pengkhianat (termasuk yang berarak di jalan raya menyatakan sokongan)  yang memberi bantuan sama ada secara terang-terangan atau sembunyi-sembunyi, akhirnya tewaslah Melaka menyebabkan Sultan Mahmud terpaksa berpindah randah dan akhirnya mangkat di Sumatera pada 1528. 

Demikianlah berakhirnya sebuah empayar, peristiwa dalam sejarah kerap berulang-ulang...adakah kita mahu terus membutakan mata dan memekakkan telinga daripada pengajaran sejarah ini. Faktor seperti fitnah, adu domba, pemerintah 'dikuasai bini', bersikap boros, menindas rakyat dengan cukai tinggi, membunuh (menyingkir) pesaing termasuk pembantu kanan adalah fenomena biasa pada zaman gerhana...ya fikir-fikirkanlah sejenak sama ada parti dan kerajaan kita kini di zaman gerhana atau tidak!

Monday, March 2, 2020

Tanah Suci 9: Wanita, contohilah Hajar, Zubaidah

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

SALAH satu tempat istimewa dalam Masjidilharam adalah Hijir Ismail. Ia satu lengkungan berada di sisi utara Kaabah. Hakikatnya ia sebahagian daripada dalam Kaabah. Sehubungan itu tak sah tawaf seseorang jika dia menyentuh batu dinding atau memasukinya.

Hijir Ismail mengingatkan akan pengorbanan Nabi Ismail dan ibunya Siti Hajar walaupun Kaabah sendiri secara keseluruhan dibangun oleh Nabi Ibrahim a.s.

Nabi Ismail a.s. membantu bapanya, dengan membawa batu. Batu-batu yang dikumpulkan, dalam bahasa Arab disebut hijir. Oleh kerana  itu bahagian Kaabah yang dibangun oleh Nabi Ismail a.s. dinamakan Hijir Ismail.

Sebahagian daripada manasik haji adalah berdasarkan pelakuan dan pergorbanan ibu Nabi Ismail a.s. 

Hajar bukan wanita 'sofistikated' ukuran  kehebatan dan idola wanita hari ini tetapi hanya seorang ibu, tetapi mengapa kisahnya diabadikan hingga kini malah sampai bila-bila...

Demikianlah, mengapa dikatakan begitu istimewa dan bertuah dijadikan seorang wanita? Berbicara mengenai perkara ini, penulis teringatkan ibu. Ya, daripada berbilion wanita di dunia, kita hanya mempunyai seorang ibu, dan ibu kita adalah seorang wanita.

Saya mengagak tentulah ungkapan 'begitu istimewa dan bertuahnya dijadikan seorang wanita' mempunyai kaitan dengan seorang ibu. Yalah, mana ada lelaki yang mengandung dan melahirkan anak.

Ibu dan anak mempunyai pertalian amat rapat. Mengikut ajaran agama, anak wajib taat kepada ibu bapanya. Anak lelaki hendaklah mengutamakan ibu bapa lebih daripada isterinya. Isteri pula perlu mentaati suaminya lebih daripada ibu bapanya.

Ini membuatkan kedudukan seseorang wanita yang bergelar ibu begitu istimewa. Istimewanya ibu pada seorang anak adalah tiga kali ganda daripada seorang bapa, demikian maksud sebuah hadis. Anak yang terdidik, tidak akan melupakan ibu bapanya, lebih-lebih lagi ibu. Tetapi kasih ibu lebih hebat kerana ia tiada penghujung.

Ada ibu hebat yang turut berjuang di kancah masyarakat. Sejarah Islam ada merakam sejumlah wanita hebat yang turut menyumbang kepada kepesatan dan kemakmuran ummah dan dalam konteks artikel ini kita merujuk Tanah Suci Makkah dan Madinah.

Salah seorang daripadanya adalah permaisuri kepada Khalifah Bani Abasiyah paling hebat, Harun Al-Rashid iaitu Siti Zubaidah binti Jaafar (149 - 215H). 

Siti Zubaidah Jaafar sekalipun begitu kaya raya, telah membelanjakan sebahagian besar wang beliau sendiri untuk membiayai projek-projek berkepentingan rakyat, yang paling masyhur adalah ‘Ain Zubaidah, sebuah terusan paling hebat pada zamannya.

Ia bagi mengalirkan air ratusan batu jauhnya dari gunung-gunung yang mempunyai mata air di Makkah (ada mencatatkannya dari Taif) bagi kemudahan jemaah haji di Mina dan Arafah. Ahli sejarah mencatatkan kos pembinaan terusan itu adalah 1,700,000 dinar. Sekalipun dibina 1,400 tahun lalu, binaan terusan itu masih boleh dilihat oleh jemaah yang ke Tanah Suci hari ini.

Selain itu Siti Zubaidah juga telah mengeluarkan belanja yang sangat besar bagi memperbaiki jalan di antara Baghdad ke Makkah. Di sepanjang jalan dibina perigi-perigi dan rumah-rumah persinggahan untuk memudahkan orang ramai terutama jemaah haji dan ahli peniagaan. Di Baghdad sendiri terdapat sebuah masjid terkenal dan dinamakan Masjid Siti Zubaidah kerana dialah yang bertanggungjawab membinanya.

Tentunya dunia Islam tidak mengingati Siti Zubaidah sebagai wanita pertama kerana dia isteri khalifah tetapi jasa-jasa besar yang ditinggalkannya kepada rakyat. 

Ahli sejarah mengungkapkan walaupun hidupnya dilimpahi kekayaan, wanita ini sentiasa memastikan dia tidak termakan dengan pujukan syaitan. 

Siti Zubaidah beranggapan kekayaan di dunia cuma sementara dan sekiranya dilaburkan mengikut cara yang betul akan mendapat keberkatan di akhirat kelak, manakala kehidupan akhirat adalah kehidupan yang kekal, indah dan terlalu manis. 

Keindahan dan kemanisan itulah yang dicarinya, bukan mengejar glamor dan kemasyhuran dunia seperti kehendak sebahagian pemimpin hari ini termasuk yang wanitanya!

Berlainan daripada Zubaidah yang berketurunan raja, mempunyai kuasa dan kaya raya, Siti Hajar ibu Nabi Ismail a.s. ternyata 'tidak punyai apa-apa' tetapi mengapa dia tetap diingati sehingga hari ini malah sampai bila-bila melalui manasik haji...

Ya wahai jemaah haji atau umrah terutama sang wanita, ketika berkesempatan berada di sisi Hijir Ismail atau di dalamnya, renung-renungkanlah mengenai perkara ini...