Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
DI Tanah Suci, tempoh tidur seseorang jemaah yang tekun beribadah mungkin amat kurang. Mereka melebihikan masa beriktikaf dan sibuk beribadat sama ada di Masjidilharam atau Masjid Nabawi.
Selepas solat isyak dan melakukan amalan sunat, kebanyakan jemaah akan balik ke hotel dan tidur sebentar sebelum kembali semula ke masjid jam 12 tengah malam, 1 pagi, 2 pagi, 3 pagi dan seterusnya untuk merebut kelebihan beribadah sunat pada sepertiga malam terakhir seperti solat tahajud, witir dan sebagainya.
Pada waktu dinihari ini peluang seseorang jemaah memasuki Raudhah (di Masjid Nabawi) dan beribadat di sisi Kaabah dan tempat istimewa seperti dalam Hijir Ismail dan di belakang Maqam Ibrahim hatta untuk mengucup Hajar Aswad (di Masjidilharam) adalah lebih cerah berbanding pada waktu lain.
Kenapa jemaah bersungguh-sungguh beribadah di Masjid Nabawi dan Masjidilharam? Sudah pasti untuk mendapatkan keredaan dan pengampunan Allah SWT yang menjanjikan beribadat di Masjid Nabawi 1,000 kali ganda ganjarannya daripada masjid biasa manakala di Masjidilharam 100,000 kali ganda...ya rugi besarlah kalau tak nak rebut tawaran hebat ini...
Walaupun waktu tidur singkat, kebanyakan jemaah dapat tidur dengan lelapnya. Hampir tiada mimpi...tetapi sesekali bermimpi jua. Saya pun pernah bermimpi tetapi biarlah saya rahsiakan buat masa ini.
Berhubung mimpi ini, ada pembaca mencoretkan kisah beliau.
SUATU hari pada bulan Februari tahun 2000 (1420 Hijrah) saya sekeluarga bertolak ke Tanah Suci untuk menunaikan haji.
Perasaan gembira tidak dapat digambarkan maklumlah buat pertama kalinya saya ke Tanah Suci. Suami menjadi pembimbing kerana beliau pernah menunaikan umrah pada Ogos 1999.
Oleh kerana kami diberi penerbangan awal, bermakna rombongan kami ke Madinah dahulu untuk menziarah Makam Rasulullah s.a.w. di Masjid Nabawi dan menunaikan solat 40 waktu sepanjang lapan hari.
Aduh! terpegun saya melihat keunikan Masjid Nabawi yang tersergam indah.
Alhamdulillah sepanjang berada di Madinah saya dan ahli keluarga sihat.
Apabila sampai masa hendak bertolak ke Makkah perasaan mula terasa hiba kerana sayang hendak meninggalkan Masjid Nabawi dengan Makam Rasulullah s.a.w. di situ.
Rombongan kami menaiki bas yang disediakan dan menuju ke Masjid Bir Ali untuk berniat mengerjakan umrah wajib. Saya dan keluarga mengerjakan Haji Tamattuk.
Dalam bas saya berkenalan dengan seorang guru lepasan Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau banyak juga mengajar saya tentang sembahyang sunat, kebetulan beliau sebilik dengan saya di Makkah.
Yang amat saya tertarik sekali ialah sembahyang sunat Awabin sebabnya sebelum sembahyang berdoa dahulu untuk ucap selamat datang kepada Malaikat yang bertugas malam.
Apabila ilmu ini sudah saya perolehi, boleh dikatakan setiap malam saya mengerjakan sunat Awabin ini iaitu enam rakaat dengan tiga salam.
Perasaan saya macam terasa seperti ramai orang ikut saya sembahyang.
Saya selalu mengerjakan sembahyang di tingkat dua Masjidilharam. Rasa selesa dan jiwa tenang dengan perasaan cukup gembira kerana mendapat ilmu baru itu. Terima kasih pada sahabat saya itu.
Sampailah kemuncak haji, saya dan rombongan bertolak ke Padang Arafah pada 8 Zulhijah selepas sembahyang Isyak.
Kami sampai lebih kurang 11 malam. Setelah mengambil makanan kami ke khemah mengikut nombor yang diberi.
Oleh kerana saya agak keletihan saya minta izin pada mak cik di sebelah saya untuk tidur.
Tempat tidur saya terletak di antara cantuman khemah dengan khemah yang lain bermakna apabila melentang saya terus nampak langit.
Mata saya berkelip-kelip melihat langit, hati saya berkata: "Tak pa kut di sini bukan ada hujan."
Saya terus mengiring berkerekot dan terlelap... bermimpilah saya...
Ada satu kuasa melentangkan saya bagi menghadap langit dan diluruskan kaki saya, kemudian saya nampak awan yang cantik berkepul-kepul membawa Kaabah, saya terkejut dan menjerit: "Ya Allah! Kaabah."
Tiba-tiba kedengaran suatu suara serak-serak basah (lelaki) tanpa kelihatan orangnya, menyebut 'Baitulmakmur'.
Terus saya menjerit sekuat-kuatnya 'Allahuakbar' berkali-kali.
Sehinggalah awan membawa 'Kaabah' pergi sehingga sayup mata memandang, kemudian saya dikerekotkan kembali.
Oh! tersedar saya dari mimpi tersebut. Saya bangun duduk bersila melihat sekeliling. Semua orang sedang sedap berdengkur.
Saya termenung, memikirkan apakah hikmah di sebalik mimpi itu. Saya hanya manusia biasa tetapi mungkinkah ada iktibarnya ditunjukkan tempat Malaikat bertawaf sekalipun dalam mimpi saja. - HAJAH NOOR AZIZAN
No comments:
Post a Comment