DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. - Maksud Surah A;-Asr, 1-3
DARIPADA 'terpampang gagah' kini sudah tiada lagi. Ia sudah jadi 'allahyarham'. Demikianlah nasib akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo terbitan Utusan Melayu Malaysia Berhad.
Saya yang hampir setiap hari ke bahagian majalah Perpustakaan Awam Melaka di Bukit Baru, hanya melihat di rak akhbar nama tanda 'gagah' UTUSAN MALAYSIA dan KOSMO, tetapi sayang seribu kali sayang kedua-dua akhbar ini sudah jadi 'allahyarham'. Bila 'nak hidup balik'? Wallahu a'alam (Dan Allah lebih tahu),
Kini Kongres Nasional KEADILAN diadakan di Melaka. Selamat datang di negeri Melaka yang terkenal dengan 'tagline' Di Sini Segalanya Bermula. Namun perlu diingat di negeri ini juga berlaku 'pelbagai pengakhiran'. "Kematian' Utusan Malaysia dan Kosmo juga dirasai di Melaka. Jadi kepada 'orang' KEADILAN dan HARAPAN, berhati-hatilah dalam tindakan dan sikap anda sekarang ini, takut-takut parti dan kerajaan anda juga sedang menuju kematiannya!
Kini setiap kali ke perpustakaan, saya sebagai pembaca tegar, 'berasa semacam' apabila terlihat 'batu nesan' (papan nama di rak) Utusan Malaysia dan Kosmo. Sekalipun tidak suka dengan pendekatan laporan dan kecenderungan serta kecondongan Utusan Malaysia, saya baca juga akhbar ini, tetapi sekarang terasa begitu sepi sekali apabila akhbar ini sudah mati...
Apabila Utusan Malaysia terkubur apakah terkubur sama perjuangannya?Suatu hari saya membongkar akhbar keluaran lalu Utusan Malaysia. Dalam akhbar Rabu 9 Oktober 2019, ada satu iklan satu muka surat penuh Utusan menyatakan: Mencari Penaja Dalam Perjuangan Membina 100 Baitul Hikmah di 100 Masjid. Ayuh Lahirkan Lagi 100 Imam Ghazali.
Persoalannya, dengan 'matinya' Utusan Malaysia, matikah sama cita-citanya ini? Demikianlah ini sebagai contoh sahaja; kepada 'orang', 'penyokong', perwakilan terutama pemimpin KEADILAN yang berkongres di Melaka, 'pikiak' (fikir-fikirlah), parti dan kerajaan anda juga akan sampai kepada 'noktah' (penghujung) macam Utusan Malaysia jika 'perangai' dan 'sikap' awak tak banyak beza. 'Banyak' gaduh, adu domba, hasut menghasut, dengki, tikam belakang dan sebagainya,.
'Hei 'brother', ambil iktibar daripada kejatuhan empayar Melayu Melaka lebih 500 tahun dulu. Jika kita rujuk kejatuhan banyak empayar termasuk Melaka, satu daripada faktornya adalah penguasa-penguasa terakhirnya (termasuklah orang besar seperti menteri) tersungkur di kaki perempuan, korupsi berleluasa dalam negara manakala rakyat dizalimi dengan pelbagai tekanan termasuk dikenakan cukai melampau. Ada yang membiarkan permaisuri 'menguasai keadaan' - mereka bagikan tunggul atau 'yes man' saja kepada segala kehendak bini.
Selain itu terlalu ramai pemimpin menjadi 'kaki bodek' (mengiyakan apa saja kelakuan pemerintah iaitu tidak berani menegur mereka manakala sebahagian lagi menjadi pengkhianat - mereka menjadi gunting dalam lipatan, memberi bantuan kepada musuh pada saat-saat genting).
Zaman gerhana Melaka kerap dirujuk kepada pemerintahan Sultan Mahmud Shah (1488-1511) iaitu pemerintah Melaka terakhir. Merujuk kepada sesetengah pengkaji, mereka mendakwa Sultan Mahmud tidak mementingkan kesejahteraan rakyatnya. Salah satu kelemahannya adalah berkenaan perempuan. Semua perempuan berdahi licin hendak dimilikinya.
Misalnya, Tun Fatimah, anak Bendahara Melaka yang cantik dicemburui sultan kerana telah berkahwin dengan Tun Ali. Akibat rasa cemburu dan tidak senang hati dengan tindakan Bendahara Tun Mutahir tidak mempersembahkan Tun Fatimah terlebih dahulu kepadanya, Sultan Mahmud murka. Terlebih dahulu Datuk Mandeliar dan Si Kitol telah menghasut Sultan Mahmud Shah – masuk jarum.. Alahai sultan, mudahnya terpengaruh. Akhirnya seluruh keluarga Tun Mutahir dibunuh, yang tinggal hanya Tun Fatimah untuk dijadikan isteri Sultan.
Kemaruk Sultan memuncak apabila 'tergilakan' Puteri Gunung Ledang. Puteri bijak menghelah dengan mengemukakan tujuh syarat peminangan termasuklah disediakan jambatan emas menghubungkan puncak gunung itu dengan Melaka dan semangkuk darah anakanda Sultan, Raja Ahmad. Disebutkan pada mula Sultan Melaka berhasrat memenuhi syarat itu - cukai ke atas rakyat ditingkatkan manakala ada menyebut harta mereka seperti emas dirampas. Namun faktor membabitkan kepentingan diri sendiri (semangkuk darah Raja Ahmad), Sultan membatalkan hasrat itu.
Kezaliman Sultan sudah keterlaluan, tetapi adakah orang berani menegur? Jawapan yang zahir adalah tidak kerana mereka tersangat takut kerana orang kanannya sendiri seperti Bendahara bukan saja disingkirkan tetapi seluruh keluarganya dibunuh. Menegur Sultan bermakna mati atau setidak-tidak dihumbankan ke dalam penjara atau 'dibuang ke luar daerah' (dihukum bunuh tetapi diselamatkan Bendahara Tun Perak) seperti dialami Laksamana Hang Tuah.
Menegur Sultan (mengkritik pemerintah) tidak berlaku pada zaman gerhana ini. Apa yang ada terdapat ramai pengampu dan tukang fitnah serta pengkhianat seperti Si Kitol dan Datuk Mendeliar. Sultan diberi 'gambaran indah-indah' - tidak mengetahui situasi sebenar dalam negara yang di ambang untuk jatuh. Ramai yang berarak menyatakan sokongan kepada Sultan, hakikatnya sokongan inilah yang membawa rebah. Ya pemerintah sudah nazak tetapi masih ramai rakyat berarak-arak di jalan raya...
Apabila Portugis menyerang Melaka pada 1511, dilaporkan angkatan perang Melaka terlalu gagah untuk dikalahkan. Tetapi angkara terlalu ramai pengkhianat (termasuk yang berarak di jalan raya menyatakan sokongan) yang memberi bantuan sama ada secara terang-terangan atau sembunyi-sembunyi, akhirnya tewaslah Melaka menyebabkan Sultan Mahmud terpaksa berpindah randah dan akhirnya mangkat di Sumatera pada 1528.
Demikianlah berakhirnya sebuah empayar, peristiwa dalam sejarah kerap berulang-ulang...adakah kita mahu terus membutakan mata dan memekakkan telinga daripada pengajaran sejarah ini. Faktor seperti fitnah, adu domba, pemerintah 'dikuasai bini', bersikap boros, menindas rakyat dengan cukai tinggi, membunuh (menyingkir) pesaing termasuk pembantu kanan adalah fenomena biasa pada zaman gerhana...ya fikir-fikirkanlah sejenak sama ada parti dan kerajaan kita kini di zaman gerhana atau tidak!
No comments:
Post a Comment