Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ************* Renungan ************ "Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)
TIDAK lama dulu penulis menghadiri empat majlis perkahwinan dan satu kenduri arwah. Banyak lagi jemputan penulis uzurkan diri. Mungkin badan sudah panas manakala kepala pusing selepas makan terlalu banyak nasi briani dan minyak, daging serta minum air batu.
Apa yang penulis amati, majlis perkahwinan orang Melayu masa kini melalui evolusi masa, antaranya semua majlis yang dihadiri, tiada satu pun yang mengamalkan makan secara berhidang sebaliknya berdasarkan konsep layan diri - senduk sendiri dan makan. Layangan petugas adalah minimum - ada gadis dan pemuda yang menghulur buah tangan - kotak kecil mengandungi gula-gula dan coklat atau kek. Sekarang hampir tiada buah tangan kotak telur atau bunga telur.
Khemah orang sekarang pun 'dahsyat-dahsyat'. Walau di ceruk kampung, khemahnya adalah daripada kain yang menyeret hingga ke tanah dan dalam waktu terakhir ini penulis tidak ketemui lagi khemah 'simple' daripada atap zink dan tiang besi apatah lagi 'khemah buluh'. Khemah jenis ini rasanya sudah 10 tahun penulis tidak ketemui.
Pendeknya sudah berlaku pelbagai perubahan dalam majlis perkahwinan orang Melayu. Ini termasuklah kad kahwin, yang baru-baru ini bapa penulis mengomel. Katanya, apalah budak-budak sekarang, buat kad kahwin, disertakan gambar bakal pasangan pengantin berpeluk-peluk. Masa mereka ambil gambar itu, dia orang ingat dia sudah jadi suami isteri ke?
Budak-budak sekarang sudah melampau, kata pula seorang ustaz ketika majlis agama yang penulis hadiri baru-baru ini. Beliau mengulas tiga dugaan utama seseorang manusia (lelaki) iaitu perempuan, harta dan pangkat. Apabila memperkatakan dugaan perempuan, beliau berkata budak-budak sekarang kalau bercinta, melampaui batas, berlebih-lebih.
Ambil contoh kalau seseorang pemuda itu sedang mabuk bercinta. Pukul tujuh, ketika ke masjid untuk solat maghrib, kita nampak dia di atas motor sedang bercakap dengan 'aweknya' menggunakan telefon awam, pukul 9.30 malam, ketika kita balik dari masjid, dia masih bertenggek atas motor itu, berbual lagi. Apa benda yang sedap sangat agaknya dia bualkan sampai berjam-jam itu? Tak terfikirkah dia maghrib sudah lepas, nanti Isyak dan subuh pun boleh terlepas sama. Ustaz ini mengambil contoh kisah 'budak-budak dulu'. Budak sekarang main 'handset' aje kerja dia orang.
Itulah orang sekarang, kata ustaz itu. Belum kahwin boleh bercakap berjam-jam, tetapi selepas kahwin 'silent' (senyap) saja. Sebab masa belum kahwin dulu, dia dah cakap habis-habis, jadi lepas kahwin dia tidak ada bahan nak cakap lagi. Pasangan ini sudah habis modal jadi dia orang 'silent', 'silent', 'silent', alih-alih kita dengar dia orang dah bercerai pula.
Ini berlainan dengan orang dulu, kata ustaz itu. Pasangan pengantin dulu tak kenal satu sama lain. Mereka ikut saja cakap mak bapak. Kalau keluarga mereka dah berkenaan kat seorang anak dara itu, mereka ikut saja. Ketika mula kahwin mereka 'silent' saja, tetapi selepas beberapa tahun kahwin, tup-tup anak dah lapan, 10 dan 12! Itu tandanya apa? Tanda bahagialah tu!
Dalam sebuah lagi kuliah yang penulis hadiri, penceramah dalam bab nikah kahwin, berkata kalau kita sebagai bapa (penjaga) kepada anak-anak gadis, pilihlah bakal menantu yang baik agama dan akhlaknya. Jalankan siasatan dan risikan sama ada bakal menantu solat lima waktu dan menunaikan amalan agama lain. Soalan pertama untuk rombongan bakal menantu, 'budak' tu sembahyang tak, bukan seperti kebanyakan kita yang bertanyakan, dia kerja apa, gaji dia berapa, 'pass' universiti mana dan pakai kereta apa?
Kalau soalan pertama (solat tak?), dia 'fail', lebih baik jangan dijadikan menantu. Orang yang tidak solat, sudah pasti 'fail' dalam bab-bab lain seperti puasa. Kalau dia tidak takutkan Allah, bagaimana dia nak menjalankan tugasnya sebagai pemimpin dalam rumah tangga, nak memimpin isteri dan anak-anaknya?
Bagi calon isteri pula, carilah juga yang kuat beragama walaupun ciri-ciri lain seperti keturunan, subur (tidak mandul) dan kecantikan juga penting. Janganlah seperti orang sekarang yang suka cari orang glamor seperti artis. Perkahwinan adalah satu ibadat, bukan untuk bermegah-megah, kononnya dapat kahwin artis, pelakon hebat dan sebagainya tetapi agama dan akhlaknya tidak diperhatikan.
Kata ustaz itu, antara calon isteri yang baik ialah yang murah mas kahwinnya. Hal ini termasuklah wang hantarannya, tidaklah terlalu mengada-ngada seperti orang sekarang, hendakkan RM11,111.11 atau RM22,222.22 atau RM33,333.33 atau RM44,444.44. Hidup biarlah berpada-pada, janganlah nak riak, nak menunjuk-nunjuk. Semuanya akan membawa kehancuran. Sia-sia saja amal perbuatan sedangkan kita hendakkan keredaan Allah SWT.
No comments:
Post a Comment