Sunday, August 11, 2019

PPSMI - Pi mai pi mai tang tu?


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Hai orang-orang beriman! Sesungguhnya (meminum) al-Khmar (arak), berjudi, (berkorban) untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan."
"Sesungguhnya syaitan itu bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum al-Khamr (arak) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah subhanahu wata'ala daripada sembahyang maka berhentilah kamu daripada mengerjakan pekerjaan itu." (Maksud ayat 90-91 Surah al-Maa'idah)

SEKALI lagi isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam dalam bahasa Inggeris (PPSMI) menjadi fokus awam.

'Perjuangan kita belum selesai'....luka lama belum sembuh-sembuh, kini ada kemungkinan untuk berdarah kembali. Hakikatnya perkara ini belum 'dimuktamatkan'. Ia bagaikan menepati kata-kata masyhur 'orang Penang' - pi mai pi mai tang tu'...

Namun apa dibimbangi isu ini bukan 'perkara main-main' kerana ia melibatkan masa depan bahasa, negara, bangsa, generasi dan banyak lagi - salah satu persoalan penting mengapa warga sekolah buat sekian kali dijadikan 'guinea pig' (tikus ujian).

Adakah ini bermakna tepatnya peribahasa Melayu yang berbunyi; 'sekali air bah sekali pantai berubah'? Sempena 'kehangatan' PPSMI ini, izinkan  saya (penulis) mengutip kembali nostalgia sebuah 'perjuangan kecil'  rakyat marhain dalam isu ini...

Petang hiba 7 Mac 2009 di ibu kota

Kaki terpelecok masuk longkang ketika melarikan diri daripada tembakan gas pemedih mata – demikian tulis seorang rakan. Beliau menceritakan nasib dirinya ketika Perhimpunan 100,000 Rakyat Membantah PPSMI di ibu kota, petang 7 Mac 2009.

Itu pengalamannya, bagaimana nasib penulis? Saya sampai di pekarangan Masjid Negara jam 1.00 tengah hari. Kelihatan orang ramai mengerumuni Sasterawan Negara (SN) Dato’ A Samad Said (Pak Samad).

Penulis perhatikan susuk Pak Samad uzur dalam ‘ketampanannya’ berbaju Melayu. Dia terketar-ketar, segera penulis teringat kata-katanya pada penghujung usia, dia akan menggunakan saki baki umur memperjuangkan suara hati rakyat, hatta sanggup bergelar Sasterawan Rakyat dalam usaha memperkasa bahasa Melayu ketika sang penguasa menguncupkannya!

Bersama Pak Samad adalah Dr Hassan Ahmad (kini Allahyarham), Pengerusi GMP (Gerakan Mansuh PPSMI). Kedua-dua tokoh ini sama-sama veteran, mungkin ada yang fikir, mereka lebih layak duduk di rumah; tetapi mereka bersungguh-sungguh mengepalai himpunan rakyat sebagai usaha mendaulatkan bahasa Melayu yang dirobek-robek penguasa. Di belakang mereka, penulis melihat Prof Dr Shaharil Mohamad Zain (Timbalan Pengerusi GMP). 

Selepas beberapa pemimpin berucap di anjung masjid, orang ramai berarak menuju Istana Negara. 
Sambil berjalan, ada yang berteriak “Hapus PPSMI'. Di jejambat Jalan Mahameru (bahagian paling tinggi) penulis menyisih ke tepi, memandang ke belakang. Masya-Allah, jalan raya dipenuhi manusia. Melihat ke depan dan ke belakang, saya anggarkan lebih 50,000 orang menyertai perarakan.

Orang ramai terus berjalan sehingga menghampiri sebuah jambatan (jalan atas), kira-kira 300 meter dari Istana Negara. Di atas jambatan itu menunggu trak FRU berwarna merah. Tiba-tiba terdengar bunyi derapan kasut dihentak serentak dengan kuat. Kemudian melayang di angkasa kapsul berasap, yang singgah di tengah-tengah ribuan orang sedang berarak itu.

Kepulan asap merebak dengan cepat. Orang ramai bertempiaran. Banyak lagi kapsul melayang di udara, mencecah bumi dan mengeluarkan asap berkepul-kepul. Itulah gas pemedih mata yang menyebabkan kulit bagaikan disengat-sengat manakala dada sesak. 

Dalam keadaan kelam-kabut itu terserlah adegan kemanusiaan meruntun hati. Ada beberapa orang yang mempunyai bekalan air botol, mencurahkan air perlahan-lahan bagi membolehkan orang ramai membasuh muka, membasahkan tuala dan mengelap muka. Saya turut mencurahkan air minuman saya, beberapa orang menadah air itu.

Sekalipun terhalang, orang ramai meneruskan perjalanan. Ada mendaki cerun curam di sisi lebuh raya. Saya pun mengikuti mereka. Setelah berada di tengah-tengah lereng itu, saya terasa seperti tidak terdaya lagi. Mahu jatuh, nafas bagai mahu putus.

Saya berfikir, saya berada di bumi Malaysia atau di bumi Palestin yang rakyatnya terpaksa menyusup sasap menyelamatkan diri daripada ledakan bom rejim Zionis. Hiba hati mengenangkan nasib rakyat diperlakukan bagaikan anjing semata-mata kerana mahu mendaulatkan bahasa sendiri.

Sejam kemudian selepas keadaan kembali tenang, saya menuju ke Istana Negara. Pemimpin GMP seperti Prof Emeritus Abdullah Hassan; isterinya Ainon Muhammad dan Dr Shaharil muncul dari arah istana. Dr Shaharil berkata misi GMP sudah terlaksana, memorandum telah disampaikan. Alhamdulillah!

No comments: