Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. - Maksud Ayat Al-Quran, Al-Isra', 17:1.
APRIL-MEI 1994 saya berada di Afrika Selatan bagi membuat liputan pilihan raya umum pelbagai kaum pertama negara itu. Antara tokoh saya temui adalah Tan Sri Ghazali Shafie (bekas menteri, kini Allahyarham) yang dilantik pemerhati Komanwel bagi memantau perjalanan pilihan raya.
Tokoh ini dalam satu wawancara memberitahu apabila seorang saja rakyat Afrika Selatan mengundi, bermakna berakhirlah aparteid (dasar membezakan warna kulit; dalam kes Afrika Selatan antara kulit putih dan hitam) daripada muka bumi ini. Seluruh dunia mengecam aparteid, jadi mahu tak mahu rejim kulit putih terpaksa mengalah.
Pilihan raya itu yang dimenangi Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) pimpinan Nelson Mandela, adalah penanda kehancuran aparteid. Saya masih ingat kesukaran untuk ke Afrika Selatan kerana dalam pasport Malaysia ketika itu ada dicop tidak boleh ke Afrika Selatan. Sebuah lagi negara adalah Israel.
Sekarang dalam pasport Malaysia, dicop hanya Israel tidak dibenarkan dikunjungi. Namun selepas diizinkan Allah dapatlah diri ini ke sana; apa yang saya lihat dan daripada maklumat diterima, hakikatnya Israellah pengamal aparteid terakhir di dunia.
Aparteid sudah berakhir di Afrika Selatan dan belahan lain dunia tetapi tidak di Israel. Kenapa? Pada pendapat hamba yang daif ini, berbeza daripada di Afrika Selatan pada era aparteid dulu, keganasan rejim Zionis bagai direstui organisasi antarabangsa dan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat.
Buktinya betapa banyak ketetapan antarabangsa dinjak-injak rejim Zionis tetapi seluruh dunia diam saja. Daripada 'merempat' (tiada negara sebelum 1948), kini selepas lebih 70 tahun, Israel menguasai 85 peratus wilayah Palestin (yang tinggal hanya Gaza dan tompok-tompok wilayah di Tebing Barat).
Akibatnya lebih dua juta rakyat Palestin menjadi pelarian; namun rejim Zionis terus merampas tanah serta merobohkan bangunan dan kediaman orang Palestin. Gaza terus dibedil, tetapi seluruh dunia termasuk negara Islam (terutama negara Arab) dan organisasi yang memayungi mereka Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tetap membisu.
Sekarang ini selepas PM Benjamin Netanyahu menang pilihan raya dengan ikrar merampas lebih banyak tanah di Tebing Barat, seluruh dunia diam saja. Apabila ini berlaku tentunya rejim ini bertambah bongkak; tindakannya dulu yang sudah zalim bertambah zalim nampaknya.
Sebagai contoh Israel pada era PM Ariel Sharon (2001-2006) telah membina 'tembok pemisah atau aparteid' di Tebing Barat sepanjang 700 kilometer dipandang sepi saja oleh masyarakat antarabangsa; hakikatnya ia telah memenjarakan warga Palestin dalam negara mereka sendiri. Adakah masuk akal untuk dibahagikan wilayah negara kepada A,B dan C yang mana A untuk orang Yahudi saja, B untuk orang Palestin saja manakala C untuk kedua-dua pihak?
Sharon telah mati penuh penghinaan selepas diserang angin ahmar pada 2006 tetapi 'tembok aparteidnya' terus utuh dan 'bertambah panjang' bagi mengekang warga Palestin hatta untuk ke Baitulmaqdis untuk beribadat di tanah suci itu.
Hakikatnya sekarang ini tidak semua orang Islam Palestin boleh ke Haram Al-Sharif untuk beribadat di sejumlah masjid di sana seperti Masjid Al-Aqsa dan Kubah Batu (Dome of the Rock). Ya tembok telah 'dipasang', bagaimana 'bisa' jemaah ke sana? Hanya orang dalam kota Baitulmaqdis dapat ke sana; itupun orang-orang tua (dengan kebenaran), yang muda dilarang!
Kedatangan jemaah untuk solat waktu terutama subuh amat menyedihkan. Hanya sebuah masjid (Masjid Al-Aqsa) didirikan solat subuh berjemaah manakala masjid-masjid lain termasuk Masjid Kubah Batu sepi sekali. Apa tidaknya, askar Israel sentiasa berkawal...pembimbing kami memberitahu "awak sebagai pelancong mudahlah ke Al-Aqsa tetapi tidak bagi orang Palestin."
Demikianlah betapa kejamnya rejim aparteid Israel. Tetapi nampaknya masyarakat dan organisasi antarabangsa seperti PBB, OIC apatah lagi kuasa besar tidak peduli pun. Malah 'pak saudara' Netanyahu, Presiden Donald Trump mencurah garam ke luka Palestin dengan mengisytiharkan Baitulmaqdis (Jerusalem) sebagai ibu kota Israel. Trump turut mengiktiraf Bukit Golan yang dirampas daripada Syria sebagai wilayah Israel.
Berdasarkan senario ini 'kapan' (bila) aparteid Israel akan berakhir? Jawapannya sukar dalam masa terdekat ini; namun sekarang bukankah bulan Ramadan...derita orang teraniaya termasuk orang Palestin akan terasa di hati orang benar-benar berpuasa kerana Allah; mereka akan bersama-sama bangkit untuk memperjuangkan nasib orang dizalimi.
Insya-Allah, Dia akan memberi pertolongan. Jika kita tidak mampu dari segi persenjataan dan material, doa dan pengaduan kepada Yang Maha Berkuasa amat bermakna terutama pada Ramadan ini. Inilah sebenar senjata sebenar orang mukmin...hancurkan aparteid Israel ini ya Allah.
No comments:
Post a Comment