Saturday, May 4, 2019

Semarak Ramadan...(4): Bertaubatlah sebelum 'masuk' Ramadan ini...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

DI bumi Palestin yang diberkati, rombongan kami berkesempatan melawat sejumlah makam (maqam) para anbia dan tokoh Islam; untuk penceritaan kali ini saya memfokuskan kepada makam Nabi Yunus a.s. dan tokoh sufi wanita Rabiatul Adawiyah yang berdasarkan kefahaman saya, kisah mereka ada unsur-unsur taubat (mohon maaf jika kefahaman saya ini tidak tepat).

Sebelum dilanjutkan penceritaan, adalah bermanfaat untuk didefinisikan maksud perkataan 'makam' itu. Pembimbing rombongan kami; seorang warga Palestin/Arab yang boleh dikatakan fasih berbahasa Melayu/Indonesia awal-awal lagi mengingatkan kami bahawa 'makam' bukan semestinya 'kubur' seperti difahami kebanyakan orang.

Betul makam selalunya bermaksud kubur, tetapi ia juga boleh bermaksud 'tanda' atau 'batu tanda' seperti Makam Ibrahim a.s. berhampiran Kaabah dalam Masjdilharam. Ya, ia bukan kubur Nabi Ibrahim a.s. tetapi tanda tapak kaki Nabi Ibrahim a.s. ketika baginda membangunkan Kaabah bersama puteranya, Nabi Ismail a.s.

Perkataan 'makam' juga bermaksud kedudukan (tahap) seseorang itu, misalnya bagaimana makam seseorang itu di sisi Allah SWT. Sekalipun makam dalam bahasa Arab itu membawa beberapa makna, ketika kembali ke tanah air, saya menyemak kamus Dewan, bagi perkataan makam; ia memberi dua makna saja iaitu tempat kediaman dan kubur.

Makam pertama yang mahu dikisahkan adalah Makam Nabi Yunus a.s. di kota Halhul, Hebron. Makam ini ditempatkan dalam masjid dikenali Masjid Nabi Yunus. Menurut pembimbing kami, Nabi Yunus a.s. pernah singgah dan tinggal di kota ini...jadi penduduk membangun sebuah masjid dan makamnya di situ.

Singgahnya Nabi Yunus bin Matta di kota itu adalah selepas baginda ditelan ikan nun selepas meninggalkan kaumnya yang enggan mendengar kata. Menurut tafsiran ulama, kalaulah dia (Yunus) bukan daripada mereka yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih), tentulah ia (jasadnya) akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur.

Nabi Yunus tinggal di perut ikan itu dalam beberapa waktu dan dibawa mengharungi lautan. Ketika Yunus mendengar ucapan tasbih dari kerikil di bawah laut, maka dalam kegelapan itu Nabi Yunus s.a.w. berdoa yang bermaksud, “Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim.” Yunus berada dalam tiga kegelapan; kegelapan perut ikan, kegelapan lautan, dan kegelapan malam. Hal ini sebagaimana yang difirmankan Allah Taala:
“Dan (ingatlah kisah) Dzun Nun (Yunus), ketika ia pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka bahwa Kami tidak akan mempersempitnya (menyulitkannya), maka ia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap, “Bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim.”– Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya daripada kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman.” (QS. Al Anbiyaa’: 87-88)
Maka apabila memasuki Ramadan ini, perbanyakkanlah doa Nabi Yunus a.s. ini kerana Nabi s.a.w. ada bersabda yang bermaksud: "Doa Dzunnun (Nabi Yunus a.s.) ketika dalam perut ikan adalah “Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim.” Sesungguhnya tidak seorang Muslim pun yang berdoa dengannya dalam suatu masalah, melainkan Allah akan mengabulkan doanya.” (HR. Tirmidzi, dan disahihkan oleh Syaikh Al Albani)
Ada pun makam sang sufi Rabiatul Adawiyah terletak di puncak Gunung Zaitun (Mount Olives) yang dari sana kelihatan nun kota Baitulmaqdis dengan Masjid Kubah Batu (Dome of the Rock) yang kubahnya memantulkan cahaya keemasan.
Untuk ke makamnya, seseorang perlu menuruni tangga membawa ke sebuah ruang sempit bawah tanah. Di bilik itu yang seolah-olah dalam sebuah gua, kedapatan makam sang sufi, dikenali sebagai seorang 'pentaubat' paling hebat dalam sejarah Islam. 
Ketika menghadap makam, memberi salam dan membaca doa; terngiang-ngiang di telinga saya bait-bait taubat/munajat ini:
Wahai Tuhanku, aku tak layak ke syurga-Mu
Namun aku tidak sanggup ke neraka-Mu
Terimalah taubatku dan ampuni segala dosaku
Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar

Sekalipun ada cendekiawan mendakwa bait-bait tidak dapat dinisbahkan kepada sang sufi Rabiatul Adawiyah setidak-tidaknya ia dapat dijadikan pencetus untuk kita mengkoreksi diri seterusnya melakukan taubat sebelum dan pada Ramadan ini. Ya, sebagai  manusia yang tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan dosa, Kau ampunilah kami, ya Allah ya Tuhan kami. Kau berkati kami dan jadikan Ramadan ini yang terbaik bagi kami.

No comments: