Saturday, May 18, 2019

Anugerah wartawan; sekali lagi media alternatif disisih

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

PADA Malam Wartawan Malaysia 2019: Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas di Kuala Lumpur baru-baru ini, tetamu undangan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dipetik sebagai berkata kementeriannya akan menyediakan biasiswa khas untuk wartawan yang berhasrat melanjutkan pelajaran. 

Maszlee berkata, ia adalah hadiah daripada kementerian itu bagi menghargai sumbangan dan peranan wartawan, terutama dalam membentuk Malaysia Baharu. Beliau juga berkata dalam pertemuannya dengan agensi berita Al-Jazeera baru-baru ini, mereka juga menyatakan persetujuan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan.

“Al-Jazeera bersetuju menawarkan khidmat latihan dan bimbingan khusus kepada mereka yang ingin mengasah bakat kewartawanan menerusi latihan industri dan seumpamanya,” katanya.
Jika tahun ini (2019) Maszlee (pemimpin kerajaan Pakatan Harapan - HARAPAN) menjadi tetamu kehormat majlis anugerah wartawan itu manakala tahun lalu ia menampilkan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah  (juga pemimpin HARAPAN) namun sayang seribu kali sayang; semua hadiah anugerah tahun ini adalah untuk wartawan daripada media massa arus perdana sama seperti tahun lalu. Tidak ada perubahan sekalipun kerajaan sudah bertukar tangan! Sudah setahun dah!
Wartawan media alternatif seperti Suara Keadilan, Roket dan Harakah nampaknya berputih mata sekali lagi. Seolah-olah mereka tidak ada tempat dalam dunia kewartawanan negara kita, sedangkan Maszlee ada berkata biasiswa khas akan dianugerah kepada wartawan kerana menghargai sumbangan dan peranan mereka dalam membentuk Malaysia Baharu.
Nampaknya dunia kewartawanan tanah air sekarang ini seakan-akan sudah memasuki episod 'lembu punya susu sapi mendapat nama'. Apatah tidaknya, wartawan-wartawan dan penulis media alternatif turut bersama berjuang tahun demi tahun 'memandikan keringat, air mata dan darah' bagi bersama-sama menjatuhkan rejim korup lama yang akhirnya merealisasikan Malaysia Baharu tetapi orang lain yang disanjung, diberi nama dan anugerah!
Sebelum pilihan raya umum Mei 2018 kebanyakan media massa arus perdana termasuk pengarangnya menggunakan taktik 'hancing' atau dipandu ke arah itu oleh pemerintah korup, bagi 'meracuni' dan 'merosakkan' minda rakyat bagi menyokong rejim kleptokrasi. Pendeknya mereka adalah juara (pembodek paling kuat) sekalipun ada berhujah mereka melakukannya kerana 'menjaga periuk nasi' masing-masing.
Selepas rejim ini jatuh, mereka secara perlahan-lahan berubah kerana sedar jika tidak demikian, mereka akan rebah. 
Dulu, penulis pernah bertanya mengapa perasmi daripada kerajaan HARAPAN  boleh dipanggil sedangkan penulis dan wartawan serta media massa alternatif seluruhnya tidak dihargai langsung? Membaca coretan wartawan, editor dan penulis media alternatif seperti Suara Keadilan dapat diketahui suara hati mereka - sedikit sebanyak mereka menyumbang kepada kejatuhan kerajaan hipokrasi dan kleptokrasi, tetapi 'seperti biasa', pemerintah tidak memandang sebelah mata pun kepada mereka! Sedih, sedih dan sedih; adakah kerajaan HARAPAN pun sama?
Sekali lagi penulis berharap media massa yang selama ini disifatkan sebagai media alternatif termasuklah wartawan, penulis dan mereka yang terbabit dalam menjayakan penerbitan, dimasukkan sebagai calon dalam anugerah-anugerah yang disediakan. Jangan lagi kita terpedaya kononnya hanya media massa arus perdana ini yang 'banyak berjasa' sedangkan bukti terserlah ramai daripada karyawan terutama peneraju seperti editor-editornya adalah bersifat bagaikan sumpah-sumpah! Mereka tukang 'spin' yang hebat, sekarang ini pun mereka main 'spin' tetapi pihak dibodeknya sudah bertukar!
Nampaknya, media massa arus perdana Malaysia nampaknya 'enak-enak saja menikmati hasilnya' selepas kerajaan kleptokrasi Umno BN ditumbangkan. Dulu mereka menjadi 'pembodek utama' tetapi sekarang ramai yang berlagak bagaikan 'pejuang' pula!
Dulu pemerintah Umno BN  'memperbodoh' rakyat terutama media massanya, sekarang diharapkan kerajaan HARAPAN (termasuk menteri-menterinya) tidak begitu; jadi sama-samalah beri pengiktirafan dan penghargaan kepada media massa terutama akhbar-akhbar alternatif seperti Suara Keadilan dan karyawannya!
Berdasarkan perkembangan di negara Barat ini yang demokrasinya menjadi sanjungan banyak pihak di Malaysia termasuk parti pemerintah, maka perlulah pihak berwajib memberikan hak untuk semua parti-parti politik termasuklah daripada pembangkang membangunkan media massa mereka sendiri termasuk TV dan radio yang siaran atau terbitannya tidak terhad kepada ahli parti tetapi untuk semua warga. 
Jika situasi ini dibenarkan, akan wujudlah persaingan sihat media massa yang sudah tentu akan menguntung serta memaju serta mematangkan rakyat negara ini. Jadi kepada kerajaan baharu dalam negara yang ada orang memanggilnya sebagai Malaysia Baharu, iktiraf dan berilah sama-sama penghargaan kepada media massa alternatif yang selama ini berjuang bermati-matian bagi membolehkan tokoh politik menjadi wakil rakyat dan seterusnya menteri...dan yang paling besar sekali menumbangkan rejim korup yang lama! Tidak ingatkah anda semua akan hal ini?

No comments: