Wednesday, May 29, 2019

Kasut hitam, cermin gelap tapi hati biarlah putih...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. - Maksud Ayat Al-Quran, Al-Isra', 17:1.


RAMADAN adalah madrasah (sekolah atau universiti) bagi membersihkan hati kita yang hitam, hampir hitam, kelabu atau berkarat untuk kembali menjadi 'putih' (bersih). Bagi yang sudah berhati putih, kita putihkan melepak sepanjang Ramadan untuk keluar pada Syawal (Hari Raya) suci bersih..

Kini sudah setahun kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) berkuasa. Pelbagai pembaharuan sudah dibuat; banyak positif, ada juga negatif. Perang terhadap rasuah dipertingkatkan, isu 1MDB cuba dirungkaikan, media massa diberi lebih kebebasan manakala institusi berkaitan kerajaan dan rakyat seperti Tabung Haji dan GLC dibersihkan (diputihkan).

Antara isu  yang mungkin dianggap 'remeh' sesetengah pihak mendapat tempat di hati rakyat adalah arahan penukaran kasut putih kepada hitam oleh Kementerian Pendidikan dan kebenaran menggunakan cermin kereta gelap (hitam) oleh Kementerian Pengangkutan.

Bagi pengkritik apalah sangat bertukar uniform kasut sekolah daripada putih kepada hitam dan kebenaran menggunakan cermin gelap...ya, tak ada perkara besarkah yang hendak dikemukakan oleh kedua-dua kementerian ini dalam kerajaan baharu (HARAPAN)?

Mungkin ada yang berkata kedua-dua pendekatan ini adalah untuk 'menyemarakkan dunia bisnes' (peningkatan perniagaan kasut dan cermin kereta) serta kemungkinan kerajaan mengisi tabung kewangannya disebabkan 'angkara' kerajaan lalu menjadikan hutang negara mencapai bertrilion ringgit., 

Mereka berkata kerajaan baharu daripada 'menyibuk' pasal kasut hitam atau cermin gelap, adalah lebih baiklah mengusahakan atau meningkatkan kesungguhan untuk mengurangkan kesusahan rakyat pada zaman yang sukar ini. Ramai rakyat umum percaya apabila kerajaan baharu ditubuhkan, mereka akan senang tetapi ternyata hal itu tidak berlaku dengan cepat.

Kata mereka apa nak dihebohkan pasal cermin gelap sebab ramai rakyat berpendapatan sederhana dan miskin, 'pakai' motosikal kapcai saja atau naik pengangkutan awam manakala kasut ditukar setahun sekali atau dua kali saja. Jadi tak payahlah nak kecoh pasal benda-benda remeh ini.

Kebanyakan rakyat berpegang kepada cakap tokoh politik terdahulu seperti "hari ini kita tukar kerajaan, esok harga minyak akan turun" atau "nanti kalau kita berkuasa,  pendidikan adalah 'free' (percuma atau gratis kata orang Indonesia) daripada tadika ke 'U'" tetapi hal-hal ini belum terzahir. Apa yang nyata, harga barangan keperluan harian terutama berkaitan makanan dan minuman berterusan naik.

Isu rakyat dan pemimpin(kerajaan)  memang tidak akan habis-habis. Akan berterusan sekalipun kerajaan dan pemimpin bertukar tangan. Selagi ada manusia hidup di dunia ini, selagi itulah ada masalah.

Sempena Ramadan mulia ini, marilah kita lihat melangkaui permasalahan ini. Kata tokoh tasawuf Islam, Imam Ghazali: "Seandainya engkau melihat dirimu bersih (putih) daripada dosa, baik zahir atau batin dan engkau melihat dirimu bersih daripada segala keaiban baik yang berkenaan dengan urusan agamamu ataupun duniamu, maka ketahuilah bahawa kejahilan terhadap dirimu sendiri adalah sejahat-jahat kejahilan. 

"Tidak ada aib yang lebih besar daripada seseorang yang menganggap dirinya bersih daripada segala dosa dan kesalahan. Sebenarnya ketika itu Allah SWT tidak menghendaki kebaikan terhadap dirimu. Jikalau Dia menghendaki kebaikan pada dirimu tentu Dia menunjukkan kepadamu akan aib dirimu (tompok-tompok hitam di hatimu). Jadi ketika engkau melihat dirimu sebagai seorang yang bersih, maka itu adalah kesudahan daripada segala kejahilan."

Subhanallah, sebenarnya kita semua tak bersih (putih). Kita ada tompok-tompok hiitam di hati. Hakikatnya tiada orang yang boleh mengaku dia bersih. Tiada seorang manusia pun kecuali nabi-nabi yang bersih daripada dosa (maksum). Kalau seseorang itu mengaku dia bersih, sahlah dia tak bersih. Bercakap mengenai bersih ini, Nabi Muhammad s.a.w. yang maksum itu pun bertaubat meminta ampun kepada Allah SWT; sesetengah riwayat menyatakan sebanyak 70 atau 100 kali sehari - jadi sudah pasti kita ini tidak bersih dan perlu sentiasa meminta maaf kepada manusia lain dan ampun kepada Yang Maha Kuasa.

Jadi apabila menyedari hakikat diri kita yang tidak bersih (putih) ini, apa salahnya jika ada orang atau pihak sudi membantu diri dan pemimpin 'membersihkan' (memutihkan) negara ini daripada hal-hal yang bobrok seperti rasuah dan penyalahan kuasa sehingga menyebabkan institusi seperti Tabung Haji bermasalah sehingga pendeposit hanya mendapat hibah 1.5 peratus!

Ya, semua orang dan pihak (sebagai contoh tidak kiralah Polis, SPR, SPRM, PM, TPM, Menteri, PAS, KEADILAN, DAP, Umno, 'Tengku', Suara Keadilan, Harakah, TV3, RTM) perlu sentiasa membersihkan (memutihkan) diri. Mengikut ajaran Islam, untuk melakukan ini kita perlu sentiasa belajar dan muhasabah (mengkoreksi) diri serta melakukan kebaikan sebanyak mungkin sebaliknya menghindari daripada segala kejahatan seperti makan rasuah, berlaku zalim ke atas orang lain yang jika dilakukan akan menumbuhkan titik-titik hitam di hati kita. 

Kepada semua pembaca, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin daripada LanH.

Saturday, May 25, 2019

Semarak Ramadan...(7): Perihal 'batu besar tergantung' di Masjid Kubah Batu

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

KOMPLEKS Masjid Al-Aqsa agak luas - kira-kira 140,000 meter persegi (114 hektar). Di dalamnya terdapat sejumlah masjid - yang dapat dilihat dari kejauhan dengan kubah keemasan itu adalah 'Qubbat As-Sakhrah' (Dome of the Rock' / Masjid Kubah Batu) yang selalunya disilap anggap sebagai Masjid Al-Aqsa.

Antara masjid yang terdapat dalam kompleks ini adalah Masjid Buraq, Masjid Qadim, Masjid Qibli (Al-Jami' al-Aqsha), Masjid Umar dan Masjid Marwan.  Yang terbaru di buka adalah Masjid Al-Rahma (atau lebih dikenali sebagai Bab al-Rahma).

Bab al-Rahma adalah pintu masuk ke Kompleks Masjid al-Aqsa di sebelah timur dan di situlah ribuan umat Islam dapat menunaikan solat Jumaat buat pertama kali mulai Mac 2019, iaitu sejak lebih 30 tahun lalu yang dianggap banyak pihak sebagai kemenangan kepada umat Islam.

Bab al-Rahma adalah pintu terbesar dan paling cantik di antara empat pintu ke kompleks masjid berkenaan dan ia turut digelar Gerbang Emas oleh penganut Kristian dan Gerbang Ihsan oleh Yahudi.
Ada pun Al-Jami' al-Aqsha (Masjid Qibli) adalah salah satu bangunan utama yang terdapat dalam kompleks Masjid Al-Aqsa bahagian selatan dengan ciri khas kubah timahnya yang berwarna abu-abu. Di sini solat waktu berjemaah didirikan sepenuhnya (5 kali) sedangkan di masjid-masjid lain tidak sepenuhnya, misalnya di Masjid Kubah Batu solat subuh berjemaah tidak didirikan.

Bagi solat Jumaat, semua masjid dibuka (Masjid Kubah Batu dikhaskan untuk wanita) dengan Masjid Qibli mengambil peranan utama. Azan, khutbah dan kedudukan imam semuanya di masjid ini yang terletak di bahagian selatan, sekali gus paling hampir menghadap Kaabah (Masjidil Haram). Jadi apabila solat Jumaat, ratusan ribu jemaah dapat bersolat serentak di masjid-masjid berkenaan dan di dataran Kompleks Masjid Al-Aqsa.

Masjid Kubah Batu menampilkan seni binaan Islam tercantik di dunia. Di dalamnya terdapatnya sebuah batu besar yang dikatakan tempat Nabi Muhammad s.a.w. berdiri ketika peristiwa Israk Mikraj.  Penulis berpeluang menuruni tangga seterusnya memasuki ruang bawah di mana batu ini berada. Ruang ini sempit, boleh menempatkan kira-kira 50 jemaah. Ketika penulis berada di situ dulu, ia 'dibanjiri' kumpulan jemaah yang daripada penampilan mereka penulis agak berasal dari India.

Berceloteh mengenai batu ini, teringat penulis catatan Almarhum Ustaz Dato' Haron Din (semoga beliau berada dalam rahmat Allah SWT) mengenai batu ini dalam ruangan soal jawab Harakah yang penulis kendalikan pada tahun 2009 dulu.

Soalan itu berbunyi: Dato', saya telah melihat gambar dalam internet dan mendengar beberapa ceramah Israk Mikraj, ada penceramah menunjukkan gambar batu besar yang tergantung-gantung di Masjidil Aqsa, Baitulmaqdis (sebetulnya batu ini berada di Masjid Kubah Batu tetapi boleh juga untuk berkata batu ini berada dalam Kompleks Al-Aqsa - penulis). Adakah benar batu itu tergantung-gantung (tidak berpihak di bumi) dan terlepas daripada tarikan graviti. Pohon Dato' perjelaskan apakah yang sebenarnya. - ZAINAL AHMAD

Ustaz Dato' Haron Din menjawab: Ulama umumnya berpendapat Rasulullah s.a.w. bermikraj dari satu tempat di Baitulmaqdis yang disebut sebagai Qubbatul Mikraj (kubah tempat dimikrajkan). Tempat itu juga dikenali sebagai Sakhrah Baitulmaqdis.
Dalam kitab al-Israk wal-Mikraj oleh Khalid Saiyyid Ali di halaman 82, atas tajuk yang bermaksud 'Tempat Nabi bermikraj', disebut di bawahnya suatu penulisan (yang bermaksud): "Berkatalah al-Imam Aku Bakar Ibnul 'Arabi, ketika membuat penjelasan (syarah) Kitab al-Muwattak oleh Imam Malik disebutkan, batu besar di Baitulmaqdis adalah suatu keajaiban Allah SWT.
"Batu itu berdiri sendiri di tengah-tengah Masjidil Aqsa (Masjid Kubah Batu), tergantung-gantung dan terpisah daripada semua bahagiannya dengan bumi. Tidak ada yang memegangnya, melainkan Yang Memegang langit, daripada jatuh menimpa bumi.
"Di puncaknya dari arah selatan, itulah tempat kaki Nabi s.a.w. berpijak untuk menaiki Buraq, di sebelah itu agak condong. Dikatakan kerana kegerunannya atas kehebatan baginda s.a.w maka batu itu tergantung, saya sendiri takut untuk berada di bawahnya, kerana takut batu itu menghempap saya kerana dosa-dosa saya.
"Setelah beberapa ketika kemudian, saya pun memberanikan diri dan masuk berteduh di bawahnya, maka saya dapat melihat pelbagai keajaiban. Saya dapat menyaksikan ia dari semua arah. Saya benar-benar melihatnya terpisah dari bumi. Ada arah yang lebih jauh terpisah dari bumi daripada arah yang lain."
Inilah penulisan yang saya rujuk daripada penulisan seorang ulama besar yang dikenali dengan nama Ibnul 'Arabi.
Daripada sinilah timbul cerita demi cerita yang menyatakan batu tempat Nabi Muhammad s.a.w tergantung-gantung.
Itu adalah cerita dahulu. Ada sandarannya, ada catatannya dalam kitab-kitab yang berautoriti, termasuk daripada kitab yang saya sebutkan tadi.
Ada pun mutakhir ini, saya sendiri berpengalaman, telah masuk dan melihat batu tersebut, yang sekarang tempat itu dikenali sebagai Qubbatul Sakhrah (kubah yang di bawahnya ada batu). Sekarang ini sudah berada di belakang daripada Masjid al Aqsa.
Jika dilihat Masjid al-Aqsa, imam akan dilihat berada nun jauh daripada arah kiblat dan berakhir kawasan masjid dengan Qubbatul Sakhrah ini.
Saya telah memasuki tempat ini, berpeluang melihat batu itu dan masuk ke bawahnya. Memang batu itu benar-benar wujud dan terletak di tengah-tengah bangunan.
Gambaran sekarang ini, batu itu jika dilihat daripada bawah, seolah-olah seperti sebuah payung besar, seperti gua yang kita berada di bawahnya.
Saya menganggarkan keluasan tempat itu, sebesar ruang solat untuk 20 atau 25 orang, jika untuk masuk bersesak-sesak boleh sampai 150 orang.
Merenung batu itu dengan cermat, saya dapati ia sekarang terletak di atas fondisi konkrit batu yang kukuh. Di segenap arahnya berpijak ke atas fondisi itu dan tidak nampak pun ia tergantung seperti yang dijelaskan di atas.
Semasa lawatan itu, saya kebetulan bertemu dengan Imam Besar Masjid al-Aqsa yang berada di situ, di samping pemandu pelancong kami. Mereka menyatakan memang dahulu batu besar yang macam payung itu tergantung-gantung.
Oleh kerana banyak pembesar-pembesar negara dan banyak pelawat-pelawat luar datang, mereka terperanjat dan amat gerun dengan keadaan batu itu, banyak yang tidak berani masuk di bawah batu itu, kerana takut tiba-tiba batu itu menghempap.
Memandangan hal keselamatan penting dan mengelak daripada berlakunya berbagai tanggapan orang ramai ke atas keadaan yang unik itu, maka pihak berkuasa mengambil tindakan membina fondisi yang menyambung batu itu dari bumi.
Ketakutan pembesar-pembesar zaman ini samalah seperti yang dirasai oleh al-Imam Aku Bakar Ibnul 'Arabi seperti dalam bukunya.
Maka atas itulah batu tersebut sudah tidak lagi kelihatan tergantung-gantung, tetapi ia menjadi seperti sebuah bangunan yang di bawahnya boleh dimasuki, ia kelihatan seperti sebuah batu biasa yang dapat dilihat. Wallahua'lam.

Saturday, May 18, 2019

Anugerah wartawan; sekali lagi media alternatif disisih

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

PADA Malam Wartawan Malaysia 2019: Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas di Kuala Lumpur baru-baru ini, tetamu undangan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dipetik sebagai berkata kementeriannya akan menyediakan biasiswa khas untuk wartawan yang berhasrat melanjutkan pelajaran. 

Maszlee berkata, ia adalah hadiah daripada kementerian itu bagi menghargai sumbangan dan peranan wartawan, terutama dalam membentuk Malaysia Baharu. Beliau juga berkata dalam pertemuannya dengan agensi berita Al-Jazeera baru-baru ini, mereka juga menyatakan persetujuan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan.

“Al-Jazeera bersetuju menawarkan khidmat latihan dan bimbingan khusus kepada mereka yang ingin mengasah bakat kewartawanan menerusi latihan industri dan seumpamanya,” katanya.
Jika tahun ini (2019) Maszlee (pemimpin kerajaan Pakatan Harapan - HARAPAN) menjadi tetamu kehormat majlis anugerah wartawan itu manakala tahun lalu ia menampilkan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah  (juga pemimpin HARAPAN) namun sayang seribu kali sayang; semua hadiah anugerah tahun ini adalah untuk wartawan daripada media massa arus perdana sama seperti tahun lalu. Tidak ada perubahan sekalipun kerajaan sudah bertukar tangan! Sudah setahun dah!
Wartawan media alternatif seperti Suara Keadilan, Roket dan Harakah nampaknya berputih mata sekali lagi. Seolah-olah mereka tidak ada tempat dalam dunia kewartawanan negara kita, sedangkan Maszlee ada berkata biasiswa khas akan dianugerah kepada wartawan kerana menghargai sumbangan dan peranan mereka dalam membentuk Malaysia Baharu.
Nampaknya dunia kewartawanan tanah air sekarang ini seakan-akan sudah memasuki episod 'lembu punya susu sapi mendapat nama'. Apatah tidaknya, wartawan-wartawan dan penulis media alternatif turut bersama berjuang tahun demi tahun 'memandikan keringat, air mata dan darah' bagi bersama-sama menjatuhkan rejim korup lama yang akhirnya merealisasikan Malaysia Baharu tetapi orang lain yang disanjung, diberi nama dan anugerah!
Sebelum pilihan raya umum Mei 2018 kebanyakan media massa arus perdana termasuk pengarangnya menggunakan taktik 'hancing' atau dipandu ke arah itu oleh pemerintah korup, bagi 'meracuni' dan 'merosakkan' minda rakyat bagi menyokong rejim kleptokrasi. Pendeknya mereka adalah juara (pembodek paling kuat) sekalipun ada berhujah mereka melakukannya kerana 'menjaga periuk nasi' masing-masing.
Selepas rejim ini jatuh, mereka secara perlahan-lahan berubah kerana sedar jika tidak demikian, mereka akan rebah. 
Dulu, penulis pernah bertanya mengapa perasmi daripada kerajaan HARAPAN  boleh dipanggil sedangkan penulis dan wartawan serta media massa alternatif seluruhnya tidak dihargai langsung? Membaca coretan wartawan, editor dan penulis media alternatif seperti Suara Keadilan dapat diketahui suara hati mereka - sedikit sebanyak mereka menyumbang kepada kejatuhan kerajaan hipokrasi dan kleptokrasi, tetapi 'seperti biasa', pemerintah tidak memandang sebelah mata pun kepada mereka! Sedih, sedih dan sedih; adakah kerajaan HARAPAN pun sama?
Sekali lagi penulis berharap media massa yang selama ini disifatkan sebagai media alternatif termasuklah wartawan, penulis dan mereka yang terbabit dalam menjayakan penerbitan, dimasukkan sebagai calon dalam anugerah-anugerah yang disediakan. Jangan lagi kita terpedaya kononnya hanya media massa arus perdana ini yang 'banyak berjasa' sedangkan bukti terserlah ramai daripada karyawan terutama peneraju seperti editor-editornya adalah bersifat bagaikan sumpah-sumpah! Mereka tukang 'spin' yang hebat, sekarang ini pun mereka main 'spin' tetapi pihak dibodeknya sudah bertukar!
Nampaknya, media massa arus perdana Malaysia nampaknya 'enak-enak saja menikmati hasilnya' selepas kerajaan kleptokrasi Umno BN ditumbangkan. Dulu mereka menjadi 'pembodek utama' tetapi sekarang ramai yang berlagak bagaikan 'pejuang' pula!
Dulu pemerintah Umno BN  'memperbodoh' rakyat terutama media massanya, sekarang diharapkan kerajaan HARAPAN (termasuk menteri-menterinya) tidak begitu; jadi sama-samalah beri pengiktirafan dan penghargaan kepada media massa terutama akhbar-akhbar alternatif seperti Suara Keadilan dan karyawannya!
Berdasarkan perkembangan di negara Barat ini yang demokrasinya menjadi sanjungan banyak pihak di Malaysia termasuk parti pemerintah, maka perlulah pihak berwajib memberikan hak untuk semua parti-parti politik termasuklah daripada pembangkang membangunkan media massa mereka sendiri termasuk TV dan radio yang siaran atau terbitannya tidak terhad kepada ahli parti tetapi untuk semua warga. 
Jika situasi ini dibenarkan, akan wujudlah persaingan sihat media massa yang sudah tentu akan menguntung serta memaju serta mematangkan rakyat negara ini. Jadi kepada kerajaan baharu dalam negara yang ada orang memanggilnya sebagai Malaysia Baharu, iktiraf dan berilah sama-sama penghargaan kepada media massa alternatif yang selama ini berjuang bermati-matian bagi membolehkan tokoh politik menjadi wakil rakyat dan seterusnya menteri...dan yang paling besar sekali menumbangkan rejim korup yang lama! Tidak ingatkah anda semua akan hal ini?

Thursday, May 16, 2019

Semarak Ramadan...(5): 'Kapan' hancur aparteid terakhir?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. - Maksud Ayat Al-Quran, Al-Isra', 17:1.

APRIL-MEI 1994 saya berada di Afrika Selatan bagi membuat liputan pilihan raya umum pelbagai kaum pertama negara itu. Antara tokoh saya temui adalah Tan Sri Ghazali Shafie (bekas menteri, kini Allahyarham) yang dilantik pemerhati Komanwel bagi memantau perjalanan pilihan raya.

Tokoh ini dalam satu wawancara memberitahu apabila seorang saja rakyat Afrika Selatan mengundi, bermakna berakhirlah aparteid (dasar membezakan warna kulit; dalam kes Afrika Selatan antara kulit putih dan hitam) daripada muka bumi ini. Seluruh dunia mengecam aparteid, jadi mahu tak mahu rejim kulit putih terpaksa mengalah. 

Pilihan raya itu yang dimenangi Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) pimpinan Nelson Mandela, adalah penanda kehancuran aparteid. Saya masih ingat kesukaran untuk ke Afrika Selatan kerana dalam pasport Malaysia ketika itu ada dicop tidak boleh ke Afrika Selatan. Sebuah lagi negara adalah Israel.

Sekarang dalam pasport Malaysia, dicop hanya Israel tidak dibenarkan dikunjungi. Namun selepas diizinkan Allah dapatlah diri ini ke sana; apa yang saya lihat dan daripada maklumat diterima, hakikatnya Israellah pengamal aparteid  terakhir di dunia. 

Aparteid sudah berakhir di Afrika Selatan dan belahan lain dunia tetapi tidak di Israel. Kenapa? Pada pendapat hamba yang daif ini, berbeza daripada di Afrika Selatan pada era aparteid dulu, keganasan rejim Zionis bagai direstui organisasi antarabangsa dan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat. 

Buktinya betapa banyak ketetapan antarabangsa dinjak-injak rejim Zionis tetapi seluruh dunia diam saja. Daripada 'merempat' (tiada negara sebelum 1948), kini selepas lebih 70 tahun, Israel menguasai 85 peratus wilayah Palestin (yang tinggal hanya Gaza dan tompok-tompok wilayah di Tebing Barat). 

Akibatnya lebih dua juta rakyat Palestin menjadi pelarian; namun rejim Zionis terus merampas tanah serta merobohkan bangunan dan kediaman orang Palestin. Gaza terus dibedil, tetapi seluruh dunia termasuk negara Islam (terutama negara Arab) dan organisasi yang memayungi mereka Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tetap membisu.

Sekarang ini selepas PM Benjamin Netanyahu menang pilihan raya dengan ikrar merampas lebih banyak tanah di Tebing Barat, seluruh dunia diam saja. Apabila ini berlaku tentunya rejim ini bertambah bongkak; tindakannya dulu yang sudah zalim bertambah zalim nampaknya. 

Sebagai contoh Israel pada era PM Ariel Sharon (2001-2006) telah membina 'tembok pemisah atau aparteid' di Tebing Barat sepanjang 700 kilometer dipandang sepi saja oleh masyarakat antarabangsa; hakikatnya ia telah memenjarakan warga Palestin dalam negara mereka sendiri. Adakah masuk akal untuk dibahagikan wilayah negara kepada A,B dan C yang mana A untuk orang Yahudi saja, B untuk orang Palestin saja manakala C untuk kedua-dua pihak?

Sharon telah mati penuh penghinaan selepas diserang angin ahmar pada 2006 tetapi 'tembok aparteidnya' terus utuh dan 'bertambah panjang' bagi mengekang warga Palestin hatta untuk ke Baitulmaqdis untuk beribadat di tanah suci itu. 

Hakikatnya sekarang ini tidak semua orang Islam Palestin boleh ke Haram Al-Sharif untuk beribadat di sejumlah masjid di sana seperti Masjid Al-Aqsa dan Kubah Batu (Dome of the Rock). Ya tembok telah 'dipasang', bagaimana 'bisa' jemaah ke sana? Hanya orang dalam kota Baitulmaqdis dapat ke sana; itupun orang-orang tua (dengan kebenaran), yang muda dilarang!

Kedatangan jemaah untuk solat waktu terutama subuh amat menyedihkan. Hanya sebuah masjid (Masjid Al-Aqsa) didirikan solat subuh berjemaah manakala masjid-masjid lain termasuk Masjid Kubah Batu sepi sekali. Apa tidaknya, askar Israel sentiasa berkawal...pembimbing kami memberitahu "awak sebagai pelancong mudahlah ke Al-Aqsa tetapi tidak bagi orang Palestin."

Demikianlah betapa kejamnya rejim aparteid Israel. Tetapi nampaknya masyarakat dan organisasi antarabangsa seperti PBB, OIC apatah lagi kuasa besar tidak peduli pun. Malah 'pak saudara' Netanyahu, Presiden Donald Trump mencurah garam ke luka Palestin dengan mengisytiharkan Baitulmaqdis (Jerusalem) sebagai ibu kota Israel. Trump turut mengiktiraf Bukit Golan yang dirampas daripada Syria sebagai wilayah Israel.

Berdasarkan senario ini 'kapan' (bila) aparteid Israel akan berakhir? Jawapannya sukar dalam masa terdekat ini; namun sekarang bukankah bulan Ramadan...derita orang teraniaya termasuk orang Palestin akan terasa di hati orang benar-benar berpuasa kerana Allah; mereka akan bersama-sama bangkit untuk memperjuangkan nasib orang dizalimi.

Insya-Allah, Dia akan memberi pertolongan. Jika kita tidak mampu dari segi persenjataan dan material, doa dan pengaduan kepada Yang Maha Berkuasa amat bermakna terutama pada Ramadan ini. Inilah sebenar senjata sebenar orang mukmin...hancurkan aparteid Israel ini ya Allah.

Saturday, May 4, 2019

Semarak Ramadan...(4): Bertaubatlah sebelum 'masuk' Ramadan ini...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

DI bumi Palestin yang diberkati, rombongan kami berkesempatan melawat sejumlah makam (maqam) para anbia dan tokoh Islam; untuk penceritaan kali ini saya memfokuskan kepada makam Nabi Yunus a.s. dan tokoh sufi wanita Rabiatul Adawiyah yang berdasarkan kefahaman saya, kisah mereka ada unsur-unsur taubat (mohon maaf jika kefahaman saya ini tidak tepat).

Sebelum dilanjutkan penceritaan, adalah bermanfaat untuk didefinisikan maksud perkataan 'makam' itu. Pembimbing rombongan kami; seorang warga Palestin/Arab yang boleh dikatakan fasih berbahasa Melayu/Indonesia awal-awal lagi mengingatkan kami bahawa 'makam' bukan semestinya 'kubur' seperti difahami kebanyakan orang.

Betul makam selalunya bermaksud kubur, tetapi ia juga boleh bermaksud 'tanda' atau 'batu tanda' seperti Makam Ibrahim a.s. berhampiran Kaabah dalam Masjdilharam. Ya, ia bukan kubur Nabi Ibrahim a.s. tetapi tanda tapak kaki Nabi Ibrahim a.s. ketika baginda membangunkan Kaabah bersama puteranya, Nabi Ismail a.s.

Perkataan 'makam' juga bermaksud kedudukan (tahap) seseorang itu, misalnya bagaimana makam seseorang itu di sisi Allah SWT. Sekalipun makam dalam bahasa Arab itu membawa beberapa makna, ketika kembali ke tanah air, saya menyemak kamus Dewan, bagi perkataan makam; ia memberi dua makna saja iaitu tempat kediaman dan kubur.

Makam pertama yang mahu dikisahkan adalah Makam Nabi Yunus a.s. di kota Halhul, Hebron. Makam ini ditempatkan dalam masjid dikenali Masjid Nabi Yunus. Menurut pembimbing kami, Nabi Yunus a.s. pernah singgah dan tinggal di kota ini...jadi penduduk membangun sebuah masjid dan makamnya di situ.

Singgahnya Nabi Yunus bin Matta di kota itu adalah selepas baginda ditelan ikan nun selepas meninggalkan kaumnya yang enggan mendengar kata. Menurut tafsiran ulama, kalaulah dia (Yunus) bukan daripada mereka yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih), tentulah ia (jasadnya) akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur.

Nabi Yunus tinggal di perut ikan itu dalam beberapa waktu dan dibawa mengharungi lautan. Ketika Yunus mendengar ucapan tasbih dari kerikil di bawah laut, maka dalam kegelapan itu Nabi Yunus s.a.w. berdoa yang bermaksud, “Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim.” Yunus berada dalam tiga kegelapan; kegelapan perut ikan, kegelapan lautan, dan kegelapan malam. Hal ini sebagaimana yang difirmankan Allah Taala:
“Dan (ingatlah kisah) Dzun Nun (Yunus), ketika ia pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka bahwa Kami tidak akan mempersempitnya (menyulitkannya), maka ia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap, “Bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim.”– Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya daripada kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman.” (QS. Al Anbiyaa’: 87-88)
Maka apabila memasuki Ramadan ini, perbanyakkanlah doa Nabi Yunus a.s. ini kerana Nabi s.a.w. ada bersabda yang bermaksud: "Doa Dzunnun (Nabi Yunus a.s.) ketika dalam perut ikan adalah “Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim.” Sesungguhnya tidak seorang Muslim pun yang berdoa dengannya dalam suatu masalah, melainkan Allah akan mengabulkan doanya.” (HR. Tirmidzi, dan disahihkan oleh Syaikh Al Albani)
Ada pun makam sang sufi Rabiatul Adawiyah terletak di puncak Gunung Zaitun (Mount Olives) yang dari sana kelihatan nun kota Baitulmaqdis dengan Masjid Kubah Batu (Dome of the Rock) yang kubahnya memantulkan cahaya keemasan.
Untuk ke makamnya, seseorang perlu menuruni tangga membawa ke sebuah ruang sempit bawah tanah. Di bilik itu yang seolah-olah dalam sebuah gua, kedapatan makam sang sufi, dikenali sebagai seorang 'pentaubat' paling hebat dalam sejarah Islam. 
Ketika menghadap makam, memberi salam dan membaca doa; terngiang-ngiang di telinga saya bait-bait taubat/munajat ini:
Wahai Tuhanku, aku tak layak ke syurga-Mu
Namun aku tidak sanggup ke neraka-Mu
Terimalah taubatku dan ampuni segala dosaku
Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar

Sekalipun ada cendekiawan mendakwa bait-bait tidak dapat dinisbahkan kepada sang sufi Rabiatul Adawiyah setidak-tidaknya ia dapat dijadikan pencetus untuk kita mengkoreksi diri seterusnya melakukan taubat sebelum dan pada Ramadan ini. Ya, sebagai  manusia yang tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan dosa, Kau ampunilah kami, ya Allah ya Tuhan kami. Kau berkati kami dan jadikan Ramadan ini yang terbaik bagi kami.

Thursday, May 2, 2019

Semarak Ramadan...(3): Jika Israel ganas, bagaimana pula jirannya?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. - Maksud Ayat Al-Quran, Al-Isra', 17:1.

PEMBIMBING rombongan kami (seorang warga Palestin) di Baitulmaqdis ketika bersembang-sembang bertanya bagaimana layanan pihak berkuasa Israel tatkala kami memasuki bumi Palestin. 

Katanya, jika layanan buruk diberikan hal itu tidak menghairankan kerana keganasan rejim Zionis sudah termaklum di seantero dunia tetapi "kamu fikir-fikirkan bagaimana layanan pihak berkuasa (seperti imigresen) sebuah negara Arab ketika kamu pergi haji atau umrah?"

Beliau tidak melanjutkan persoalan itu manakala kami tidak menjawab pertanyaannya - ya masing-masing yang sudah pergi ke Tanah Suci faham apa  dimaksudkannya. 

Tanggal 8 April 2019, Israel mengadakan pilihan raya umum yang menyaksikan parti Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu menang buat kesekalian kalinya. Ya, apa erti kemenangan Netanyahu? Sebelum pilihan raya lagi Netanyahu berikrar merampas lebih banyak wilayah yang secara sah milik orang Arab Palestin; jadi selepas menang apa akan berlaku?

Turut terancam adalah kota suci Baitulmaqdis (Jerusalem) yang berkeluasan kira-kira 5,700 kilometer persegi. Kemenangan Netanyahu menjadikan dia makin 'besar kepala'. Apatah lagi dia mendapat lampu hijau 'pak saudaranya' Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang baru-baru ini mengesahkan Bukit Golan yang dirampas daripada Syria sebagai wilayah sah Israel dan tidak lama dulu mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Apabila Israel di bawah Netanyahu semakin zalim termasuk memperhebatkan serangan di Gaza serta mengganas di Tebing Barat dan Baitulmaqdis, penulis Barat, Robert Fisk daripada The Independent yang berpangkalan di Beirut, menyifatkan rejim Zionis kini menyamai jiran-jirannya yang sudah pasti negara-negara Arab. Jika Barat (Amerika dan sekutunya) boleh merelakan sebuah negara Arab membuat serta mengetuai pakatan tentera bagi mengebom dan memusnahkan Yaman, apalah sangat diperlakukan oleh Israel ini?

Jika Israel 'berkepala besar', negara-negara Arab pun teruk. Yang menjadi mangsanya adalah orang Palestin. Jika rejim Arab boleh membedil dan menghancurkan perkampungan Kurdis, Syiah atau Sunah, apalah sangat dengan tindakan pemimpin Israel membedil Gaza - apatah lagi ketika pilihan raya kerana mereka 'laparkan' undi - mereka mahu tunjuk mereka kuat dan berkuasa!

Israel berada dalam lingkungan negara-negara Arab; tetapi kerana semuanya  bernafsu-nafsi termasuk berlaku perpecahan di kalangan umat, tiada apa yang 'merisaukan' rejim Israel apatah lagi ia kini di bawah Netanyahu yang berikrar meneruskan keganasan,  Ya, rejim-rejim boneka dunia Arab terus 'bersandiwara'...yang menjadi mangsanya orang Palestin...

Kini apabila rejim Zionis Israel meningkatkan keganasan ke atas warga Palestin, apatah lagi menjelang Ramadan ini, penderitaan ini turut dirasai kita sejajar sebuah hadis yang bermaksud ummah adalah bersaudara, jika satu anggota merasai sakit, seluruh tubuh menanggungnya.

Bagaimanapun, ada pepatah Melayu menyebut, berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Tentulah pikulan orang Palestin tidak terasa oleh kita tetapi apabila disatukan di bawah satu payung bernama Islam dan imam, maka permasalahan Palestin adalah permasalahan umat Islam; penderitaan mereka adalah penderitaan kita jua.

Isu Palestin adalah isu akidah, yang mana umat Islam sama-sama memikul tanggungjawab untuk menyelesaikannya. Ini kerana Allah SWT telah memuliakan Masjid Al-Aqsa melalui firman-Nya di dalam al-Quran yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Israk, ayat 1)

Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda (mafhumnya): “Janganlah kamu bersusah payah untuk pergi (bermusafir) melainkan ke tiga masjid - Masjid Al-Haram, Masjid Al-Aqsa dan Masjidku ini (Masjid Al-Nabawi, di Madinah al-Munawwarah).” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Bumi Palestin termasuk Baitulmaqdis telah diceroboh oleh tentera penjajah Zionis Israel. Masjid Al-Aqsa telah dikotori, diinjak-injak oleh golongan Yahudi yang melampui batas. Masjid Al-Aqsa adalah kiblat pertama bagi umat Islam dan terletak di salah sebuah daripada tiga kota suci bagi Muslimin selepas Makkah dan Madinah.

Sepatutnya seluruh umat Islam berasa cinta untuk mempertahankan kesuciannya dan merasakan kehilangannya. Akan tetapi mereka semua masih nyenyak tidur! Ayuh umat, bangkit, bangkit, bangkit!