Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
KEPUTUSAN terbaharu PAS untuk tidak bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson memungkinkan sekali lagi berlaku pertarungan satu lawan satu antara dua komponen parti utama negara mutakhir ini - Pakatan Harapan (HARAPAN) dan satu gabungan longgar daripada runtuhan BN (Umno, MCA, MIC dan sebagainya) serta PAS.
Sejak PRK pertama (Dun Sungai Kandis, Selangor) diadakan selepas PRU-14 lalu, parti-parti politik Malaysia menampilkan satu kecenderungan jelas - persaingan hanya membabitkan dua kompenan parti itu jika penyertaan calon-calon Bebas tidak diambil kira kerana tiada signifikannya.
Di Sungai Kandis, PAS tidak bertanding (ketika PRU-14 ia bertanding) bagi memberi laluan kepada calon Umno BN, Lokman Noor Adam untuk menghadapi calon HARAPAN (PKR), Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang kemudian memenangi Dun itu dengan majoriti 5,842 undi. Calon Bebas, K Murthy mungkin tiada signifikan kerana memperolehi 97 undi saja.
PRK berikutnya seperti Balakong dan Seri Setia juga menunjukkan kecenderungan sama - di Balakong; calon MCA (BN) berentap dengan calon DAP (HARAPAN) manakala di Seri Setia; calon PKR (HARAPAN) bertarung dengan calon PAS - ya semuanya membabitkan dua kumpulan utama komponen parti politik pada era Malaysia Baharu - HARAPAN di pihak kerajaan manakala PAS dan komponen BN di pihak pembangkang.
Sesetengah pemerhati politik melihat senario politik Malaysia Baharu ini sebagai sesuatu yang sihat dan menjanjikan pelbagai kebaikan jika dilihat perkembangan politik di negara Barat sebagai bandingan, yang biasanya dianggap lebih ke depan amalan demokrasinya.
Ya, kewujudan dua komponen parti yang kuat dalam sesebuah negara pengamal demokrasi diyakini dapat membawa keuntungan (rahmat dan manfaat) kepada semua rakyat.
Hujah ini adalah berdasarkan contoh pilihan raya Amerika Syarikat dan Britain di mana hanya dua parti dominan bersaing untuk mentadbir negara. Di Amerika, persaingan adalah antara Republikan dan Demokrat manakala di Britain adalah antara Konservatif dan Buruh.
Adalah menarik untuk melihat bagaimana sistem dua parti (Republikan dan Demokrat) mendominasi pemikiran rakyat Amerika dan bagi negara kita, rakyat pada alaf baru ini, terutama generasi muda adalah kaya maklumat yang tidak lagi mendapat menerima propaganda kehebatan sesebuah parti atau komponen parti saja.
Apabila rakyat pada PRU-14 Mei lalu berani menolak propaganda murahan itu dengan menghumbankan Umno BN ke dalam tong sejarah, terbukalah ruang kepada situasi seakan sama dengan sistem politik dua parti di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain.
Sesuai dengan negara kita yang mahu mencapai status negara maju pada 2020, persiapan wajar dilakukan ke arah sistem dua parti atau setidak-tidaknya komponen parti dua kumpulan seperti sekarang (HARAPAN dan barisan pembangkang). Berdasarkan perkembangan semasa termasuk di peringkat global, bukan parti saja perlu dievolusikan (seperti meniadakan sebutan parti pemerintah dan pembangkang), tetapi dalam hampir semua bidang kehidupan.
Kewujudan dua parti (atau dua komponen parti) yang kuat adalah landasan ke arah usaha penambahbaikan kehidupan rakyat. Misalnya, semua institusi termasuk di bidang pendidikan seperti universiti boleh diusahakan untuk dibebaskan daripada cengkaman politik kepartian sebaliknya dijadikan pusat keilmuan dan keintelektualan. Akan timbul peluang terbaik untuk menghapuskan kegiatan pantau memantau yang hanya menjejaskan kesuburan keintelektualan sebaliknya menjumudkan modal insan (siswazah).
Kewujudan dua komponen parti yang kuat juga boleh mengakhiri ketakutan, kejumudan dan 'ketololan' dalam bidang media massa. Media massa perlu bebas dalam laporan mereka. Tidak timbul lagi isu media massa menjadi budak suruhan sesuatu pihak, tetapi ia bebas memberi liputan kepada kedua-dua pihak kerana yang dipentingkan wibawa dan 'track record' calon dan parti. Media massa Amerika, British malah negara jiran Indonesia, mungkin dapat dijadikan sempadan.
Jika wujud dua komponen parti yang kuat ini, setiap pihak perlu berusaha keras dan dapat membuktikan mereka dapat memberi yang terbaik kepada rakyat. Apabila gagal, mereka akan disingkirkan pada pilihan raya berikutnya.
Perkembangan ini akan mewujudkan perimbangan (check and balance), memberi keuntungan kepada rakyat sepanjang masa. Inilah antara ciri-ciri negara demokrasi maju idaman rakyat!
No comments:
Post a Comment