Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
ALHAMDULILLAH, pada sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-61 ini, diucapkan tahniah kepada kerajaan dan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) serta semua rakyat kerana buat julung kali merayakannya pada era Malaysia Baharu di atas puing-puing kejatuhan rejim lama.
Pada ruangan kali ini, izinkan saya mengecilkan skop penulisan kepada 'negeriku' Melaka kerana kata orang, tempat jatuh lagi dikenang ini pula tanah tumpah darah. Sebagai warga Melaka diucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Melaka Baharu pimpinan Yang Amat Berhormat (YAB) Ketua Menteri, Adly Zahari yang juga Adun Bukit Katil.
Sebelum pergi jauh, sempena hari ulang tahun kemerdekaan negara ini, eloklah kita menjenguk sejenak bagi memahami apa itu merdeka. Kamus Perwira mendefinasikannya sebagai 'bebas' (bahasa Inggerisnya 'independent') manakala Kamus Dewan pula merujuknya sebagai bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan sebagainya serta lepas daripada tebusan dan tuntutan, berdiri sendiri, tidak bergantung kepada yang lain.
Cendekiawan Islam pula sering merujuk erti merdeka kepada perbualan antara wakil panglima tentera Islam, Asim ibn Amir dengan jeneral tentera Parsi, Rustam pada zaman pemerintahan Khalifah Al-Khattab. Asim menegaskan bahawa kedatangan Islam adalah untuk membebaskan manusia daripada penghambaan sesama manusia kepada pengantungan sepenuhnya kepada Yang Maha Kuasa (Allah SWT).
Katanya, Islam menawarkan keadilan kepada semua berbanding kezaliman pemerintah; ada sebuah hadis daripada 'Aisha yang menyebut Nabi s.a.w. sebagai berkata jika anak kesayangannya Fatimah mencuri, akan juga dipotong tangannya.
Alhamdulillah pada era Malaysia Baharu; dalam konteks lokal (setempat), Melaka Baharu, pencambahan pemikiran dan perkongsian maklumat semakin ketara...pemimpin dan rakyat semakin terbuka; tidak lagi terbelenggu dalam kejumudan maklumat dan informasi bahawa parti pemerintah saja yang betul, yang lain salah.
Lantas pada era rejim lama, hanya kebaikan parti pemerintah diuar-uarkan media manakala kebaikan lawan bukan hanya disorok di bawah karpet tetapi di 'spin' bagi menjadikan pembangkang seolah-olah 'gengster Kampung Pisang' di mata rakyat.
Syukur, hari ini media mula terbuka untuk membicarakan pelbagai perkara yang tidak berat sebelah pada sesuatu pihak saja...ia menjalankan peranannya sebagai 'the fourth estate' dalam sesebuah demokrasi. Media menjadi 'pemeriksa dan pengimbang' (check and balance)...membuka mata pemerintah dan rakyat hatta kepada isu-isu yang dianggap remeh pada sesetengah pihak.
YAB Tuan Adly, izinkan saya di sini menyuarakan perkara kecil yang insya-Allah dapat disampaikan kepada pegawai tuan untuk tindakan. Maafkan saya jika perkara ini kecil, yalah saya pun 'orang kecil' - jadi terima kasih kepada pihak YAB. Teringat saya, dulu ada pemimpin besar yang dapat meluangkan masa untuk mendengar masalah rakyat setempat termasuklah hal ehwal longkang dan jalan raya.
Ya, saya nak menulis mengenai jalan raya di kawasan Tuan dan sekitarnya; pertamanya hal ehwal 'bulatan tak sempurna' di Jalan Bukit Katil-Bukit Duyong-Bukit Baru (ke Melaka Mall). Jalan Bukit Katil-Bukit Duyong asalnya lurus tetapi dengan terbinanya jalan baru ke Bukit Baru, dibuatlah sebuah bulatan.
Di bulatan itu, pada Jalan Bukit Duyong menuju Bukit Katil (selepas jambatan melepasi sebuah terusan) diletakkan batu-batu konkrit besar di tengah-tengah jalan iaitu sebagai pembahagi jalan.
Sejumlah batu sudah pecah, tandanya banyak kenderaan sudah melanggarnya. Ya YAB, bulatan ini 'tersangat bahaya' (lampu yang menerangi kawasan sekitarnya pun malap), sejumlah kemalangan sudah berlaku di sini, tidak tahulah saya berapa ramai orang sudah terkorban. Di kawasan ini, pemandu tempatan pun kerap 'tersasar', jadi pemandu 'luar negeri' tentu akan lebih 'confuse' lagi!
Mungkin YAB 'biasa' lalu di kawasan ini dan tahu hal ini...jadi tak payahlah saya celoteh panjang. Mintalah pegawai YAB bertindak segera...
Selain itu, orang tempatan di sini 'mengkomplen' bentuk bulatan Ayer Molek pun agak pelik dan mengelirukan pengguna jalan raya, dengan sifatnya yang bujur dan bukannya bulat seperti bulatan-bulatan lain.
Kata mereka jalan keluar dari bulatan ini agak mengelirukan orang ramai dan berisiko untuk kemalangan.
Bulatan ini siap dibina pada tahun 2009 ini menelan belanja RM1.2 juta dan selepas pembukaannya kemalangan kerap berlaku di sini. Jadi bertindaklah segera YAB berhubung permasalahan dua bulatan ini!
Bulatan ini siap dibina pada tahun 2009 ini menelan belanja RM1.2 juta dan selepas pembukaannya kemalangan kerap berlaku di sini. Jadi bertindaklah segera YAB berhubung permasalahan dua bulatan ini!
No comments:
Post a Comment