Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
SELASA, 11 September bermulalah tahun baharu Hijrah 1440. Berakhirnya bulan haji (Zulhijah) dan tahun 1439 Hijrah, bermakna berbondong-bondonglah jemaah haji kembali ke negara dan kampung halaman masing-masing. Dilaporkan ada lebih tiga juta jemaah tahun ini; mereka termasuklah kira-kira 30,000 orang dari Malaysia.
Jika diandaikan setahun (tahun-tahun sebelum ini) lebih kurang 20,000 orang 'menjadi haji dan hajah', jumlah haji dan hajah dalam tempoh 10 tahun lalu di negara kita adalah kira-kira 200,000 orang! Bayangkanlah jumlah haji dan hajah sejak merdeka pada 1957 dulu dan kini apabila Malaysia Baharu terdiri selepas kejatuhan rejim lama melalui PRU Mei lalu, diharapkan haji dan hajah dapat bersama-sama membantu memperkasa negara.
Mereka yang sudah mengerjakan haji (melengkapkan Rukun Islam) mendapat penghormatan tertinggi masyarakat (dipandang sebagai orang baik-baik) dan dari sudut pandangan agama jika mereka ikhlas dalam ibadat ini lantas mendapat haji mabrur, balasan yang dijanjikan Allah tiada lain melainkan syurga.
Seorang haji atau hajah adalah ibarat utusan kebenaran, dia menegakkan yang hak dan menentang kebatilan. Hak tertinggi adalah mengakui keesaan Allah SWT dan mengharungi kehidupan berdasarkan pengakuannya dalam solat “hidup dan matiku hanya untuk Allah Tuhan seru sekalian alam.” Dia tahu dia menghadapi dosa dan pahala dalam setiap perlakuannya.
Ya, apa boleh dibantu oleh haji dan hajah kepada pembangunan negara? Tak usah berpayah-payah fikir perkara besar; buat perkara 'kecil' pun sudah memadai. Misalnya, menolong orang dengan niat betul, mendapat pahala. Jadi dia akan terus membantu sesama manusia, hatta membantu anjing kehausan pun diganjari syurga Allah SWT seperti mana dinyatakan dalam sebuah hadis.
Melakukan fitnah, mendatangkan dosa besar, jadi dia menjauhkannya. Bayangkan, alangkah jijiknya seorang haji atau hajah membuat fitnah misalnya mendakwa seseorang itu berbuat perkara keji malah bersumpah pula di masjid sedangkan dia tidak pun menyaksikannya.
Sebagai pejuang kebenaran haji dan hajah wajib menyatakan yang hak dan batil dalam semua aspek kehidupan termasuklah dalam berpolitik. Merdekakanlah diri daripada politik kotor dan kepartian yang bertentangan dengan ajaran Islam. Jika benar, katakan benar, jika salah katakan salah; jangan berselindung lagi kerana “tidak malukah kita dengan apa yang sudah kita ucapkan (berdoa) kepada Tuhan ketika kita munajat di depan Kaabah, di Arafah, Mina dan Mudzalifah.”
Persoalan yang ingin kita fikirkan sejenak di ruangan ini adalah mengapa haji dan hajah ramai di kalangan kita tetapi aneka penyelewengan dan maksiat semakin menjadi-jadi di kalangan masyarakat kita? Apakah haji dan hajah tidak mengorak usaha atau membantu pihak yang mahu membanteras penyelewengan dalam negara kita?
Haji dan hajah diharapkan tidak terlupakan tugas suci mereka untuk memerangi ketidak-adilan, kesombongan serta kejahilan dengan lidah, tangan, hati dan segala segala sumber yang ada pada mereka. Sesiapa yang sudah menunaikan haji, mereka diharap dapat mempamerkan 'kebaikan tertinggi' dalam apa saja mereka kerjakan selaras dengan ajaran Rasul, Nabi Muhammad SAW.
Jumlah haji dan hajah yang ribuan orang itu sudah pasti kuat suara mereka dalam menentang penyelewengan, kezaliman serta maksiat yang 'subur' di sekeliling mereka. Ya, haji dan hajah 'ada di mana-mana' tetapi di manakah suara mereka itu? Mengapa mereka membisu?
Umat Islam, apatah lagi mereka yang sudah bergelar haji dan hajah diminta menyeru kebaikan dan melarang kejahatan sebagai firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: "Hendaklah ada antara kamu satu umat yang menyeru akan kebaikan, dan menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar; mereka itulah orang-orang yang beruntung." (Quran 3:104)
Kemudian dalam ayat lain (Quran, 3:110) Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar imam).
Dalam Islam, keadilan sosial adalah bahagian penting ajarannya; adalah menjadi tanggungjawab mereka yang berkuasa untuk memenuhi keperluan rakyat dan bukan menambah beban mereka. Ingatlah dalam harta orang kaya termasuk pemerintah ada hak orang (miskin) iaitu zakat yang perlu diuruskan sebaik mungkin. Ya rakyat adalah untuk dibantu bukan ditindas, oleh itu wahai haji dan hajah bangunlah, bangunlah untuk memperjuangkan keadilan yang dituntut dalam Islam! Ya, bangunlah kita untuk bersama-sama memperkasa Malaysia Baharu!
No comments:
Post a Comment