Monday, September 24, 2018

Pertarungan dua komponen parti identiti Malaysia Baharu?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

KEPUTUSAN terbaharu PAS untuk tidak bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson memungkinkan sekali lagi berlaku pertarungan satu lawan satu antara dua komponen parti utama negara mutakhir ini - Pakatan Harapan (HARAPAN) dan satu gabungan longgar daripada runtuhan BN (Umno, MCA, MIC dan sebagainya) serta PAS.

Sejak PRK pertama (Dun Sungai Kandis, Selangor) diadakan selepas PRU-14 lalu, parti-parti politik Malaysia menampilkan satu kecenderungan jelas - persaingan hanya membabitkan dua kompenan parti itu jika penyertaan calon-calon Bebas tidak diambil kira kerana tiada signifikannya.

Di Sungai Kandis, PAS tidak bertanding (ketika PRU-14 ia bertanding) bagi memberi laluan kepada calon Umno BN, Lokman Noor Adam untuk menghadapi calon HARAPAN (PKR), Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang kemudian memenangi Dun itu dengan majoriti 5,842 undi. Calon Bebas, K Murthy mungkin tiada signifikan kerana memperolehi 97 undi saja.

PRK berikutnya seperti Balakong dan Seri Setia juga menunjukkan kecenderungan sama - di Balakong; calon MCA (BN) berentap dengan calon DAP (HARAPAN) manakala di Seri Setia; calon PKR (HARAPAN) bertarung dengan calon PAS - ya semuanya membabitkan dua kumpulan utama komponen parti politik pada era Malaysia Baharu - HARAPAN di pihak kerajaan manakala PAS dan komponen BN di pihak pembangkang.

Sesetengah pemerhati politik melihat senario politik Malaysia Baharu ini sebagai sesuatu yang sihat dan menjanjikan pelbagai kebaikan jika dilihat perkembangan politik di negara Barat sebagai bandingan, yang biasanya dianggap lebih ke depan amalan demokrasinya.

Ya, kewujudan dua komponen parti yang kuat dalam sesebuah negara pengamal demokrasi diyakini dapat membawa keuntungan (rahmat dan manfaat) kepada semua rakyat.

Hujah ini adalah berdasarkan contoh pilihan raya Amerika Syarikat dan Britain di mana hanya dua parti dominan bersaing untuk mentadbir negara. Di Amerika, persaingan adalah antara Republikan dan Demokrat manakala di Britain adalah antara Konservatif dan Buruh. 

Adalah menarik untuk melihat bagaimana sistem dua parti (Republikan dan Demokrat) mendominasi pemikiran rakyat Amerika dan bagi negara kita, rakyat pada alaf baru ini, terutama generasi muda adalah kaya maklumat yang tidak lagi mendapat menerima propaganda kehebatan sesebuah parti atau komponen parti saja.

Apabila rakyat pada PRU-14 Mei lalu berani menolak propaganda murahan itu dengan menghumbankan  Umno BN ke dalam tong sejarah, terbukalah ruang kepada situasi seakan sama dengan sistem politik dua parti di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain.

Sesuai dengan negara kita yang mahu mencapai status negara maju pada 2020, persiapan wajar dilakukan ke arah sistem dua parti atau setidak-tidaknya komponen parti dua kumpulan seperti sekarang (HARAPAN dan barisan pembangkang). Berdasarkan perkembangan semasa termasuk di peringkat global, bukan parti saja perlu dievolusikan (seperti meniadakan sebutan parti pemerintah dan pembangkang), tetapi dalam hampir semua bidang kehidupan. 

Kewujudan dua parti (atau dua komponen parti) yang kuat adalah landasan ke arah usaha penambahbaikan kehidupan rakyat. Misalnya, semua institusi termasuk di bidang pendidikan seperti universiti boleh diusahakan untuk dibebaskan daripada cengkaman politik kepartian sebaliknya dijadikan pusat keilmuan dan keintelektualan. Akan timbul peluang terbaik untuk menghapuskan kegiatan pantau memantau yang hanya menjejaskan kesuburan keintelektualan sebaliknya menjumudkan modal insan (siswazah). 

Kewujudan dua komponen parti yang kuat juga boleh mengakhiri ketakutan, kejumudan dan 'ketololan' dalam bidang media massa. Media massa perlu bebas dalam laporan mereka. Tidak timbul lagi isu media massa menjadi budak suruhan sesuatu pihak, tetapi ia bebas memberi liputan kepada kedua-dua pihak kerana yang dipentingkan wibawa dan 'track record' calon dan parti. Media massa Amerika, British malah negara jiran Indonesia, mungkin dapat dijadikan sempadan. 

Jika wujud dua komponen parti yang kuat ini, setiap pihak  perlu berusaha keras dan dapat membuktikan mereka dapat memberi yang terbaik kepada rakyat. Apabila gagal, mereka akan disingkirkan pada pilihan raya berikutnya. 

Perkembangan ini akan mewujudkan perimbangan (check and balance), memberi keuntungan kepada rakyat sepanjang masa. Inilah antara ciri-ciri negara demokrasi maju idaman rakyat!

Friday, September 21, 2018

Haji, hajah usahalah bantu perhebat Malaysia Baharu!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32

SELASA, 11 September bermulalah tahun baharu Hijrah 1440. Berakhirnya bulan haji (Zulhijah) dan tahun 1439 Hijrah, bermakna berbondong-bondonglah jemaah haji kembali ke negara dan kampung halaman masing-masing. Dilaporkan ada lebih tiga juta jemaah tahun ini; mereka termasuklah kira-kira 30,000 orang dari Malaysia. 

Jika diandaikan setahun (tahun-tahun sebelum ini) lebih kurang  20,000 orang 'menjadi haji dan hajah', jumlah haji dan hajah dalam tempoh 10 tahun lalu di negara kita adalah kira-kira 200,000 orang! Bayangkanlah jumlah haji dan hajah sejak merdeka pada 1957 dulu dan kini apabila Malaysia Baharu terdiri selepas kejatuhan rejim lama melalui PRU Mei lalu, diharapkan haji dan hajah dapat bersama-sama membantu memperkasa negara.

Mereka yang sudah mengerjakan haji (melengkapkan Rukun Islam) mendapat penghormatan tertinggi masyarakat (dipandang sebagai orang baik-baik) dan dari sudut pandangan agama jika mereka ikhlas dalam ibadat ini lantas mendapat haji mabrur, balasan yang dijanjikan Allah tiada lain melainkan syurga.

Seorang haji atau hajah adalah ibarat utusan kebenaran, dia menegakkan yang hak dan menentang kebatilan. Hak tertinggi adalah mengakui keesaan Allah SWT dan mengharungi kehidupan berdasarkan pengakuannya dalam solat “hidup dan matiku hanya untuk Allah Tuhan seru sekalian alam.” Dia tahu dia menghadapi dosa dan pahala dalam setiap perlakuannya.

Ya, apa boleh dibantu oleh haji dan hajah kepada pembangunan negara? Tak usah berpayah-payah fikir perkara besar; buat perkara 'kecil' pun sudah memadai. Misalnya, menolong orang dengan niat betul, mendapat pahala. Jadi dia akan terus membantu sesama manusia, hatta membantu anjing kehausan pun diganjari syurga Allah SWT seperti mana dinyatakan dalam sebuah hadis. 

Melakukan fitnah, mendatangkan dosa besar, jadi dia menjauhkannya. Bayangkan, alangkah jijiknya seorang haji atau hajah membuat fitnah misalnya mendakwa seseorang itu berbuat perkara keji malah bersumpah pula di masjid sedangkan dia tidak pun menyaksikannya.

Sebagai pejuang kebenaran haji dan hajah wajib menyatakan yang hak dan batil dalam semua aspek kehidupan termasuklah dalam berpolitik. Merdekakanlah diri daripada politik kotor dan kepartian yang bertentangan dengan ajaran Islam. Jika benar, katakan benar, jika salah katakan salah; jangan berselindung lagi kerana “tidak malukah kita dengan apa yang sudah kita ucapkan (berdoa) kepada Tuhan ketika kita munajat di depan Kaabah, di Arafah, Mina dan Mudzalifah.”

Persoalan yang ingin kita fikirkan sejenak di ruangan ini adalah mengapa haji dan hajah ramai di kalangan kita tetapi aneka penyelewengan dan maksiat semakin menjadi-jadi di kalangan masyarakat kita? Apakah haji dan hajah tidak mengorak usaha atau membantu pihak yang mahu membanteras penyelewengan dalam negara kita? 

Haji dan hajah diharapkan tidak terlupakan tugas suci mereka untuk memerangi ketidak-adilan, kesombongan serta kejahilan dengan lidah, tangan, hati dan segala segala sumber yang ada pada mereka. Sesiapa yang sudah menunaikan haji, mereka diharap dapat mempamerkan 'kebaikan tertinggi' dalam apa saja mereka kerjakan selaras dengan ajaran Rasul, Nabi Muhammad SAW.

Jumlah haji dan hajah yang ribuan orang itu sudah pasti kuat suara mereka dalam menentang penyelewengan, kezaliman serta maksiat yang 'subur' di sekeliling mereka. Ya, haji dan hajah 'ada di mana-mana' tetapi di manakah suara mereka itu? Mengapa mereka membisu?

Umat Islam, apatah lagi mereka yang sudah bergelar haji dan hajah diminta menyeru kebaikan dan melarang kejahatan sebagai firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: "Hendaklah ada antara kamu satu umat yang menyeru akan kebaikan, dan menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar; mereka itulah orang-orang yang beruntung." (Quran 3:104)

Kemudian dalam ayat lain (Quran, 3:110) Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar imam).

Dalam Islam, keadilan sosial adalah bahagian penting ajarannya; adalah menjadi tanggungjawab mereka yang berkuasa untuk memenuhi keperluan rakyat dan bukan menambah beban mereka. Ingatlah dalam harta orang kaya termasuk pemerintah ada hak orang (miskin) iaitu zakat yang perlu diuruskan sebaik mungkin. Ya rakyat adalah untuk dibantu bukan ditindas, oleh itu wahai haji dan hajah bangunlah, bangunlah untuk memperjuangkan keadilan yang dituntut dalam Islam! Ya, bangunlah kita untuk bersama-sama memperkasa Malaysia Baharu!

Monday, September 17, 2018

Jangan lari... (8): Malaysia syurga dunia, dakwa Dr MIA

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)


PULUHAN tahun lalu ketika pulang menaiki pesawat dari Johannesburg, Afrika Selatan ke tanah air, saya berkenalan dengan seorang warga emas negara itu yang membawa sejumlah anggota keluarganya ke Malaysia untuk bercuti.

Veteran itu memberitahu saya beliau secara peribadi (tidak termasuk anak-anak, menantu dan cucu-cucunya) mahu menghabiskan banyak masa di masjid-masjid di Malaysia. Katanya, dia akan berusaha mencari ketenangan hati dan jiwa di Malaysia, suasana di negaranya (Afrika Selatan) ketika itu amat kacau bilau.

Benar ketika itu, orang luar, terutama yang beragama Islam memandang tinggi kepada Malaysia; sebagai contoh ketika saya ke Kyrgyzstan (bekas sebuah republik Soviet Union), beberapa penggubal undang-undangnya (ahli Parlimen) yang ditemui memuji-muji Malaysia terutama ketika disebut nama Anwar Ibrahim sebagai TPM ketika itu.

Pelawat Islam Malaysia juga dipuji  mereka kerana tidak minum arak, sebaliknya mereka menghamburkan kata-kata marah kepada sejumlah pelawat Islam negara lain termasuk Timur Tengah (biarlah nama negara ini dirahsiakan) kerana 'harapkan jubah' saja....apabila dapat arak, mereka 'gogop' bagaikan tiada hari esok!

Kekaguman orang Islam luar negara ini adalah cerita lama, sekarang ini orang luar tetap teruja dengan Malaysia kerana ia sudah menjadi syurga dunia...inilah sebahagian perkara dicelotehkan oleh seorang pendakwah terkenal masa kini, Dr Mohd Izhar Ariff (Dr MIA)  pada kuliah subuh di masjid kampung saya (Masjid Al-Abrar, bermaksud Masjid Orang Baik-Baik) 9 September lalu.

Menurut pensyarah kanan Fakulti Pengajian Islam UKM itu, berbondong-bondong orang Islam dari negara luar datang ke Malaysia bagi melakukan 'perkara' yang tidak boleh atau dapat dilakukan di negara mereka.

Sebagai contoh, beliau menceritakan pengalamannya semasa menaiki sebuah pesawat dari Arab Saudi ke Malaysia. Pada awal penerbangan, beliau yang menduduki kelas 'business' perasan ada sejumlah orang Arab bersama-samanya - yang lelaki berjubah dan berserban putih manakala yang perempuan berjubah atau berabaya hitam yang hanya mata mereka saja kelihatan.

Kata, Dr MIA dia tertidur dan apabila kapal terbang mahu 'landing', dia dikejutkan seorang pramugari...apabila dia membuka mata dia merasakan macam mimpi...ya di mana orang Arab yang ramai-ramai itu...sekarang penumpang di sekelilingnya semua sudah berpakaian macam orang Eropah...yang lelaki berbaju 'sport' dan berseluar pendek manakala yang perempuan rambut mengerbang warna merah manakala pakaian mereka, 'aduh mak'...

Kehairanan dengan suasana itu, Dr MIA bertanya mereka, apa dah berlaku? Orang-orang Arab itu berkata, mereka datang ke Malaysia bagi melakukan 'perkara-perkara' yang tidak boleh dilakukan di negara mereka...Ya di negara mereka, undang-undangnya tersangat ketat...tetapi di Malaysia, mereka boleh 'ya bedu...bedu'...'yahoo...yahoo'.

Dr MIA tidak menyebut 'apa perkara' yang dilakukan oleh orang-orang Arab itu tetapi faham-fahamlah antara lain di Malaysia orang bebas minum arak, orang  bebas main judi dan macam-macam maksiat lain. Malaysia sekarang sudah jadi syurga dunia...maka berbondong-bondonglah segala mat dan minah ke sini.

Melanjutkan hujahnya bahawa Malaysia adalah syurga dunia...Dr MIA menarik perhatian akan perkembangan di Brunei Darussalam. Katanya sejak melaksanakan hukum syariah, Brunei berjaya membendung maksiat seperti minum arak, judi dan sebagainya tetapi pemerintahnya 'terkejut beruk' kerana kes anak luar nikah semakin meningkat.

Apabila dikaji, rupa-rupanya banyak pasangan tidak berzina di Brunei sebaliknya mereka melakukan hal terkutuk itu negara jiran; Malaysia! Tidak sukar orang Brunei ke Sabah dan Sarawak...jadi mereka memanfaatkan 'status' Malaysia sebagai syurga dunia untuk melempiaskan nafsu binatang masing-masing!

Jadi kepada pemerintah Malaysia buatlah sesuatu kerana sekarang ini ramai orang luar LARI dari negara asal mereka untuk berbuat maksiat di Malaysia!

Thursday, September 13, 2018

Mungkinkah akan wujud ungkapan bertrilion terima kasih?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32

SEKARANG ini kita dikejutkan dengan berita banyaknya duit segelintir tokoh politik tanah air; yang terbaru ibu arwah seorang menteri menuntut bahagiannya (faraid) daripada sejumlah harta RM2.1 bilion...ya pembaca, berbilion ringgit bukan jutaan ringgit dimiliki seseorang!

Teringat dulu ketika saya mula bekerja sebagai wartawan ekonomi (1985) angka bilion tidak selalu digunakan dalam menulis sesuatu artikel apatah lagi yang membabitkan ringgit (wang) tetapi hari ini seseorang individu pun ada harta berbilion-bilion ringgit. Ya, sungguh banyak wang itu. 

Selain kisah tuntutan emak bekas menteri itu, menantu seorang bekas KM pun tidak lama dulu pernah menuntut harta dan wang berbilion-bilion ringgit daripada suaminya selepas diceraikan.

Bercakap mengenai angka bilion ini, teringat saya mengenai penggunaan bahasa bagi menggambarkan budi bahasa seseorang; dulu apabila seseorang atau pihak terasa terhutang budi, dia akan mengungkapkan ‘ribuan atau jutaan terima kasih’. Ungkapan ini biasa kita temui pada bahagian akhir surat ataupun dinyatakan seseorang pada permulaan atau pengakhiran ucapannya sebagai tanda penghargaan kepada pihak berkenaan.

Namun sekarang saya terlihat dan terdengar ungkapan 'berbilion terima kasih’. Mungkin ini ada kaitan dengan orang kita yang semakin banyak duit  - mereka tidak hanya ada jutaan bahkan berbilion-bilion ringgit.

Tidak tahulah saya sama ada perkembangan ini sesuatu yang positif atau negatif, yang jelas ungkapan ini lahir bagi menggambarkan keadaan masyarakat kita yang ada (segelintir orang seperti ahli perniagaan dan tokoh politik) yang mempunyai duit dan harta berbilion-bilion ringgit. 

Selepas ini hendak digunakan ungkapan apa...mungkin trilion terima kasih kerana angka ini mula digunakan secara meluaskan terutama selepas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan hutang negara mencecah RM1 trilion! 

Seorang pengkaji budaya dan bahasa Melayu berpendapatan perubahan ‘angka’ yang dipadankan pada ucapan terima kasih membayangkan bahawa masyarakat kini semakin materialistik yang melihat keberuntungan sebagai matlamat mereka.

“Segelintir pemimpin ada harta berbilion-bilion ringgit manakala yang lain  menggegarkan minda rakyat dengan projek berbilion-bilion ringgit, jadi mereka memuntahkannya kembali dengan mengungkapan ucapan berbilion terima kasih dan berbilion tanda penghargaan,” katanya.

Jika seseorang memiliki 
harta dan wang berbilion ringgit daripada sumber yang sah dan halal, tidak menjadi masalah...namun jika wujud 'ketidak-munasabahan' seperti diutarakan oleh seorang kolumnis berhubung tuntutan seorang ibu kepada wang dan harta RM2.1 bilion milik anaknya, 'itulah masalahnya'!  

Berhubung orang gilakan harta dan wang berbilion atau mungkin nanti bertrilion ringgit, teringat saya pesanan seorang sahabat saya yang agak terkenal juga dalam dunia penulisan dan sekarang sudah menjadi arwah. Ketika berjumpa saya sebelum meninggal dunia, beliau memberi nasihat bahawa untuk merasai kenikmatan hidup, kita tidak perlukan wang dan harta yang banyak.

Allahyarham memberikan contoh mudah - antara kenikmatan hidup adalah soal makan; katakanlah makanan paling sedap seseorang itu adalah KFC...dengan jumlah wang yang sedikit katakan RM10 dia boleh menikmati makanan itu bagi makan tengah harinya, selepas itu apakah dia boleh makan KFC lagi untuk makan malamnya?  Jika orang miskin boleh makan tiga ketul ayam KFC sekali gus, orang kaya pun mungkin sama, takkan kerana duit banyak dia boleh makan 15 ketul?

Bijak pandai ada menceritakan seorang hartawan ketika mahu makan bertanyakan doktor peribadinya - daging kambing bakar itu boleh saya makan, doktornya berkata tidak; burger itu boleh saya makan, jawapannya juga tidak; nasi lemak itu boleh saya makan, tidak juga jawapannya. Jadi apa boleh saya makan, tanya orang kaya berpenyakit kronik itu. Makanlah KULIT ROTI, kata si doktor selamba.

Demikianlah sebenarnya keperluan manusia seperti makan amat sedikit tetapi kebanyakan orang terlalu tamak; seboleh-boleh mereka mahu wang dan harta menimbun setinggi gunung, malah ada hadis Nabi Muhammad SAW menyebut kalau manusia itu sudah ada satu lembah emas, dia mahu dua, kemudian tiga dan seterusnya. Dia hanya berpuas hati selepas 'mulutnya dipenuhi tanah' (matilah)!

Bagi mereka yang gila mengumpul harta - tidak kira halal atau haram - ingat-ingatlah akan kisah King Midas. Raja ini sukan emas, suatu hari seorang pari-pari membuat tawaran dia boleh menukar apa saja menjadi emas dengan sentuhan tangannya. Almari, bangku, semuanya jadi emas selepas disentuhnya. Kemudian roti pun menjadi emas, akhirnya puteri tunggalnya pun jadi emas. 

King Midas panik, rupanya emas dan harta bertimbun tidak membawa bahagia...oleh itu ingatlah semua terutama orang diamanahkan kuasa sebagai pengarah dan menteri, bahawa wang berjuta-juta atau berbilion-bilion ringgit apatah lagi diperolehi secara haram, tidak akan membahagiakan kita! King Midas pun akhirnya 'bertaubat', kita bila lagi?

Saturday, September 8, 2018

Jangan lari... (7): Usahakanlah kebarakahan hidup

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)


ORANG tua-tua selalu berpesan, biar gaji (pendapatan) kecil tetapi hidup penuh keberkatan (barakah). Keluarga yang ketuanya bergaji kecil tetapi hidup barakah, hidupnya sentiasa mencukupi, tidak mengeluh-ngeluh malah dapat membantu orang lain pula.

Berlainan pula orang yang bergaji besar tetapi hidupnya tiada barakah. Hidupnya penuh keluh-kesah, baru setengah bulan gajinya sudah habis, untuk meneruskan penghidupan, dia berhutang di sana sini. Hidupnya tiada barakah, mungkin disebabkan pendapatannya daripada sumber haram atau syubahat. 

Orang yang hidupnya mempunyai keberkatan akan membelanjakan pendapatannya di jalan yang diredai Allah. Setiap sen yang dititipkan akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT. 

Misalnya dia akan membelanjakan pendapatannya untuk menampung diri, keluarga, mengeluarkan zakat, kemudian membeli sedikit sebanyak harta seperti kenderaan, rumah atau tanah, seterusnya bersedekah atau untuk mengeratkan siraturahim sesama keluarga dan jiran tetangga, sesekali dia mengadakan kenduri.

Dia juga dapat menabung dan akhirnya berjaya menunaikan haji sekalipun kosnya amat besar. 

Orang yang hidupnya tiada keberkatan pula akan menghamburkan duitnya untuk tujuan sia-sia, misalnya berparti ke sana sini dengan minuman keras di tangan atau berjudi, tidak mengeluarkan zakat apatah lagi untuk bersedekah dan gemar sekali melonggokkan harta dengan jalan salah seperti menipu, merasuah, membunuh, merompak dan sebagainya. Akhir hidupnya dia akan menjadi perogol, pembunuh, perasuah dan sebagainya. 

Orang yang mempunyai keberkatan hidup akan sentiasa sayang menyayangi sesama insan. Jika dia orang kaya dia adalah orang kaya disayangi jiran tetangga sekalipun si jiran orang miskin kerana dia sering bersedekah dan membantu mereka, malah tidak sombong pula. 

Jika dia orang miskin, dia reda dengan kemiskinannya dan mempunyai harga diri menyebabkan dia tidak suka meminta-minta. Dia pun tidak sombong malah sedia mengorbankan tenaganya sebab dia sedar dia kekurangan dari segi harta benda. 

Selalunya apabila bercakap mengenai keberkatan, kita selalu memperkatakan tentang diri seseorang atau keluarganya. Jarang benar kita menyoroti erti barakah membabitkan kelompok lebih besar seperti masyarakat dan negara. 

Jika negara kita mempunyai pendapatan berbilion-bilion dolar, ertinya negara kita adalah negara kaya sama seperti sebuah keluarga yang kaya, pembaca boleh membuat penilaian sama ada negara kita ini penuh keberkatan atau tidak. 

Sama seperti sebuah keluarga yang hidup penuh keberkatan jika ahlinya dapat hidup dalam keadaan mencukupi (tidak berhutang ke sana sini), adakah negara kita juga dapat hidup dalam keadaan yang serba mencukupi? Kenapa pula negara kita sibuk berhutang ke sana ke sini? 

Jika sebuah keluarga dikatakan hidup penuh keberkatan jika ia dapat memuaskan hati semua anggotanya dari segi pemberian nafkah dan keperluan hidup, adakah negara dapat memuaskan majoriti rakyat dari segi nilai penghidupan mereka? 

Mengapa akhir-akhir ini rakyat semakin keras keluhan mereka, barangan keperluan semakin meningkat manakala kehidupan rakyat semakin sukar.

Sebuah keluarga yang barakah tidak akan sesekali menindas ahlinya malah ia sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada orang lain pula. Sesebuah keluarga yang hidup barakah juga tidak akan membazirkan wang dengan sia-sia sebaliknya tahu kewajipannya untuk membayar zakat, cukai, segala macam bil dan sebagainya. 

Jika demikian ukurannya, negara perlu berjimat, tidak membazirkan wang rakyat dengan pelbagai macam pesta. Alhamdulillah, Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini membatalkan majlis keraian sambutan hari ulang tahun baginda...oleh itu pemimpin perlu mencontohi baginda.

Jamuan dan pesta hari ulang tahun kelahiran VIP adalah tidak perlu, orang yang diraikan sudah cukup makan, yang tidak cukup makan ialah rakyat-rakyat miskin, anak-anak petani, nelayan dan anak-anak  nun jauh di ceruk kampung di pedalaman. 

Ada pula pesta  dan jamuan, wang kosnya mungkin diambil daripada khazanah negara yang membabitkan wang si petani, nelayan, pekedai, penoreh getah, pekebun kelapa sawit dan sebagainya yang membayar cukai tanah dan pelbagai lesen. 

Rakyat miskin mengeluh dengan kos hidup tinggi yang memaksa mereka mengerah tenaga dan menyabung nyawa misalnya di laut untuk menyekolahkan anak, membesarkan mereka agar menjadi 'orang' pada masa akan datang. 

Jika dalam sesebuah keluarga, pada zahirnya keluarga yang tiada keberkatan ialah yang porak-peranda, anak tidak mendengar cakap ibu bapa, isteri dan suami selalu bertekak, anak isteri terbabit dengan maksiat, pendeknya keluarga ini tidak mengendahkan perintah Allah SWT. 

Berdasarkan gejala keruntuhan akhlak yang semakin teruk di kalangan masyarakat sekarang ini manakala jenayah seperti bunuh, rogol, ragut dan rasuah semakin berleluasa, di mana sebenar kedudukan negara kita, adakah ia penuh kebarakahan?

Tuesday, September 4, 2018

Merdeka; warkah terbuka buat Adun Bukit Katil merangkap KM Melaka

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

ALHAMDULILLAH, pada sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-61 ini, diucapkan tahniah kepada kerajaan dan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) serta semua rakyat kerana buat julung kali merayakannya pada era Malaysia Baharu di atas puing-puing kejatuhan rejim lama.

Pada ruangan kali ini, izinkan saya mengecilkan skop penulisan kepada 'negeriku' Melaka kerana kata orang, tempat jatuh lagi dikenang ini pula tanah tumpah darah.  Sebagai warga Melaka diucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Melaka Baharu pimpinan Yang Amat Berhormat (YAB) Ketua Menteri, Adly Zahari yang juga Adun Bukit Katil.

Sebelum pergi jauh, sempena hari ulang tahun kemerdekaan negara ini, eloklah kita menjenguk sejenak bagi memahami apa itu merdeka. Kamus Perwira mendefinasikannya sebagai 'bebas' (bahasa Inggerisnya 'independent') manakala Kamus Dewan pula merujuknya sebagai bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan sebagainya serta lepas daripada tebusan dan tuntutan, berdiri sendiri, tidak bergantung kepada yang lain.

Cendekiawan Islam pula sering merujuk erti merdeka kepada perbualan antara wakil panglima tentera Islam, Asim ibn Amir dengan jeneral tentera Parsi, Rustam pada zaman pemerintahan Khalifah Al-Khattab. Asim menegaskan bahawa kedatangan Islam adalah untuk membebaskan manusia daripada penghambaan sesama manusia kepada pengantungan sepenuhnya kepada Yang Maha Kuasa (Allah SWT).

Katanya, Islam menawarkan keadilan kepada semua berbanding kezaliman pemerintah; ada sebuah hadis daripada 'Aisha yang menyebut Nabi s.a.w. sebagai berkata jika anak kesayangannya Fatimah mencuri, akan juga dipotong tangannya.

Alhamdulillah pada era Malaysia Baharu; dalam konteks lokal (setempat), Melaka Baharu, pencambahan pemikiran dan perkongsian maklumat semakin ketara...pemimpin dan rakyat semakin terbuka; tidak lagi terbelenggu dalam kejumudan maklumat dan informasi bahawa parti pemerintah saja yang betul, yang lain salah.

Lantas pada era rejim lama, hanya kebaikan parti pemerintah diuar-uarkan media manakala kebaikan lawan bukan hanya disorok di bawah karpet tetapi di 'spin' bagi menjadikan pembangkang seolah-olah 'gengster Kampung Pisang' di mata rakyat.

Syukur, hari ini media mula terbuka untuk membicarakan pelbagai perkara yang tidak berat sebelah pada sesuatu pihak saja...ia menjalankan peranannya sebagai 'the fourth estate' dalam sesebuah demokrasi. Media menjadi 'pemeriksa dan pengimbang' (check and balance)...membuka mata pemerintah dan rakyat hatta kepada isu-isu yang dianggap remeh pada sesetengah pihak.

YAB Tuan Adly, izinkan saya di sini menyuarakan perkara kecil yang insya-Allah dapat disampaikan kepada pegawai tuan untuk tindakan. Maafkan saya jika perkara ini kecil, yalah saya pun 'orang kecil' - jadi terima kasih kepada pihak YAB. Teringat saya, dulu ada pemimpin besar yang dapat meluangkan masa untuk mendengar masalah rakyat setempat termasuklah hal ehwal longkang dan jalan raya.

Ya, saya nak menulis mengenai jalan raya di kawasan Tuan dan sekitarnya; pertamanya hal ehwal 'bulatan tak sempurna' di Jalan Bukit Katil-Bukit Duyong-Bukit Baru (ke Melaka Mall). Jalan Bukit Katil-Bukit Duyong asalnya lurus tetapi dengan terbinanya jalan baru ke Bukit Baru, dibuatlah sebuah bulatan.

Di bulatan itu, pada Jalan Bukit Duyong menuju Bukit Katil (selepas jambatan melepasi sebuah terusan) diletakkan batu-batu konkrit  besar di tengah-tengah jalan iaitu sebagai pembahagi jalan. 

Sejumlah batu sudah pecah, tandanya banyak kenderaan sudah melanggarnya. Ya YAB, bulatan ini 'tersangat bahaya' (lampu yang menerangi kawasan sekitarnya pun malap), sejumlah kemalangan sudah berlaku di sini, tidak tahulah saya berapa ramai orang sudah terkorban. Di kawasan ini, pemandu tempatan pun kerap 'tersasar', jadi pemandu 'luar negeri' tentu akan lebih 'confuse' lagi!

Mungkin YAB 'biasa' lalu di kawasan ini dan tahu hal ini...jadi tak payahlah saya celoteh panjang. Mintalah pegawai YAB bertindak segera...

Selain itu, orang tempatan di sini 'mengkomplen' bentuk bulatan Ayer Molek pun agak pelik dan mengelirukan pengguna jalan raya, dengan sifatnya yang bujur dan bukannya bulat seperti bulatan-bulatan lain.

Kata mereka jalan keluar dari bulatan ini agak mengelirukan orang ramai dan berisiko untuk kemalangan.

Bulatan ini siap dibina pada tahun 2009 ini menelan belanja RM1.2 juta dan selepas pembukaannya kemalangan kerap berlaku di sini. Jadi bertindaklah segera YAB berhubung permasalahan dua bulatan ini!

Sunday, September 2, 2018

Jangan lari... (6)L Melayu; usahakan dakwah 'non-Muslim'

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

MUNGKIN kisah ini atau seumpamanya pernah kita dengar...Semasa kanak-kanak, Ali dan Ah Chong yang tinggal di sebuah perkampungan Melayu amat 'kamceng'. 

Ah Chong melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat manakala Ali di sebuah universiti tempatan. Bertahun-tahun mereka tidak berjumpa, suatu ketika selepas tamat pengajian mereka terserempak...maka mereka berbual dan berseloroh seperti biasa.

Semasa berbual, mulut Ah Chong tiba-tiba melontarkan 'sesuatu' yang betul-betul 'memakan' hati nuraini Ali.  Dalam nada bergurau antara lain Ah Chong berkata..."kau memang kawan aku yang tak guna wahai Ali. Kenapa dulu kau tak pernah nak ajak aku masuk Islam? Kau seorang aje ke nak masuk syurga?

"Di Amerika aku mendapat hidayah. Ada saudara Muslim mendakwah aku di sana.Ya Ali, kalau kau sayang aku dan nak sama-sama ke syurga, kenapa kau tak ajak aku kepada Islam? Namun tak apalah...kita kini sama-sama Islam. Kita bersaudara, lupakan kisah dulu tu."

Sekalipun lega dengan pengakuan Ah Chong untuk terus bersahabat malah bersaudara pula, Ali benar-benar 'terpukul'. Ya, dulu mengapa dia LARI atau tidak sedar akan tanggungjawab dan kesempatan untuk 'berdakwah' kepada golongan 'non-Muslim' apatah lagi mereka yang tersangat rapat seperti seorang kawan baik.

Demikianlah wahai pembaca, orang Melayu kurang berdakwah kepada 'non-Muslim'. Kerja-kerja 'tabligh' (menyampaikan) keindahan Islam apatah lagi ajarannya kepada mereka, hatta di kalangan sebuah pergerakan yang aktif di masjid-masjid pun amat kurang.

Jemaah ini asyik mengajak orang setempat ke masjid, saya (penulis) pernah bertanya kepada sekumpulan jemaah, kenapa 'tak dakwah' kepada 'non-Muslim' mereka berkata, "kita dakwah orang Islam dulu, nanti apabila mereka melihat keindahan Islam seperti ramai orang berpusu-pusu ke masjid, mereka akan tertarik kepada Islam."

Suatu ketika, saya pernah bertanya seorang pendakwah Perkim (seorang saudara kita), mengapa orang Melayu gagal dalam ‘dakwah’ mereka kepada orang Cina kerana di Malaysia kini ada hanya lebih kurang 60,000 Cina Muslim daripada 8 juta orang Cina.
Beliau membetulkan angka yang saya beri, katanya kini hanya adalah lebih kurang 40,000 Cina Muslim di kalangan 30 juta rakyat negara ini. Ya, angka ini sungguh kecil, mengapa tidak tertariknya orang Cina kepada Islam, mungkinkah orang Melayu-Islam yang merupakan kaum majoriti tidak langsung berdakwah kepada orang Cina? 

Berdasarkan sejarah, mengikut teori kedatangan Islam ke Asia Tenggara, penduduk rantau ini diislamkan oleh pertamanya, saudagar Arab; keduanya saudagar India dan ketiganya oleh saudagar dan penjelajah Cina dengan contoh utamanya Laksamana Cheng Ho yang beberapa kali belayar melalui laut kawasan ini untuk ke Makkah bagi menunaikan haji.
Ya, dulu orang Cina terbabit mendakwah orang Melayu, maklumlah Islam dikatakan telah sampai ke negara China pada abad ke-7 sedangkan di Alam Melayu, rakyat kerajaan besarnya seperti Sriwijaya masih beragama Hindu dan Buddha. 

Jadi orang Melayu sebahagiannya diislamkan oleh orang Cina tetapi kenapa hari ini orang Melayu sebagai penduduk asal rantau ini tidak berjaya menarik jutaan orang Cina kepada Islam? 

Pendakwah itu menjelaskan sesetengah watak dan sikap semula jadi orang Melayu itu seperti mudah tersenyum, peramah manakala anak-anak menunjukkan penghormatan kepada orang tua seperti mencium tangan ibu bapa, menambat hati kaum lain tetapi malangnya beliau mengakui orang Melayu tidak membuat kerja-kerja dakwah; ramai yang mengemukakan alasan seperti tidak pandai (tiada ilmu) dan tiada masa. Beliau mengingatkan adalah penting untuk setiap Muslim mencari ilmu, memahaminya, mengamal dan seterusnya menyampaikannya (berdakwah).
Benarkah hal-hal berkaitan Islam tidak sampai kepada orang Cina? Dalam dunia moden apatah lagi pada era perkembangan teknologi komunikasi ini, perkara ini dirasakan mustahil tetapi sebagai manusia, ‘personal touch’ (jalinan peribadi) adalah amat perlu kerana situasi ini boleh menyentuh kalbu bagi membuka laluan seseorang itu mendapat hidayah Illahi. 

Pada pandangan saya, ketika seorang dua pemimpin parti politik Cina hebat menyerang Islam seperti memperlekehkan hukum hudud adalah amat penting untuk orang Islam yang cintakan agamanya berperanan untuk menerangkan Islam kepada rakan-rakan Cina mereka. Merekalah diharapkan untuk melakukan ‘personal touch’ , adalah amat merugikan jika sudah bertahun-tahun kita berkawan dengan orang bukan Islam tetapi tidak pernah menerangkan hal berkaitan Islam kepada mereka.
Bolehkah kita biarkan pemimpin bukan Islam yang jahil Islam (mungkin benci Islam) berleluasa memberi gambaran mengenai apa didakwanya sebagai keburukan ajaran Islam? Sesungguhnya pemimpin seperti ini tidak layak bercakap pasal Islam tetapi mengapa kita tidak lakukan sesuatu sebelum ‘percakapan mulut busuk mereka’ masuk ke dalam minda rakan-rakan bukan Islam kita? Adalah malang jika kita menganggap hal agama adalah soal ‘taboo’ yang tidak boleh dibicarakan sesama rakan. Menyampaikan adalah tugas kita, untuk memberi hidayah itu ‘kerja’ Allah SWT. 
Pendakwah itu tidak meminta kita (orang Melayu-Islam) melakukan tugas yang berat-berat dalam berdakwah; cukuplah kita bermula dengan menunjukkan akhlak dan contoh baik, mencetak dan mengedar risalah penerangan atau al-Quran terjemahan bahasa Cina dan kalau itu pun kita tidak mampu lakukan, berilah bantuan kewangan kepada pihak yang menjalankannya seperti Perkim!