Monday, January 30, 2017

U Masjid (7): Kisah tahi cicak dan kahwin bidadari...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 

AL-QURAN ada menyebut sejumlah binatang seperti labah-labah, semut dan lebah untuk dijadikan iktibar. Ada kisah menyatakan Namrud iaitu Raja Babylonia pada zaman Nabi Ibrahim a.s. mati selepas seekor nyamuk memasuki otaknya.

Kemudian ada kisah burung ababil yang memusnahkan tentera bergajah pimpinan Abrahah yang bercita-cita memusnahkan Kaabah. Kisah ini dirakamkan dalam Surah Al-Fil.

Berceloteh mengenai binatang ini, saya tertarik membicarakan hal cicak yang biasa kita temui di persekitaran masjid. Suatu malam ketika kuliah antara waktu maghrib-isyak di sebuah masjid saya duduk di beranda (disebabkan hal tertentu), bukan di dewan solat. 

Ketika mengikuti butir-butir perkataan dituturkan sang ustaz, saya memandang ke siling dan dinding masjid; terlihatlah saya seakan-akan satu 'pesta' sekurang-kurangnya 10 ekor cicak yang sedang 'mencari makan'.

Terpegun saya memerhatikan ketangkasan cicak-cicak itu memburu mangsanya. Cicak 'terlekap' di siling dan dinding tetapi sungguh menakjubkan bagaimana binatang yang tidak bersayap ini boleh menangkap mangsanya yang kebanyakannya berkepak seperti kelkatu. Subhanallah, binatang tak bersayap boleh makan haiwan bersayap. Fikir-fikirkanlah!

Cicak-cicak ini sentiasa 'bersedia' - menunggu mangsanya 'membuat sedikit kesilapan' atau 'lalai'. Apabila kelkatu bergerak 'terkonteng-konteng' di dinding, sepantas kilat sang cicak menerkam - hasilnya kenyanglah perutnya. Seekor dua cicak bertindak lebih berani dengan bergerak di lantai bagi mengejar kelkatu yang jatuh.

Daripada 'hal cicak' ini, pakar motivasi kerap mengingatkan kita - jika sang cicak yang tak bersayap itu pun boleh 'menikmati' daging binatang bersayap; apakah kita (manusia) yang dijadikan khalifah di dunia oleh Allah SWT tidak mampu membina kekuatan diri...hai takkan nak mengeluh saja...berusaha kuatlah bagi memenuhi impian diri...kalau nak ke syurga pun 'kena berusaha keras', tidak boleh berpeluk tubuh.

Saya perhatikan cicak-cicak yang banyak itu, 'menjatuhkan' najis yang banyak juga di lantai. Tahi-tahi cicak amat jelas kelihatan kerana lantai di beranda masjid itu adalah daripada jenis kayu parquet.

Sambil duduk-duduk itu timbullah ilham di kepala saya. Tahi cicak adalah najis dan mengotorkan masjid...jadi tidak mahukah saya mengambil 'tugas' untuk 'mengutip' tahi-tahi cicak untuk dibuang! 

Wah ini satu peluang keemasan; terfikir di otak saya untuk melakukan 'pekerjaan' ini secara tetap...terngiang-ngiang di telinga saya ada ustaz dalam ceramah mereka menyatakan membersihkan kotoran seperti membuang tahi cicak ibarat 'mas kahwin' (mahar) kita kepada bidadari di syurga nanti...aiii, awak tak nak 'kahwin' dengan bidadari ke?

Dulu masa kecil, selalu juga saya dengar 'orang' bercerita jika kita bunuh cicak terutama pada malam Jumaat, kita dapat pahala. Betulke? Ketika itu saya pun sudah jadi 'pembunuh cicak' dengan 'melastiknya' dengan 'lastik getah mainan'.

Apabila menginjak dewasa, saya semak hadis - memang betul ada hadis menyebutkan perkara itu. Antaranya, hadis yang diriwayatkan daripada sahabat Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barang siapa membunuh cicak dalam sekali pukul, maka ditulis untuknya 100 kebaikan, dan dalam dua kali pukulan kurang daripada itu (100 kebaikan), dan dalam tiga kali pukulan, kurang daripada itu.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis lain riwayat Imam Muslim menyatakan: “Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam memerintahkan untuk membunuh cicak, dan Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam menamainya dengan nama Fawaisiqo (binatang jahat). 
Sejak melihat cicak banyak di beranda masjid itu bermulalah 'tugas' saya 'mengutip' tahi-tahi cicak di beranda masjid terutama pada waktu subuh kerana faham-fahamlah ketika itu tahi cicak agak banyak selepas cicak-cicak itu 'berpesta' sepanjang malam.  
Mula-mula saya gunakan berus dan bekas yang disediakan pihak masjid. Tetapi peralatan ini kerap tiada daripada ada. Al-maklumlah berus dan bekas ini 'sentiasa bergerak'...kejap berada di dalam ruang solat, kemudian di beranda, kemudian di tepi masjid, kemudian ghaib terus.

Akhirnya terfikirlah saya untuk membawa peralatan sendiri yang disimpan dalam kenderaan saya. Keadaan ini lebih menyenangkan. Sampai saja ke masjid, saya boleh memulakan 'tugas'. Kutip tahi cicak sebelum jemaah terpijak...kalau dah terpijak apa nak dikata...

Yalah, mula-mula 'cerita kahwin dengan bidadari' mengujakan kita untuk 'bekerja' membuang kotoran dari masjid. Kata orang ia 'bagai satu inspirasi'. Tetapi lama kelamaan, kita tak peduli lagi 'cerita bidadari itu'. 

Kita buat 'kerja' semata-mata kerana Allah Taala. Jika masa budak-budak kita boleh 'lastik' (bunuh) cicak sekarang ni apabila 'dah pencen' tak laratlah nak 'kejar' dan bunuh cicak, nanti cicak 'tertawakan' kita...jadi sekarang ini 'angkat' tahi cicak pun jadilah!

No comments: