Wednesday, January 25, 2017

Akhiri sandiwara perkauman menjelang PRU-14

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)

NEGARA kita sudah hampir 60 tahun merdeka tetapi sungguh membimbangkan kerana persoalan perkauman masih membelenggu rakyat terutama apabila disemarakkan oleh pemimpin yang mahu berkuasa 'dulu, kini dan selamanya'.

Berbicara mengenai negara ini terutama menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) , tidak lengkap jika tidak membicarakan komposisi kaumnya yang pelbagai itu - Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan sebagainya. 

Hal ini termasuklah politik apabila kaum masing-masing pada asalnya diwakili oleh pertubuhan politik perkauman; seperti United Malay National Organization (Umno), Malaysian Chinese Association (MCA) dan Malaysian Indian Congress (MIC).

Sekalipun ketiga-tiga parti ini bergabung membentuk dulunya Perikatan, kini Barisan Nasional (BN), perjuangan parti masing-masing adalah berdasarkan perkauman (desakan dan kehendak kaum masing-masing); hanya sedikit hal berhubung matlamat sama seperti mencapai kemenangan dalam sesuatu pilihan raya.

Sekalipun sedar akan keperluan sesuatu kaum memperjuangkan masa depan kaumnya, jika kita rujuk kepada Sirah Rasulullah SAW yang sewajarnya menjadi panduan setiap Muslim dan tatapan ‘non-Muslim’, baginda Rasul tidak pernah melaungkan semangat perkauman seperti "hidup Arab" atau "hidup Quraisy" (bagi kita "hidup Melayu" sambil menghunuskan keris dan sebagainya), tetapi membebaskan manusia daripada kejahilan dan kesesatan kepada hanya tunduk kepada Yang Maha Kuasa.

Baginda berhijrah dari Makkah ke Madinah dan kemudian kembali ke Makkah adalah bagi membebaskan bangsa Arab dan seluruh manusia daripada penjajahan dan penindasan sesama manusia dan bukan mengangkat martabat sesuatu bangsa seperti Arab ke puncak kuasa atau menguasai bidang kehidupan seperti ekonomi dan perluasan wilayah.

Hakikat Islam sebagai satu-satunya ajaran yang dapat membebaskan seluruh umat manusia dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud; "tidaklah Aku utuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk rahmat kepada sekalian alam." Di atas dasar inilah umat Islam menyebarkan risalah Allah ke seluruh pelosok alam.

Perihal kemerdekaan terutama tugas memerdekakan akidah manusia kepada mentauhidkan Allah SWT dinyatakan dengan jelas oleh Ruba’i bin ‘Umair, panglima tentera Islam ketika berhadapan dengan panglima Rustum dari Parsi; "Kami datang untuk membebaskan umat manusia daripada penyembahan selain daripada Allah, membebaskan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat dan daripada kezaliman kepada keadilan. Barangsiapa yang menerimanya, kami akan kembali (tidak akan berperang dengannnya) tetapi bagi siapa yang enggan maka kami memerangi mereka sehingga Allah menunaikan janjinya."

Bagi kita, politik berasaskan perkauman kian menjauh dan tersasar daripada realiti perkembangan semasa. Apatah lagi dalam situasai sekarang, dengan perkembangan terlalu pantas di bidang teknologi maklumat, hampir semua perkara terdedah kepada pengetahuan umum dan dibahaskan semua peringkat rakyat saban masa. Oleh itu sebarang lontaran isu perkauman termasuk untuk mendapat sokongan undian kaum tertentu ketika pilihan raya akan hanya memakan diri dan lebih malang lagi mengundang negara dan manusia sejagat ke jurang kehancuran.

Di sini, kita melihat betapa murninya ajaran Islam dengan Allah SWT mengutus Nabi Muhammad s.a.w. untuk membawa rahmat kepada sekalian alam termasuk manusia. Baginda tidak diutuskan untuk kebahagiaan satu-satu kaum saja seperti orang Arab atau Quraisy tetapi membawa mesej kesejahteraan untuk semua - orang Islam, bukan Islam malah makhluk lain seperti jin, binatang dan tumbuh-tumbuhan. Lihatlah betapa indahnya peraturan dalam Islam seperti adab-abab peperangan dan penyembelihan bagi membuktikan bahawa ajaran Nabi Muhammad SAW itu adalah rahmat bagi sekalian alam.

Kewujudan negara-negara dengan sempadan sekarang ini adalah bikinan Barat untuk menunjukkan kekuatan dan melempiaskan kebongkakan mereka ke atas bangsa lain (bangsa jajahan). Dengan wujudnya situasi ini, maka bebaslah mereka mempromosi kekuasaan bangsa mereka ke atas bangsa lain; bagi mereka kaum di negara taklukan seperti Iraq dan Afghanistan tidak bernilai sesen pun sebab itu pembunuhan puluhan ribu orang di rantau ini tidak ada apa-apa kepada mereka sedangkan jika sejumlah kecil bangsa atau warga mereka terbunuh, mereka memburu pihak disyaki hingga ke lubang cacing dan melabel mereka sebagai pengganas.

Demikianlah tembelang dan temberang pejuang perkauman sama ada di dalam negara atau di luar negara kian terdedah, maka kepada Muslim dan Muslimat dinasihatkan agar kembali kepada ajaran Islam bawaan Rasulullah SAW kerana hanya itu penyelamat sebenar kehidupan di dunia dan akhirat.

No comments: