Sunday, January 1, 2017

MRT tidak utama bahasa kebangsaan…

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 

BARU-BARU ini saya menaiki MRT dari Stesen Pusat Bandar Damansara ke Sungai Buloh dan kembali semula ke Pusat Bandar Damansara. Alhamdulillah perjalanan secara percuma itu (tawaran selama sebulan) begitu mengujakan – tren bergerak ‘tangkas’ – lebih kurang 30 minit sudah sampai ke destinasi manakala perjalanan balik juga kira-kira 30 minit. Syabas kepada pihak berkenaan.

Saya menggunakan masa sejam dalam tren untuk ‘melihat itu dan ini’ (macam rusa masuk kampung) – jadi penulisan saya ini hanya berbentuk pemerhatian, tidaklah berbentuk ‘investigative’ (penyiasatan) seperti yang dilakukan oleh Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli yang mendakwa kos keseluruhan projek MRT 150 kilometer itu sudah berganda kepada RM124 bilion sedangkan PM Najib Razak mendakwa RM2 bilion sudah dapat dijimatkan!

Rafizi mendakwa penjimatan RM2 bilion yang disebut-sebut itu tidak berlaku kerana pada keseluruhannya, kos akan meningkat dua kali ganda berbanding dengan kos RM40 bilion yang diumumkan pada 2010.

Sebaik memasuki tren terasa seolah-olah kita bukan berada dalam sebuah negara bernama Malaysia kerana telinga kita ‘menangkap’ perkataan demi perkataan ‘siar raya’ dalam bahasa Inggeris…hanya apabila tren menghampiri sesebuah stesen barulah kedengaran pengumuman pendek dalam bahasa kebangsaan kemudian ‘celoteh’ disambung dalam bahasa Inggeris. Terasa macam berada di negara orang putih pula!

Teringat saya ketika saya menaiki kapal persiaran menyusuri Sungai Thames di London beberapa tahun lalu – bahasa siar raya yang digunakan adalah Inggeris ‘accent' British sepenuhnya – itu tidak menghairankan tetapi apabila sebuah perkhidmatan yang kerajaan mempunyai kepentingan hampir sepenuhnya di negara bernama Malaysia menggunakan bahasa Inggeris membuatkan diri ini benar-benar ‘kagum’ dan ‘tergamam’!

Namun jangan salahkan pihak ini sepenuhnya…bukankah perkhidmatan MRT ini dalam tempoh percubaan, malah ‘free’ pula. Apa yang baik, boleh dikekalkan tetapi yang kurang molek, kita buat teguran dan diharapkan pihak-pihak terbabit dapat membuat pembetulan.

Jika mereka sedia menerima teguran, dukacita kita mengingatkan bahawa bahasa kebangsaan kita semakin tidak dihormati dan hargai sekalipun pemerintah negara ini kerap melancarkan Kempen Bulan Bahasa Kebangsaan yang boleh dikatakan diadakan saban tahun.

Ertinya bahasa kebangsaan kita semakin ‘menuju ke kubur’ sedangkan pemimpin negara bercakap berdegar-degar ‘kononnya’ mereka mendaulatkannya. Bayangkan sebuah negara berdaulat yang sudah merdeka lebih separuh abad lalu, terpaksa melancarkan kempen bahasa di kalangan rakyat sedangkan perkara itu sewajarnya sudah lama beres.

Kempen adalah bertujuan mempromosi sesuatu yang baru, tetapi apabila bahasa kebangsaan terpaksa dikempenkan, ertinya bahasa ini tidak ‘dituankan’ atau didaulatkan di negara ini. Demikianlah bahasa kebangsaan diperlakukan sedemikian rupa sehingga merempat di negara sendiri termasuk dalam MRT!

Agak menghairankan, penumpang yang menaiki MRT itu saya perhatikan hampir 100 peratus orang Malaysia…adakah mereka ‘tidak faham’ atau 'tahu' bahasa kebangsaan sehingga ‘terpaksa’ digunakan bahasa Inggeris…fikir-fikirkanlah, buatlah sesuatu sebelum terlambat; pejuang bahasa ayoh bangun dan bangkitlah berjuang!

No comments: