Tuesday, April 12, 2016

Imam, ustaz perlu turun padang...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Wafatkanlah aku dan keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang saleh." (Maksud Ayat 101 Surah Yusuf) 


PERISTIWA memalukan apabila keluarga bakal pengantin lelaki dan perempuan bergaduh di sebuah masjid di Kuala Lumpur baru-baru ini yang salah satu faktornya adalah perbalahan mengenai wang hantaran sewajarnya menginsafkan kita kemungkinan usaha dakwah kurang membekas di kalangan majoriti anggota masyarakat.

Ambil contoh mudah kes qazaf Saudara Anwar Ibrahim, ramai kurang faham malah seorang ustaz dalam tazkirah di sebuah masjid yang penulis ikuti, berkata ramai umat Islam apatah lagi bukan Islam tidak tahu menahu mengenai hukum jenayah Islam. 

Malah seorang pemimpin kanan MCA yang bimbang kemungkinan hukum hudud dilaksanakan di Kelantan dilaporkan oleh sebuah akhbar harian sebagai berkata beliau takut jika mangsa rogol dikenakan hukuman seperti apa yang didakwanya berlaku di Somalia, Sudan dan Arab Saudi. Mungkinkah pemimpin MCA itu tidak faham tetapi mahu menangguk di air keroh bagi kepentingan politik parti dan dirinya.

Berdasarkan senario kegiatan keagamaan di negara kita, imam dan ustaz 'menjalankan tugas' di masjid...jarang kita ketemui mereka turun padang, berkunjung dari rumah ke rumah orang kampung atau menyelusuri taman dan lorong untuk berdakwah.

Apabila ini berlaku, kefahaman agama tidak berkembang luas...pada sesuatu malam di sesebuah masjid, tazkirah maghrib-isyaknya dihadiri oleh mungkin 30 orang; esok, lusa, tulan dan seterusnya pada hari-hari berikutnya 'muka' yang sama hadir sedangkan jumlah penduduk sesebuah kariah atau kawasan mungkin 10,000 orang.

Hanya 30 orang dapat ditarbiyah sedangkan 9,970 penduduk 'entah ke mana pergi mereka'. Jika keadaan ini berterusan (masyarakat kurang faham kehendak agama), maka tidak hairanlah jika ada yang bergaduh dalam masjid pasal wang hantaran.

Keadaan masyarakat dengan aneka jenayah dan maksiat hari ini sudah menjadi terlalu teruk. Malah ada pemimpin pun lebih teruk lagi, mereka 'menyolap' berjuta-juta malah berbilion-bilion ringgit dan melakukan pelbagai jenayah termasuk membunuh.

Masyarakat kita sudah teruk, apakah imam, ustaz dan petugas lain mahu terus 'selesa' dalam masjid yang kebanyakannya sudah berhawa dingin? Tidak teringinkah mereka untuk menemui 9,970 penduduk dalam kariah mereka untuk didakwah berbanding menghadapi  '30 anak murid veteran' yang datang setiap malam?

Kerja-kerja amal makruf nahi mungkar hendaklah dijalankan. Imam dan petugas lain perlu meluangkan masa menziarahi anggota kariah seterusnya mentarbiyah mereka, yang melanggar hukum-hakam perlu dinasihati manakala amalan beragama diperkukuhkan. Penting untuk petugas turun gelanggang kerana penduduk yang ke masjid untuk solat berjemaah dan majlis ilmu terlalu sedikit.

Imam perlu sedar bahawa tugas mereka sebagai pemimpin bukan setakat mengimamkan solat berjemaah di masjid yang mungkin berlangsung 5-10 minit setiap waktu tetapi berdasarkan perkembangan semasa yang amat negatif seperti berleluasanya zina, kelahiran anak luar nikah, pembunuhan, perompakan dan pergaduhan adalah wajar untuk mereka turun padang.

Tentunya, jalan ini tidak mudah dirintis, pengorbanan imam-imam sebagai pemimpin amat diperlukan. Merekalah antara golongan paling dekat dengan masyarakat, misalnya pada setiap majlis di kampung seperti kenduri dan kematian, merekalah yang akan mengepalai upacaranya. 

Jadi adalah wajar imam menjadi agen perubahan, membawa masyarakat kepada pengamalan Islam yang syumul. Apabila masyarakat sudah faham dan bersedia mengamalkan tuntutan agama, insya-Allah tidak berlakulah kes seperti bergaduh di masjid kerana soal wang hantaran. Malah imam-imam boleh menasihatkan masyarakat tidak gila meletakkan wang hantaran secara melampau yang merupakan antara faktor penghalang anak muda daripada 'mendirikan masjid'!

No comments: