Monday, April 18, 2016

DLP: Belajar sesuatu di majlis Telugu

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Wafatkanlah aku dan keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang saleh." (Maksud Ayat 101 Surah Yusuf) 

SABTU 9 April lalu, selepas solat jamak zuhur-asar di Masjid Jamek Kuala Lumpur, saya menuju Dataran Merdeka, penuh bersemangat untuk menyertai perhimpunan membantah 'Dual Language Programme' atau Program Dwi-Bahasa (DLP) anjuran PAS, Kongres Rakyat serta pembantah PPSMI.

Ehh, tak ramai orang...tak ada orang berhimpun pun, bisik hati saya ketika menapak di bahu jalan Jalan Tun Perak ke Dataran Merdeka. Sah memang tiada perhimpunan apa-apa pun...tetapi dari kejauhan saya lihat di tengah-tengah Jalan Raja bersebelahan Bangunan Sultan Abdul Samad ada sebuah pintu gerbang besar dan di belakangnya kelihatan barisan khemah putih.

Saya pun duduk bertenggek di sebuah batu di persimpangan Jalan Raja/Jalan Tun Perak/Jalan Tuanku Abdul Rahman/Jalan Raja Laut hampir setengah jam...menunggu dengan sabar, kot-kot ada orang datang berhimpun, tetapi ternyata tiada. 

Mungkin saya tersalah tempat, kata hati saya lantas bangun lalu menyusuri Jalan Tuanku Abdul Rahman menuju Kompleks Membeli Belah Sogo, salah satu lokasi yang kerap menjadi medan perhimpunan pembangkang. Tiada juga, yang ada kumpulan pemuzik membuat persembahan selain peniaga serta pengemis jalanan.

Buntu, memikirkan tiada perhimpunan sedangkan saya datang dari jauh (Melaka) iaitu bertolak sebelum subuh, saya kembali ke Dataran Merdeka, kali ini menyusuri Jalan Raja Laut. Sah, tiada perhimpunan di Dataran Merdeka...malangnya pada 'saat-saat genting' seperti itu saya tiada telefon bimbit (sudah hilang tidak lama dulu) untuk menelefon dan bertanya kenalan...jadi ke tak jadi perhimpunan itu atau mungkin ia diadakan di tempat lain. (Selepas balik ke rumah dan membuka internet barulah saya tahu lokasi sudah diubah ke Taman Tasik Titiwangsa. Penganjur sudah memaklumkannya tetapi orang macam saya tak tahu!)

Selepas berehat dan berfikir mengenai langkah selanjutnya, perasaan saya membuak-buak untuk mengetahui majlis apa sedang diadakan di atas jalan raya bersebelahan menara jam Bangunan Sultan Abdul Samad itu. Kata hati saya, lupakan perhimpunan membantah DLP, sebaliknya 'timba pengalaman baru' di 'majlis orang'.

Di pintu gerbang tertulis 'Selamat Datang ke Rumah Terbuka Ugadi 2016'. Ya semua pengunjung ke pelawa masuk...saya lihat ada sejumlah 'mat salih', Melayu dan Cina menyertai ribuan orang India berpusu-pusu memasuki kawasan khemah yang memanjang lebih 500 meter. Ada kain sepanduk besar menyatakan majlis anjuran Persatuan Telugu Malaysia itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Ketika melepasi pintu gerbang, saya disapa dan dipelawa seorang pemuda India untuk minum air kelapa. Saya lihat ada satu lori penuh kelapa muda dengan sepanduk memaklumkan orang ramai boleh minum air kelapa 'free or charge'. Saya pun disuakan sebiji kelapa yang telah ditebuk dan dibekalkan satu 'straw' (penyedut). Apalagi, dengan lafaz 'Bismillah'...syruppppp...habis air kelapa saya sedut dalam suasana panas membahang petang itu!

Saya meninjau-ninjau dalam khemah...ada puluhan gerai menyediakan makanan dan minuman percuma. Saya lihat selain orang India, 'mat salih' dan Cina berbondong-bondong menyertai makan 'free'. Saya cuma lihat saja...tak berani cuba. Apa yang menarik perhatian saya adalah pinggan yang digunakan...Subhanallah mereka membuatnya daripada sejenis daun lebar yang sudah dikeringkan. Ya kreatif sekali mereka bagi menyumbang sesuatu bagi memulihara alam sekitar.

Saya berjalan menyusuri deretan kerusi yang disusun memanjang lebih 500 meter menuju pentas. Di barisan depan adalah tempat duduk untuk VIP termasuklah tetamu kehormat PM Najib yang datang lewat petang bagi merasmikan majlis itu. Daripada pengacara majlis dan sekali-sekala bercakap dalam bahasa Inggeris tahulah saya ada VIP datang dari India dan Pakistan, malah Exco Selangor pun ada.

Di pentas, dipersembahkan pelbagai seni budaya orang Telugu...ada nyanyian, tarian dan majlis mengangkat sumpah...semuanya dalam bahasa Telugu. Hebat orang Telugu mempertahankan budaya dan bahasa mereka sekalipun kumpulan orang yang sebahagian besar keturunan mereka berasal dari negeri Andhra Pradesh dan Telangana di India ini adalah 'minoriti kecil' di Malaysia - jumlah mereka dicatatkan 300,000 orang berbanding kebanyakan orang India Malaysia yang berketurunan Tamil.

Ketika mahu meninggalkan majlis, seorang 'pahlawan' Telugu (berdasarkan cara berpakaiannya termasuk memegang sebatang rotan besar) 'menahan' saya dan sambil tersenyum dan tertawa, dia menceritakan 'kehebatan' orang Telugu.

Dakwanya, ada satu juta orang Telugu di Malaysia (melalui pencarian di internet dinyatakan jumlahnya 300,000 orang) yang sangat kuat ikatan perhubungan sesama mereka. Banyak tuntutan etnik ini kepada PM telah berhasil; ini termasuklah peruntukan istimewa daripada PM sendiri.

Katanya, RM3 juta telah diperuntukkan yang membolehkan 3,500 pelajar Telugu melanjutkan pelajaran, menyertai golongan profesional seperti doktor dan jurutera. Dia juga mengkhabarkan sebuah akademi Telugu akan didirikan tidak lama lagi.

Orang Telugu (Telugu Prajalu) adalah daripada kumpulan linguistik Dravidia; bahasa Telugu adalah yang paling banyak penuturnya di kalangan orang berbahasa Dravidia, yang ketiga paling ramai penuturnya di India dan keempat di benua kecil India selepas bahasa Hindi, Bengali dan Punjabi.

Pada ketika kira-kira 5,000 orang Telugu berhimpun di Dataran Merdeka (dalam puluhan khemah yang cantik dengan kipas gergasi), pada masa yang sama hampir 1,000 orang 'berbumbungkan langit dan berlantaikan rumput) menyertai himpunan membantah pelaksanaan DLP di padang Tasik Titiwangsa.

Orang Telugu terus 'maju' dengan bahasa dan budayanya dan mendapat 'tempat istimewa' mengadakan majlis di Dataran Merdeka, tetapi aduhai, bagaimana nasib orang Melayu dengan bahasanya...pembaca jawablah sendiri!

No comments: