Sunday, April 3, 2016

Antara keberkatan negara dan keluarga...

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)
***

KEPADA pemimpin, ingin saya nukilkan suasana termasuk perbualan pekedai/pelanggan tatkala saya membeli barangan keperluan terutama di kedai runcit. Dengarlah wahai pemimpin, sebahagian besar pelanggan (rakyat) mengeluh kerana harga barangan keperluan adalah lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Namun dalam mengeluh, mereka tetap membeli; maklumlah barangan keperluan harian seperti beras, gula, cili, bawang, gas memasak, minyak masak dan serbuk minuman seperti kopi serta teh perlu sentiasa ada; kalau tak ada, tak berasaplah dapur mereka. 

Kebanyakan suami sebagai ketua keluarga berusaha bersungguh-sungguh untuk mengadakan barang-barang ini terutama selepas dipesan oleh si isteri; jika tidak dibimbangi berlaku 'Perang Teluk' yang kadang-kadang menyaksikan si isteri mogok memasak menyebabkan si suami juga 'kerugian' (tak dapat makan).

Dengan duit dalam poket terhad; pelanggan membeli barangan yang betul-betul perlu saja, itu pun dalam kuantiti yang lebih sedikit seperti setengah kilogram bawang ataupun membeli minyak masak murah dalam plastik berbanding daripada jenis 'standard' (berbotol).

Suatu pagi saya ke sebuah kedai runcit; salah seorang taukenya (milik adik beradik) bersuara kuat yang dapat didengari oleh semua pelanggan: "Zeti (Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz) dah nak berhenti, barulah berani sikit dia cakap pasal 1MDB. Juga isu-isu lain. Dulu kenapa tak cakap?"

Pelanggan semuanya diam, tauke yang sudah memasang satu 'mesin pengira GST' di meja pembayaran, terus membebel: "Aku beli mesin ini ribu-ribu, semua pembelian perlu dimasukkan GST, cukup masa, hantar duit kat dia orang. Senang-senang dia orang dapat duit. Sekarang siapa susah? Aku susah dan kau orang pun susah." 

Pelanggan tak cakap apa-apa. Terkebil-kebil biji mata dia orang. Kebanyakannya hanya tahu harga barangan sudah naik...mungkin mereka berfikir bagaimana boleh beli barang 'ngam-ngam' (cukup-cukup) dengan duit yang ada di tangan atau poket mereka.

Tauke kedai pula 'sudah lebih sudu daripada kuah'. Dia menyambung bebelannya: "Kau orang tahu tak hutang negara sekarang sudah dekat RM800 bilion. Duit Malaysia pun banyak jatuh...duit Amerika, Singapor (Singapura) banyak tinggi. Mahu pergi Singapor pun aku dah tak mampu."

Demikianlah negara Malaysia yang kita kasihi sekarang ini banyak hutangnya. Kata ustaz-ustaz yang kerap saya ikuti pengajian mereka di masjid di kampungku dan kampung 'seberang', orang berhutang tertangguh daripada memasuki syurga sekalipun dia seorang syahid (syuhada). 

Kalau Muslim berhutang keadaannya begitu, bagaimana pula negara? Adakah negara 'sukar masuk syurga' kerana hutang banyak? Tetapi takkan negara masuk syurga atau neraka; tentunya peneraju negara atau pemimpin yang bertanggungjawab. Kalau dah banyak hutang, apakah negara ada keberkatan atau tidak?

Bagi keluarga, orang tua-tua selalu berpesan, biar gaji (pendapatan) ketua keluarga kecil tetapi hidup penuh barakah. Keluarga yang ketuanya bergaji kecil tetapi hidup barakah, hidupnya sentiasa mencukupi, tidak mengeluh-ngeluh malah dapat membantu orang lain pula.

Berlainan pula orang yang bergaji besar tetapi hidupnya tiada barakah. Hidupnya penuh keluh-kesah, baru setengah bulan gajinya sudah habis, untuk meneruskan penghidupan, dia berhutang di sana sini. Hidupnya tiada barakah, mungkin disebabkan pendapatannya daripada sumber haram atau syubahat. 

Orang yang hidupnya mempunyai keberkatan akan membelanjakan pendapatannya di jalan yang diredai Allah. Setiap sen yang dititipkan akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT. 

Misalnya dia akan membelanjakan pendapatannya untuk menampung diri, keluarga, mengeluarkan zakat, kemudian membeli sedikit sebanyak harta seperti kenderaan, rumah atau tanah, seterusnya bersedekah atau untuk mengeratkan siraturahim sesama keluarga dan jiran tetangga, sesekali dia mengadakan kenduri.

Dia juga dapat menabung dan akhirnya berjaya menunaikan haji sekalipun kosnya amat besar. 

Orang yang hidupnya tiada keberkatan pula akan menghamburkan duitnya untuk tujuan sia-sia, misalnya berparti ke sana sini dengan minuman keras di tangan atau berjudi, tidak mengeluarkan zakat apatah lagi untuk bersedekah dan gemar sekali melonggokkan harta dengan jalan salah seperti menipu, merasuah, membunuh, merompak dan sebagainya. Akhir hidupnya dia akan menjadi perogol, pembunuh, perasuah dan sebagainya.

Orang yang mempunyai keberkatan hidup akan sentiasa sayang menyayangi sesama insan. Jika dia orang kaya dia adalah orang kaya disayangi jiran tetangga sekalipun si jiran orang miskin kerana dia sering bersedekah dan membantu mereka, malah tidak sombong pula. 

Jika dia orang miskin, dia reda dengan kemiskinannya dan mempunyai harga diri menyebabkan dia tidak suka meminta-minta. Dia pun tidak sombong malah sedia mengorbankan tenaganya sebab dia sedar dia kekurangan dari segi harta benda. 

Selalunya apabila bercakap mengenai keberkatan, kita selalu memperkatakan tentang diri seseorang atau keluarganya. Jarang benar kita menyoroti erti barakah membabitkan kelompok lebih besar seperti masyarakat dan negara. 

Jika negara kita mempunyai pendapatan berbilion-bilion dolar (kata sesetengah pemimpin GST saja sudah RM30 bilion setahun), ertinya negara kita adalah negara kaya sama seperti sebuah keluarga yang kaya;  pembaca boleh membuat penilaian sama ada negara kita ini penuh keberkatan atau tidak. 

Sama seperti sebuah keluarga yang hidup penuh keberkatan jika ahlinya dapat hidup dalam keadaan mencukupi (tidak berhutang ke sana sini), adakah negara kita juga dapat hidup dalam keadaan yang serba mencukupi? Kenapa pula negara kita sibuk berhutang ke sana ke sini? 

Jika sebuah keluarga dikatakan hidup penuh keberkatan jika ia dapat memuaskan hati semua anggotanya dari segi pemberian nafkah dan keperluan hidup, adakah negara dapat memuaskan majoriti rakyat dari segi nilai penghidupan mereka? 

Mengapa akhir-akhir ini rakyat semakin keras keluhan mereka, barangan keperluan semakin meningkat dan terus meningkat sedangkan pendapatan kebanyakan rakyat tidak bertambah? Bagi petani dan pekebun, hasil pertanian mereka seperti getah merosot pada tahap terendah dan derita mereka bertambah parah pada musim kemarau sekarang ini.

Sebuah keluarga yang barakah tidak akan sesekali menindas ahlinya malah ia sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada orang lain pula. Sesebuah keluarga yang hidup barakah juga tidak akan membazirkan wang dengan sia-sia sebaliknya tahu kewajipannya untuk membayar zakat, cukai, segala macam bil dan sebagainya. 

Jika demikian ukurannya, mengapa pula pemimpin negara membazirkan wang rakyat dalam pelbagai cara. Ketelusan dipersoalkan manakala rasuah berleluasa. Ini belum diambil kira kedudukan negeri-negeri yang dilaporkan muflis sana, muflis sini. 

Berdasarkan gejala keruntuhan akhlak yang semakin teruk di kalangan masyarakat sekarang ini manakala jenayah seperti bunuh, rogol, ragut dan kemalangan jalan raya banyak meragut nyawa, di mana sebenar kedudukan negara dari  segi keberkatannya...barakah atau tidak negara kita ini?

No comments: