Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
KIRA-KIRA 25 tahun lalu, buat kali pertama saya menjejakkan kaki di bumi Sarawak. Tanggal 17 Disember lalu saya kembali semula ke negeri terbesar di Malaysia dan 'tanah air Si Bujang Senang'.
Tentunya pelbagai pengalaman pahit manis dilalui tetapi untuk dibuat perbandingan 'kisah sekarang' dan 'kisah 25 tahun lalu' eloklah saya kutip catatan lama saya mengenai negeri bumi Kenyalang yang didiami kira-kira 2.5 juta penduduk terdiri daripada 40 etnik dan sub etnik. Kumpulan terbesar adalah orang Iban (29 peratus), Cina (24 peratus), Melayu (23 peratus), Bidayuh (8 peratus), Melanau (6 peratus) dan Orang Ulu (5 peratus).
Berbicara mengenai negeri Sarawak, teringat saya lagu 'Sayang Sarawak' (lagu ini ada banyak versi) dan salah satu daripadanya mempunyai senikatanya antara lain berbunyi; "Sayang Sarawak sungainya sempit; berbuahlah rengas; lambung-lambungan; hendakku bawa perahuku sempit; tinggallah emas; tinggal junjungan."
Apa agaknya yang sempit itu? Itulah persoalan yang baik untuk dimuzakarahkan; kerana kebanyakan sungai di Sarawak adalah 'besar, luas, panjang dan lebar' dan ini saya saksikan dengan 'mata kepala' saya sendiri.
Dalam kunjungan 25 tahun lalu, selain 'transit' di Kuching, saya berkesempatan berkunjung ke Sibu dan Sarikei. Kedua-dua bandar ini terletak di pinggir Batang (Sungai) Rajang. Aduh besar sekali sungai yang mengalir di tepi kedua-dua bandar ini.
Sungai adalah nadi penghidupan sebahagian penduduk Sarawak. Untuk ke sesuatu tempat mereka menggunakan laluan sungai. Ada penduduk tempatan menggelarkan perkhidmatan bot antara sesebuah bandar sebagai 'river express' (ekspres sungai).
Sesuai dengan namanya, bot-bot ini bergerak laju. Dulu saya berkesempatan menaiki bot ini dari Sibu ke Sarikei. Di pertengahan jalan, bot itu berhenti di sebuah lagi bandar bernama Bintangor.
Mengenai perkhidmatan 'river express' ini saya mencatatkan: "Ekspres sungai dari Sibu ke Sarikei berhawa dingin. Perhiasan dalaman hebat, dan di depan bot di pasang video. Tetapi seperti dalam bas ekspres, apa yang kerap ditayangkan adalah gusti.
"Perjalanan mengambil masa sejam 15 minit. Kata seorang rakan, jika melalui jalan darat, masa yang diambil mungkin tiga jam, itu pun mungkin ada yang pening kerana jalannya banyak berlopak.
"Dan kalau yang gemarkan 'cabaran ala-Camel' bolehlah terus ke Kuching yang jaraknya hampir 500 kilometer," katanya.
"Permadangan di tebing sungai boleh dikatakan lebih 90 peratus hutan. Selain itu, ada pusat pengumpulan atau kilang kayu balak dan penempatan. Saya berfikir lagi...untung orang Sarawak, dapat hidup mewah dengan hasil balak!"
Ya, itu kisah 25 tahun lalu. Dalam kunjungan terbaru ke Sibu, saya dapati tiada lagi perkhidmatan bot ekspres atau 'river express' dari Sibu ke Sarikei. Bukan saja tiada lagi perkhidmatan Sibu-Sarikei; dermaga lama yang berhampiran sebuah tokong (pagoda) Cina pun sudah tiada sebaliknya digantikan dengan sebuah terminal baru moden yang terletak jauh sedikit daripada kedudukan asal.
Ketika berkunjung ke terminal itu, saya diberitahu perkhidmatan bot ekspres hanya ada untuk ke kawasan pedalaman di hulu Rejang seperti Song dan Kapit dan tiada perkhidmatan ke kawasan hilirnya seperti Bintangor dan Sarikei.
Kisah saya menaiki 'river express' ke Sarikei dari Sibu menyelusuri Batang Rajang rupanya sudah puluhan tahun berlalu. Ia hanya nostalgia, kini sambil merenung air Batang Rajang yang 'padu', deras dan 'ganas' sedarlah saya bahawa Sarawak sudah jauh ke depan...persoalannya mengapa dikatakan 'Sayang Sarawak sungainya sempit'...!
No comments:
Post a Comment