Tuesday, December 23, 2014

'Islam ditadbir bukan mentadbir' - keprihatinan 'Eminent 25' dialu-alukan...


DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)


Bersyukur ke hadrat Allah SWT, kita panjangkan usia maka dapatlah kita memuzakarahkan isu semasa; kali ini tertarik dengan keprihatinan kumpulan 25 tokoh Melayu tanah air yang mengemukakan pandangan bahawa jalan penyelesaian perlu dicari bagi menangani “pelbagai pertikaian yang berterusan mengenai kedudukan dan pelaksanaan perundangan Islam di negara ini.” 

Pertikaian itu berpunca daripada ketegangan yang lahir daripada marginalisasi undang-undang dan pentadbiran Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai perkara Negeri yang mempunyai bidang kuasa yang sangat terbatas. Ia bercanggah dengan hasrat orang Islam, yang merupakan majoriti penduduk, untuk hidup di bawah undang-undang Syariah.

Bagi kita 'kegelisahan' 'Eminent 25' (Kumpulan 25 tokoh utama) ini menguatkan hujah kita bahawa Islam di Malaysia adalah Islam yang ditadbir dan bukan Islam yang mentadbir kerana perkara-perkara berikut; 
1. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, agama Islam terletak di bawah kuasa negeri.
2. Setiap negeri menggubal Enakmen Pentadbiran Agama Islam masing-masing.
3. Setiap negeri juga membentuk Majlis Agama Islam yang mengandungi tokoh-tokoh Islam dan bertindak sebagai badan perundangan Islam yang sebenar di negeri itu.
4. Tugas utama Majlis Agama Islam termasuk:
a) Membuat peraturan-peraturan mengenai agama Islam.
b) Mengeluarkan fatwa.
c) Mentadbir masjid-masjid dan sekolah-sekolah agama.
d) Mengutip zakat, fitrah dan bayaran yang lain yang diwajibkan bagi orang Islam.
e) Mengurus wakaf.
5. Di samping itu sebuah Jabatan Agama Islam yang mengandungi pegawai-pegawai kerajaan juga dibentuk untuk membantu Majlis Agama Islam menjalankan tugasnya.
Perlembagaan Persekutuan juga mengehadkan pemakaian undang-undang Islam.
1. Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri untuk membuat undang-undang mengenai pentadbiran agama Islam termasuk Mahkamah Syariah bagi negeri yang berkenaan.
2. Bagaimanapun Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa atas umat Islam dan mengenai pengamalan ajaran Islam setakat ditetapkan oleh undang-undang Persekutuan.
3. Dengan itu Akta Mahkamah Syariah 1965 (pindaan 1984) telah mengehadkan kuasa Mahkamah Syariah pada paras menjatuhi penjara sehingga tiga tahun, hukuman denda sehingga RM5,000 dan hukum sebat sehingga enam rotan.
4. Mengikut suatu pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1988, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah-mahkamah Bawahan tidak mempunyai kuasa kehakiman ke atas perkara-perkara yang telah menjadi bidang kuasa Mahkamah Syariah.
5. Undang-undang HUDUD tidak diamalkan di Malaysia.

Fakta-fakta ini menunjukkan bahawa Islam di Malaysia adalah Islam diperintah dan bukan Islam yang memerintah. Di sinilah terletak kesedihan kita yang amat sangat kerana hukum-hakam Islam belum lagi didaulatkan sepenuhnya di bumi Malaysia sedangkan majoriti orang Islam mahukan Syariah.. 

Hal ini dibuktikan melalui tinjauan Pew Research Center  di seluruh dunia pada 2013, ia mendapati “peratusan besar Muslim di banyak negara mahu undang-undang Islam (Syariah) dimaktubkan sebagai undang-undang rasmi di negara mereka tetapi cuma dilaksanakan ke atas penduduk Islam sahaja. Sejumlah 86% penduduk Muslim di Malaysia  dan 72% di Indonesia yang ditemu bual dalam tinjauan tersebut mahukan Syariah dilaksanakan di negara mereka.

Sebagai orang Islam, kita mahu melaksanakan hukum Islam lebih daripada undang-undang sivil, demi memenuhi 'standard' tertinggi kehakiman kerana ia mencerminkan keadilan Tuhan.

Atas kesedaran hakikat kebanyakan orang Islam mahukan Syariah, marilah bersama-sama mengorak langkah termasuk berunding dan berdoa semoga semua pihak terutama pembesar dan pemimpin negara kita akan terbuka hati mereka untuk mendaulatkan hukum-hakam Allah. Ya teruskan rundingan, tetapi janganlah menolak hakikat bahawa Islam dan undang-undang adalah rahmat untuk sekalian alam.

Jika sejarah telah membuktikan apabila Raja-Raja Melayu memeluk Islam, rakyat akan berbondong-bondong mengikutinya, maka hari ini diharapkan apabila pembesar dan pemimpin negara terbuka hati untuk mendaulatkan hukum-hakam Islam, insya-Allah seluruh negara akan mengikuti dan insya-Allah rahmat Allah akan menyirami bumi bertuah ini! Amin...Ya Rabbal Alamin.

No comments: