Thursday, December 25, 2014

Hentikan K-Pop, sebaliknya berzikir dan hafal surah al-Quran...

****************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)

*************

PEJAM celik, cuti sekolah sudah hampir ke penghujung. Ibu bapa mulai sibuk menguruskan hal-hal berkaitan persekolahan anak-anak seperti membeli pakaian dan peralatan mereka dan membuat pembayaran yuran serta membeli buku di sekolah.

Bercakap mengenai persekolahan anak-anak ini, seorang peminat ruangan ini menghantar e-mel ini, meminta saya mengutarakan cadangannya bagi manfaat seluruh pembaca terutama ibu bapa.

Antara lain beliau menulis: "Sebut pasal ibu bapa ini, saya nak bagi satu cadangan, boleh tak ditulis dalam Harakah (apa-apa kolum pun) berkenaan keistimewaan surah-surah terpilih dalam al-Quran yang bagus dan perlu di amal(baca/hafal) oleh setiap orang khasnya ibu bapa. 

"Melihat keadaan anak-anak 'trend' kini, gerun kita di buatnya...dengan degilnya, kurang ajarnya, tak tahu malunya, maruah diri dicampak ke tepi, memang petanda inilah anak akhir zaman. Jadi, tak pernahkah ibu bapa bayangkan apa akan jadi apabila kita semua sudah tiada…pergi di jemput Illahi…apa jadi pada anak-anak kita? 

"Ada harapankah anak-anak  kesayangan kita ini, sudi mengirimkan kita sepotong dua doa? Kalau dah gaya macam tadi akhlak anak-anak kita ini, rasanya kempunan dan tipis harapan kita itu. Jadi, selain kita sendiri berusaha menjadi umat yang salih/salihah(insya-Allah), elok rasanya kita amalkan membaca surah yang terdapat dalam al-Quran yang dapat menghindar kita daripada fitnah/seksa kubur iaitu Surah Al-Mulk. Kalau dapat hafal lagi bagus. 

"Nampak macam susah 'jer' nak hafal tapi insya-Allah kalau kita istiqamah, mudah jadinya. Contohnya saya sendiri. Biasa lepas sembahyang Isyak saya baca surah sekejap, lama-lama teringin pula nak hafal…sebab saya fikir, kalau hafal, bila-bila dan di mana-mana saja saya boleh membacanya tanpa berwuduk…dengan umur yang baru masuk '4 series (40 tahun), lambat juga untuk saya ingat setiap ayat. 

"Kalau budak tu lainlah, dosa mereka tak banyak, hati tu bersih lagi kut jadi senang nak hafal. Tapi saya kuatkan semangat, saya cuba tiap-tiap hari, atas motosikal pun masa balik kerja (duduk KL ni, terpaksa naik motosikal, cepat sampai, jimat minyak) setidak-tidaknya saya gunakan masa sanggang terbuang itu dengan ingat balik apa yang saya hafal. Dalam seminggu, saya berjaya hafal ayat 1- 6 dengan lancarnya (berlagak nyer!) Sampailah suatu hari anak perempuan saya yang baru habis UPSR bertanya, kenapa saya hafal surah ini. Dan saya ambil peluang untuk ajak dia sama menghafal surah ini dengan menjawab: “Ibu hafal surah ni sebab apabila ibu dah meninggal nanti, manalah tau, kau tak ingatkan ibu, tak nak doakan ibu, lepas tu 'kut-kut' ada dosa-dosa ibu yang tak habis lagi, tiba-tiba datang ular nak patuk ibu dari kepala, nanti surah ni lah jadi penghalang/pendinding elak ibu daripada kena patuk."

"Kalau ular tu patuk kat kepala macam mana?" tanyanya pula. Saya menjawab; “samalah, nanti surah ni jadi pendinding ibu lah kat kepala." Saya tak tahu penjelasan saya ni betul ke tidak. Tapi yang pasti, selepas tu dia pun sibuk sama menghafal...Alhamdulillah...dan sekarang, kakak sulungnya jugak sudah ikut menghafal...sebab dia 'jeles' ke apa, wallahualam...akhirnya saya sambung ayat ke 7-5….sampai 'jer' ayat ke 16 -20, ya Allah! mencabar jugak otak tepu saya ni…entah macam mana saya terfikir untuk salin lima ayat ni dalam tulisan Rumi. Sambil tengok TV pun saya mampu menghafalnya, lagi senang rupanya. Syukur, saya dah berjaya menghafal 20 ayat daripada 30 ayat keseluruhannya...tinggal 10 ayat 'jer' lagi…insya-Allah…'cayok, cayok'.

"Jadi, saya rasa surah ini amat sesuai dijadikan zikir harian bagi kita semua dan ibu bapa khasnya…daripada dok hafal lagu K-Pop atau lagu-lagu yang tak berfaedah tu , lebih baik kita menghafal surah Al-Mulk ini. Jadikanlah ia sebagai bekalan untuk kita di sana nanti…memang semua ibu bapa mengharap setiap anak jadi salih/salihah dan mampu mendoakan kita tetapi siapalah kita untuk tahu sama ada ia dimakbulkan Allah atau tidak…di akhir zaman ini, begitu mencabar sekali untuk kita mendidik anak-anak.

"Kita hanya mampu berdoa selain pandai-pandailah kita usaha sendiri… saya rasa Harakah boleh terangkan lagi kelebihan surah-surah dalam al-Quran yang boleh kita amalkan. Moga kita dapat mendidik hati, jiwa raga kita semua agar menjadi Muslimin/Muslimah yang lebih baik daripada hari-hari semalam…Amin."  -  Puan Y

No comments: