Monday, October 27, 2014

Kreativiti orang Jakarta hadapi kemelut hidup...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"...Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba'), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalam masjid itu ada orag-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih." (Maksud Ayat 108 Surah At-Taubah) 


INSYA-ALLAH ketika pembaca membaca celoteh ini saya sudah berada di Jakarta, Indonesia. Alhamdulillah, ada 'orang nak sponsor' jadi saya pergilah - ini adalah kali ketiga saya ke Jakarta.

Nostalgia kali pertama ke Jakarta pada 1996 menyemarakkan saya untuk menulis mengenai kreativiti penduduknya mencari rezeki, mungkin dapat menyuntik semangat pembaca yang menghadapi kemelut hidup akibat kenaikan harga barangan selepas kenaikan harga bahan bakar apatah lagi dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) awal tahun depan.

Ya, kalau pembaca 'nak cuba' apa salahnya...Pada kunjungan kali pertama ke Jakarta saya ada menaiki kenderaan awam terutama bas bagi menyelami nadi penduduk kota yang kata sesetengah pihak berjumlah 12 juta pada waktu siang tetapi berkurangan menjadi 10 juta pada sebelah malam! Alasannya dua juta orang tidak tinggal di Jakarta tetapi masuk ke kota itu setiap hari untuk bekerja di firma swasta dan kerajaan dan ada pula mencari rezeki dengan cara amat kreatif sekali.

Suatu ketika saya yang mendiami Hotel Hilton, Jakarta, mahu ke pusat membeli belah Sarina. Pusat niaga terkenal kota Jakarta ini dinamakan sempena nama pengasuh presiden pertama Indonesia, Sukarno ketika beliau kecil. Ya, Sarina adalah srikandi yang namanya diabadikan dalam sejarah moden Indonesia.

Saya menunggu bas di sebuah perhentian di jalan besar depan Hotel Hilton. Saya perhatikan setiap kali bas berhenti, konduktornya menjerit laluan bas - Sarina, Monas, Tanah Abang dan Ancol - adalah antara destinasi dilaungkan. Apabila ada konduktor melaungkan Sarina, saya pun menaiki bas itu.

Saya cari tempat duduk dan membatukan diri. Kata orang, untuk tidak menimbulkan syak bahawa kita orang luar, cara terbaik ialah mendiamkan diri. Jangan banyak buka mulut.

Apabila konduktornya menghampiri, saya hulurkan wang kertas 5,000 rupiah. Saya tidak tuturkan apa-apa. Dia kemudian memulangkan wang baki. Saya kira. Ada 4,000 rupiah. Saya tidak tahu tambang itu betul atau tidak. Yang pasti konduktor itu tidak menyerahkan sebarang tiket atau resit kepada saya. Tetapi penumpang lain pun tak diberikan tiket. Mungkin di Jakarta tiket bas tidak diperlukan, fikir saya.

Apabila tiba di sebuah perhentian lain, naik seorang budak lelaki berusia dalam lingkungan 10 tahun. Dia bersongkok dan memegang sebuah kotak aluminium. Dia tidak mencari tempat duduk seperti orang lain tetapi memegang palang besi di depan penumpang.

Ligat otak saya membuat andaian apa yang hendak dibuat budak ini. Apabila bas bergerak, dia pun memulakan tugasnya. "Assalamualaikum wbk...bapak-bapak dan ibu-ibu sekalian..." 

Rupa-rupanya dia menyampaikan ceramah agama. Hebat sekali pidatonya. Dia mengingatkan kepentingan orang Islam menderma dan ancaman kepada orang yang kedekut, yang hanya mementingkan diri sendiri.

Selepas menutup ceramahnya dengan doa, dia mendapatkan seorang demi seorang penumpang sambil mengunjukkan kotak dermanya. Kebanyakan orang tidak mengendahkannya, ada pula menggelengkan kepala. Namun ada yang mencampakkan 'sesen dua', jadi dapat juga sedikit wang.

Tiba di sebuah perhentian lain, budak itu turun dan naik pula beberapa orang termasuk seorang pemuda dengan gitar kapuk bersilang di bahunya. Dia tidak duduk, sebaliknya menyandarkan dirinya di sisi sebuah kerusi penumpang. Apa pulak halnya kali ini, fikir saya.

Sama seperti budak tadi, pemuda itu memulakan aksinya dengan memberi ucapan selamat ketemu kepada penumpang bas. Kemudian dia pun mula memetik gitarnya dan mengalunkan lagu. Sayu sekali lagunya, kena dengan suaranya yang serak-serak basah. Lagunya kisah malang seorang penganggur dan seniman jalanan.

Selesai dia menyanyi, tiada tepukan kedengaran. Mungkin orang Jakarta sudah 'lali' dengan adegan seperti ini. Namun pemuda itu bergerak dari sebuah kerusi ke sebuah kerusi penumpang dengan 'muka seposen' seolah-olah merayu mereka mencampakkan 'sesen dua' ke dalam topinya. Kebanyakan penumpang tidak mempedulikannya, namun ada juga 'insan baik hati' - jadi dapat juga dia 'sedikit rezeki'.

Demikianlah kota Jakarta 'yang keras' mengajar penghuninya melakukan apa saja demi kesinambungan hidup. Adalah biasa untuk melihat kanak-kanak menjual akhbar (koran) di persimpangan jalan berlampu trafik malah ada yang mengangkat tangan di tepi jalan, bersedia menjadi penumpang bagi mereka yang memandu 'solo' kerana menjadi peraturan di sesetengah kawasan Jakarta kereta 'wajib penuh' sebelum dibenarkan masuk.

Subhanallah,'penderitaan' telah mengajar orang Jakarta (dan Indonesia) 'mencari jalan keluar', apakah 'orang Malaysia' sedia mencontohi mereka apabila 'zaman susah' mulai dirasai rakyat berikutan kenaikan harga bahan bakar?

No comments: