DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Oleh itu, jika mereka bertaubat (daripada kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seagama, dan Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui." (At-Taubah Ayat 11)
PAGI Khamis, 2 Oktober, ketika 'menjenguk' ibu bapa saya di rumah mereka; ibu bertanya saya; "betulkah harga minyak dah turun? Semalam bapak kamu tengok TV, dia dengar berita harga minyak dah turun 20 sen, betulkah?"
Terkejut juga saya dengan pertanyaan ibu. Harga minyak turun? Hampir mustahil. Saya pun berkata: "Apa yang saya tahu harga minyak 20 sen seliter." Ya, pada hari Rabu (1 Oktober) RM2.10 sen tetapi pada hari Khamis (2 Oktober) RM2.30 sen. Naik 20 sen.
"Macam mana bapak boleh kata harga minyak dah turun?" tanya saya.
"Entahlah, mungkin bapak kamu salah dengar kot!" Ya mungkin ayah saya salah dengar. Dia ada sikit 'sound trouble' tetapi tetap suka lihat dan dengar berita TV. Tetapi saya dah lama tak tengok berita TV. Mungkin sudah bertahun-tahun, jadi tak dapatlah saya sahkan apa yang 'didengar' bapa saya.
Kemudian saya ke kedai, mendapatkan akhbar; apabila meneliti cara laporan akhbar mengenai kenaikan harga petrol RON95 dan diesel itu, fahamlah saya mengapa bapa saya tersilap dalam memahami berita terbabit.
Intro laporan itu ditulis: "Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan mengumumkan subsidi petrol RON95 dan diesel masing-masing dikurangkan sebanyak 20 sen seliter ekoran langkah rasionalisasi subsidi harga minyak berkuat kuasa pukul 12.01 tengah malam tadi."
Ya, Allah, berbelit laporan ini...mungkin orang kampung dan veteran macam bapa hanya 'dapat tangkap' percakapan pembaca berita mengenai "...petrol RON95 dan diesel masing-masing dikurangkan sebanyak 20 sen..." jadi mereka ingat harga minyak diturunkan. Jadi saya tak salahkan bapa saya...tetapi siapa yang bersalah?
Bukanlah berita adalah maklumat untuk orang ramai. Merekalah sasaran untuk disampaikan mesej. Kepentingan mereka perlu diutamakan bukan untuk menjaga hati pihak tertentu. Bukankah lebih baik dibuat berita 'direct to the point' - Harga minyak RON95 dan diesel naik 20 sen kepada RM2.30 mulai tengah malam 2 Oktober!
Terlintas 'di otak' saya kenapa harga minyak naik sekarang, tidak selepas Belanjawan 2015 awal Oktober ini. Bukankah 'baik' untuk diumumkan ketika membentangkan belanjawan. Mungkin juga apabila 'naik sekarang' maka pada belanjawan nanti, akan 'berbuih-buihlah' mulut pemimpin mendedahkan program meringankan beban rakyat seperti menaikkan kadar bayaran BR1M dan sebagainya. Akan kelihatan betapa prihatinnya pemimpin terhadap kesusahan rakyat...
Berceloteh mengenai kenaikan harga minyak kali ini mengingatkan saya suasana ketika saya menyertai bantahan kebaikan harga minyak di jalan raya berhampiran KLCC pada awal tahun 2006 dulu di mana peserta perhimpunan diikejar anggota FRU. Mungkin itu kali terakhir saya menyertai demonstrasi bantahan, kalau dianjurkan kali ini mungkin saya tidak larat lagi hadir sebab 'sudah pencen dan dah tua...'
Ketika demonstrasi dulu, pembantah melarikan diri macam anjing kurap dibaling batu. Namun sebelum anggota polis bertindak, hadirian dihiburkan oleh seorang pembantah yang memakai topeng wajah Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak dengan slogan bertulis besar ‘Ubah Gaya Hidup’. Dia ke hulu ke hilir mempamerkan wajah lucu seorang pemimpin negara.
Selain itu kehadiran tokoh pejuang rakyat seperti Mohamad Sabu (sekarang Timbalan Presiden PAS) menambahkan semangat dan menimbulkan rasa seronok di kalangan pembantah apabila beliau yang dijulang, memukul-mukul periuk yang dibawanya.
Ya, kenaikan harga minyak menjejaskan 'periuk nasi rakyat'. Apabila harga minyak naik, ia akan menyebabkan rantaian harga barangan naik. Barangan keperluan dapur termasuk ikan naik mendadak. Sekarang ini ikan 'jaket' (cencaru) dan kembong yang menjadi 'resipi harian rakyat' sudah melambung kepada RM12 sekilogram; jadi apa nak 'dimakan'; terutama oleh keluarga 'yang ramai anak' misalnya lapan atau 10 anak. Bagi mereka sekilogram kembong goreng habis sekali hadap saja...
Untuk menangani kesan kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen seliter ketika itu, TPM Najib mengesyorkan ‘Ubah Gaya Hidup’. Berhubung hal ini, Najib dipetik sebagai berkata: "Kita perlu terima hakikat bahawa kenaikan ini tidak dapat dielakkan. Jika sudah terima hakikat, lebih mudah untuk kita membuat penyesuaian, cara hidup dan berbelanja supaya walaupun harga naik, kita dapat mengekalkan kualiti hidup. Yang penting, kita perlu sedar bahawa dengan langkah penjimatan ini, kerajaan meletakkan asas ekonomi dan kewangan yang lebih kukuh untuk masa depan.”
Ya, ubah gaya hidup…bunyinya sedap tetapi bagi rakyat kebanyakan hakikatnya pahit. Jika orang kaya dan berkuasa mempunyai pelbagai kehendak, orang miskin hanya mahu memenuhi tiga keperluan asas manusia iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Pada zaman moden ini, ada beberapa lagi keperluan asas seperti pendidikan anak-anak. Jadi apa erti ubah gaya hidup dalam memenuhi keperluan asas ini?
Apakah dari segi makanan; jika dulu makan tiga hari sekali, mahu dikurangkan kepada dua kali sehari? Dari segi pakaian pula, jika dulu pakaian hanya berganti pada musim perayaan atau permulaan persekolahan (bagi anak-anak) apakah tak perlu diganti, cukuplah untuk menerima pakaian terpakai pemberian organisasi kebajikan? Dari segi tempat tinggal pula, apakah ubah gaya hidup bermakna teruslah menyewa atau tinggal di kawasan setinggan, jangan cuba-cuba membeli rumah kerana tidak mampu membayar bayaran muka atau bulanan.
Tak apalah, bagi menyahut ‘seruan suci’ itu, rakyat bersedia berkorban untuk mengubah cara hidup. Jika dulu naik kereta buruk, juallah kenderaan itu dan mulalah naik bas. Menggunakan bas awam boleh berjimat, lagi pun TPM sudah berjanji memperbaiki mutu pengangkutan awam kerana katanya, pendapatan daripada pengurangan subsidi minyak dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Amanah bagi penambahbaikan sistem berkenaan. Duitnya tentu banyak sebab Najib ada berkata jika harga minyak tidak dinaikkan, subsidi dan pengecualian cukai adalah sebanyak RM6 bilion.
Masa berlalu dengan begitu pantas. TPM yang begitu pandai mengubah gaya hidup akhirnya menjadi PM. Malangnya mereka yang mengikut syornya mengubah gaya hidup tidak pula bersinar hidupnya. Bagi yang mengubah hidup dengan menjual kereta buruk untuk menaiki bas, nasib sesetengah mereka begitu buruk, pengangkutan awam terutama di luar bandar dan kawasan pedalaman menjadi semakin teruk. Banyak syarikat bas gulung tikar, kini orang yang tidak mempunyai pengangkutan sendiri, derita mereka makin parah.
Perkhidmatan bas pinggir bandar amat teruk sekali. Seorang pengguna memberitahu dia terpaksa menunggu berjam-jam di tepi jalan untuk mendapatkan bas. Suatu hari katanya, dia terpaksa balik saja selepas menunggu dari jam 10.00 pagi tetapi bas tidak datang sehingga jam 1.00 tengah hari. Di sesetengah tempat, perkhidmatan bas awam sudah tidak wujud lagi. Nasiblah rakyat, itulah jangan cepat-cepat hendak ubah gaya hidup dengan menjual kereta atau motosikal buruk itu. Orang yang mengesyorkan ubah gaya hidup makin bergaya hidupnya, awak sendiri jadi papa kedana!
Ya, rakyat makin derita kerana menyahut seruan pemimpin untuk ubah gaya hidup. Tetapi adakah pemimpin sudah ubah gaya hidup mereka? Maksudnya ubah gaya hidup ke arah kehidupan sederhana (wasatiyyah seperti digembar-gemburkan PM sendiri) dan bukan sebaliknya iaitu ubah gaya hidup ke arah kehidupan bermewah-mewahan seperti mengadakan majlis pertunangan anak dengan kos setengah juta ringgit atau sambutan hari jadi RM10,000? Atau ada pemimpin mengadakan majlis kahwin mega yang dihadiri 100,000 tetamu?
Nampaknya, pemimpin 'auta' cakap berdegar-degar. Minta rakyat berkorbanlah untuk negara; mempertahankan negara ke titisan darah terakhirlah, berjimat cermatlah dan ubah gaya hidup. Malangnya, mereka memperagakan gaya hidup mewah seperti mengadakan majlis seperti 'pesta kahwin puteri kayangan' atau macam anak Raja Donan - 40 hari 40 malam.
Mereka terus boros berbelanja sedangkan rakyat disuruh 'jimat, jimat, jimat' dan pada masa yang sama surat khabar dan TV menyiarkan tuduhan mereka kononnya pemimpin pembangkang sebagai 'auta'.
Ya siapa yang 'kaki auta' kerana apabila dekat dengan pilihan raya ini ramai pemimpin yang 'auta' rakyat - mereka bagi duit dan bantuan itu dan ini tetapi berkata ia tidak ada kena mengena dengan pilihan raya.
Ada pula yang 'gian' nak bertanding atau yang sudah menjadi calon, ketika kempen pilihan raya tiba-tiba pandai menoreh getah, menggoreng mi, menjual ikan dan berkain pelikat sambil menghirup kopi. Tolonglah, jangan nak auta rakyat. Cakaplah serupa bikin, jangan cakap tak serupa bikin!
No comments:
Post a Comment