Tuesday, October 21, 2014

Hebahan ekspo buku Islam antarabangsa Malaysia


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan 

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 



Nurhaziemah Muhd Zahari meminta saya menghebahkan ekspo buku Islam antarabangsa ini.

Perbadanan Putrajaya dengan kerjasama Sinergi Ilmu Resources Sdn Bhd dan JAKIM sebagai penaung buat julung-julung kalinya bakal menganjurkan Ekspo Buku Islam Antarabangsa Malaysia bersempena Festival Kebudayaan Dan Kesenian Islam Antarabangsa (PIIACUF) pada 30 Oktober hingga 9 November 2014 bertempat di Dewan Cempaka Sari, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3, Putrajaya. 

Ekspo Buku Islam Antarabangsa ini akan berlangsung di sekitar Dewan Cempaka Sari, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3, Putrajaya dengan kekuatan 110 buah gerai pameran dengan penyertaan lebih 60 penerbit dari dalam dan luar negara. 

Untuk makluman, Ekspo ini akan dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 9.00 malam setiap hari dan masuk adalah percuma. Antara penerbit luar negara yang akan menyertai Ekspo ini adalah Negara Brunei Darusalam, Indonesia, Singapura, United Kingdom dan Arab Saudi. 

Antara penerbit tempatan terkenal yang akan menyertai Ekspo ini adalah Karangkraf, Galeri Ilmu, Must Read, PTS Publication, Telaga Biru, Ana Muslim dan ramai lagi.

Antara kelainan yang diusahakan oleh jawatankuasa penganjur bagi Ekspo Buku Islam Antarabangsa Malaysia selain pameran buku-buku terbaru di pasaran serta jualan buku dengan tawaran harga yang menarik, pihak penganjur akan menganjurkan seminar, konvensyen keibubapaan dan Konsert Pray 4 yang disertai oleh ikon tempatan dan antarabangsa. 

Penganjuran aktiviti berkenaan akan dilaksanakan di Auditorium Cempaka Sari yang dapat memuatkan 700 peserta. Selain itu, pelbagai aktiviti dan program menarik turut disediakan untuk para pengunjung Ekspo Buku Islam Antarabangsa Malaysia seperti Pameran Al-Quran, diskusi agama, pelancaran buku terbaru oleh penulis dalam dan luar negara, sesi bertemu ikon selebriti terkenal, dan pelbagai pertandingan. 


Matlamat utama Ekspo Buku Islam Antarabangsa Malaysia ini adalah sebagai medium penyebaran ilmu-ilmu yang bermanfaat kepada seluruh masyarakat Islam di Malaysia dan antarabangsa dan serta menguntungkan semua pihak. Selain itu, hasrat murni jawatankuasa penganjur juga adalah dalam membantu pihak kerajaan memperkasakan budaya membaca di kalangan masyarakat Malaysia selain mewujudkan rangkaian dan peluang perniagaan dalam industri penerbitan Malaysia dengan lebih meluas di peringkat antarabangsa. 

Bertepatan dengan slogan Ekspo Buku Islam Antarabangsa Malaysia iaitu “Syukuri Persamaan, Raikan Perbezaan dan Kukuhkan Persaudaraan” ianya dapat dijadikan simbol perpaduan ummah dan mengeratkan persaudaraan Islam tanpa mengira kaum dan sempadan negara. Sedikit sebanyak, platform ini mampu membantu meningkatkan pendapatan negara melaui pelancongan dan penyertaan pempamer peringkat antarabangsa.

Justeru, Jawatankuasa Penganjur mengharapkan sokongan padu daripada semua pihak yang terlibat serta rakan media untuk turut sama membantu mempromosi dan menghebahkan kepada umum mengenai Ekspo Buku Islam Antarabangsa Malaysia seterusnya menjayakan lagi program berbentuk ilmiah sebegini. Maklumat lanjut dan terkini tentang Ekspo Buku Islam Antarabangsa Malaysia boleh di dapati di laman sesawang rasmi Ekspo Buku Islam  diwww.ekspobukuislam.com atau hubungi 019-3258285 (En. Jaini) dan 017-2252904 (Cik Amy). 

No comments: