Monday, March 10, 2014
Pemimpin guna taktik lempar tulang kepada anjing...
***************
DENGAN nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
****************
Renungan
******************
"Wahai sekalian orang-orang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah 2:153)
*********************
ADA satu ungkapan mahsyur dalam dunia kewartawanan yang kerap dijadikan panduan dalam penulisan terutamanya di kalangan wartawan baru - kalau anjing gigit posmen itu bukan berita; yang beritanya adalah posmen gigit anjing!
*************************
Perkara 'berkaitan anjing ini' saya pelajari puluhan tahun lalu dalam kelas kewartawanan asas, tetapi kini ketika 'cuba-cuba belajar mengkoreksi diri' melalui kelas pengajian di masjid dan surau; sungguh terkesan di hati saya apabila pada suatu malam tok guru mengingatkan jemaah dengan berkata: "Kalau anjing gigit kita...kita gigit anjing balik. Macam posmen gigit anjing. Ini kerja bodoh. Sebaliknya berilah anjing makan tulang, lekalah dia, maka selamatlah kita!"
***************************
Teringat pula saya satu lagi panduan ulama: "Kalau anjing mengancam kita, salah satu jalan penyelesaian ialah panggillah tuan anjing itu, tahulah dia untuk 'mententeramkan' anjingnya.
*************************
Ulama mengaitkan perumpamaan ini tentang bagaimana kita mahu menyelamatkan diri daripada godaan dan gangguan iblis serta syaitan. Makhluk ini adalah hamba Allah SWT jua, maka kita memohonlah kepada Allah SWT untuk menyelamatkan diri kita daripada gangguan hamba-Nya yang jahat itu.
***************************
Berdoalah kita kepada Allah SWT seperti membaca tauz (A'uzubillah). Kita pun memohon pada Allah agar melindungi kita daripada segala gangguan syaitan ketika menghadapi maut. "Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan nafsuku dan daripada kejahatan sekalian makhluk yang melata di atas muka bumi yang hanya Engkau berkuasa ke atasnya."
**************************
Apa dimaksudkan Tok Guru dengan 'kebodohan menggigit anjing yang menggigit kita'? Anjing diibaratkan orang berperangai jahat seperti gemar membuat fitnah dan mengumpat. Kalau orang membuat fitnah ke atas diri kita, apa yang patut kita buat? Apakah dengan memfitnahnya balik? Kalau begitu, kita pun 'sekelas' pembuat fitnah tadi, kita pun macam anjing jua...
**********************
Tok Guru berkata, ulama besar jika tahu ada orang memfitnah atau mengumpatnya akan mengucapkan terima kasih kepada sang pemfitnah malah memberinya hadiah. Ini kerana tukang fitnah telah memberinya 'pahala percuma' di akhirat nanti. Malah jika pahalanya sudah habis, dosa si kena fitnah akan dipikulkan ke pundaknya.
*************************
Senang cerita, jika anjing mahu gigit kita, lemparkan saja tulang, anjing itu akan meninggalkan kita sebaliknya mengejar tulang tadi. Masalahnya, kata tok guru, sebahagian besar daripada kita bukan melempar tulang tadi sebaliknya menyimpan tulang itu pada tubuh kita. Yalah, kita menyimpan tulang tadi - antara lain sifat jahat seperti riyak, takabur, bakhil, kedekut, dan syok sendiri kononnya diri baik. Apabila tulang sudah 'melekat' pada diri kita, maka 'anjing' (syaitan) akan sentiasa mengejar kita. Malah kita menjadi tumpuan syaitan dan segala bentuk kejahatan.
*****************************
Berceloteh tentang anjing, teringat saya akan sahabat saya si Heng, tauke bengkel motosikal. Dia membela seekor anjing yang besar bagi menjaga bengkelnya terutama pada sebelah malam kerana dia tidak tinggal di situ.
***********************
Anjing itu dirantainya. Saya amat-amati, salah satu sifat anjing ia amat setia pada tuannya. Anjing itu saya perhatikan rela apa saja diperbuat tuannya. Dirantai pun ia tak bantah, diberi tulang ia makan, selain itu ia duduk-duduk saja memerhatikan pelanggan di kedai itu.
***********************
Anjing setia, rakyat pun ramai yang setia kepada parti pemerintah. Tidak lama dulu parti pemerintah sebaik dapat kuasa melalui pilihan raya terus menaikkan harga petrol, gula, tarif elektrik (mereka memain-mainkan istilah seperti menghapuskan subsidi dan melakukan penyelarasan harga) tetapi menangguhkan kenaikan kadar tol selepas 'mengesan' riak-riak kemarahan di kalangan rakyat.
***********************
Pilihan raya berikutnya lambat lagi, jadi buat sementara untuk meredakan rakyat yang mulai marah, maka pemimpin 'yang bijaksana' mula mencampakkan tulang; 'lekalah kamu makan tulang itu'. Apabila dapat 'tulang', ramai rakyat lupa diri dengan memuji-muji melangit pemimpin yang pastinya melapah bahagian daging terbaik untuk mereka sendiri.
****************************
Kini musim kemarau, ramai rakyat seperti penoreh getah, pesawah dan pekebun sayur menghadapi keperitan hidup maka jika pemimpin tidak amanah tetapi membuat sesuatu kerana ada udang di sebalik batu, bantuan mereka adalah ibarat melempar tulang kepada anjing.
**************************
Hendaknya, pada pilihan raya kecil Kajang dan Balingian nanti janganlah pemimpin bersikap seperti melempar tulang kepada anjing kerana semata-mata untuk menang pilihan raya.
***************************
Ya, pemimpin sudah sekian lama menggunakan taktik lempar tulang kepada anjing; rakyat bila lagi hendak insaf mereka sudah dijadikan anjing oleh pemimpin!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment