Wednesday, March 26, 2014
Janganlah lupa kesengsaraan rakyat marhaen
***********************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
***********************
Renungan
"Dan tiadalah kami mengutuskan engkau wahai Muhammad s.a.w. melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam." (Al-Anbiya': 107)
**********************
Bersyukur ke hadrat Illahi kita dipanjangkan usia maka dapatlah kita memuzakahkan isu semasa. Sekalipun negara digegarkan pelbagai peristiwa besar seperti kehilangan pesawat MH370, kita akan terus mendedah serta menarik perhatian akan kisah penderitaan rakyat marhaen seperti penoreh getah dan petani ketika musim kemarau sedangkan pemimpin kerap menguar-uarkan kita dalam peringkat memasuki kategori negara berpendapatan tinggi.
**********************************
Petani sejak dulu lagi kebanyakannya hidup derita tetapi kini memasuki tahap mencemaskan apabila harga barangan penghasilan mereka seperti getah menjunam ke paras paling rendah iaitu kurang RM3 sekilogram. Kita amat simpati kepada nasib golongan ini yang khabarnya terpaksa mencatu makanan. Jika penduduk sesetengah kawasan seperti Selangor dan Negeri Sembilan terpaksa menghadapi catuan bekalan air bersih, penoreh getah terpaksa berjimat cermat bagi membeli beras yang harganya boleh mencapai sehingga RM30 bagi satu paket 10 kilogram.
************************************
Walaupun kita sedar kerajaan menguar-uarkan ada beras 'untuk orang miskin' yang berharga RM18 bagi satu paket 10 kilogram, beras itu terhad dan hanya dipasarkan di tempat tertentu sedangkan keluarga petani dan golongan miskin lain berada di serata pelosok negara termasuk nun jauh di pedalaman.
**********************************
Di kawasan miskin ini, beras dibeli dengan kuantiti perkilo dan amat-amat menyedihkan ada keluarga terpaksa membeli dengan kadar setengah kilogram. Demikian juga ada yang membeli barangan keperluan lain seperti gula, minyak masak dan tepung dalam kuantiti kecil mengikut kemampuan mereka seperti 50 sen atau RM1. Kita menjadi semakin terharu apabila mendengar ada keluarga yang terpaksa membeli satu atau dua lingkaran ubat nyamuk (bukan sekotak) bagi menghadapi serangan nyamuk yang mengganas sekarang ini.
**************************************
Tidakkah kita menjadi terharu jika ada keluarga yang terpaksa meminjam beras daripada rumah jiran, malah ada dapur mereka yang tidak berasap; jika berasap pun mereka menanak beras yang dicampur ubi kayu yang diperolehi dari kebun untuk dipadankan dengan sayur kangkung atau pucuk paku goreng yang mereka pungut di longkang atau tepi belukar.
*****************************************
Kita teramat bimbang negara kita sedang bergerak menjadi negara kaya berpendapatan tinggi dengan sejumlah rakyat marhaennya mengalami derita yang tiada kesudahan. Pengalaman mengembara ke negara lain termasuk di Eropah mendedahkan kita bahawa sesetengah negara ini amat prihatin akan keperluan asas rakyat masing-masing. Tidakkah rakyat kita yang telah ke Tanah Suci Makkah dan Madinah bagi mengerjakan haji menyedari bahawa harga makanan asas di sana adalah teramat murah malah ada yang percuma. Misalnya roti, kalau kita mahu tidak payah dibeli. Ia percuma, sedangkan yang dikenakan bayaran adalah kuah dan potongan daging dalamnya.
******************************
Di United Kingdom harga barangan keperluan asas seperti tepung dan susu adalah tersangat murah. Demikian juga hasil tenusu dan buah-buahan. Pendek kata mereka yang kurang berkemampuan tetapi rajin berusaha untuk memasak sendiri, mereka tidak akan terbeban sebaliknya yang malas akan menanggung risiko kerana harga makanan di restoran adalah tersangat tinggi. Penduduk kurang berkemampuan juga diberikan 'dole' sementara kemudahan pendidikan dan rawatan perubatan adalah 'free of charge'. Inilah negara berkebajikan yang mereka uar-uarkan dan lebih menakjubkan mereka melaksanakannya!
Bagi orang miskin, keperluan mereka mudah saja iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal.
*************************************
Malangnya perkara asas ini pun gagal dipenuhi oleh kerajaan yang mendakwa mendahulukan rakyat. Jika beras sekampit 10 kilogram yang berharga RM25 susah untuk disediakan, bagaimana keperluan asas lain termasuk bahan api. Harga gas setong sudah RM28.00. Kemudian perlu ada cili, minyak masak, asam garam, kopi dan gula dan ikan. Harga ikan cencaru dan kembong (lauk biasa rakyat miskin) sudah meningkat sehingga RM10.00 sekilogram.
******************************
Itu soal makanan, bagaimana keperluan asas lain seperti tempat tinggal (rumah)? Bagaimana belanja anak ke sekolah? Atau ke universiti? Oohh, bagi keluarga miskin seperti penoreh getah semuanya nampak kabur - seolah-olah 'tiada cahaya di hujung terowong'!
*******************************
Berdasarkan senario yang kita lihat amat memedihkan di kawasan kampung dan pedalaman ini, kita amat bimbang, pemimpin kita berlagak bagaikan ayam sabung, berkokok menguar-uarkan kehebatan negara di seantero dunia tetapi hakikatnya ekor bergelumang tahi - sesetengah rakyat sudah setengah mati bagi menghadapi derita berpanjangan ini sedangkan pemimpin tetap angkuh; dulu, kini namun sudah pasti tidak selama-lamanya!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment