Monday, March 24, 2014
Hari ini hujan, esok perangai kita kembali ke asal...
*************************
DENGAN Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
*************************
Renungan
***********************
Dirawikan daripada Ali r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: "Jika manusia telah membenci orang-orang fakir dan berseronok dengan dunia serta memburunya untuk mengumpulkan wang, maka Allah akan memanah mereka dengan empat hal; masa yang di mana krisis ekonomi, penguasa zalim, pemegang hukum berkhianat dan tipu daya daripada para musuh."
************************
SYUKUR, alhamdulillah petang Sabtu lalu (15 Mac) hujan lebat di kampung saya. Demikianlah saya diberitahu orang rumah saya. Ketika itu saya tidak berada di Melaka, sebaliknya sedang menunggang motosikal buruk saya di Beranang, Selangor dalam perjalanan balik dari Kuala Lumpur/Kajang ke Melaka.
**********************
Di laluan jalan lama Kajang-Seremban itu hujan tidak lebat, hanya rintik-rintik. Namun saya berhenti juga, berehat sebentar di sebuah warung untuk 'pekena' cendol jagung yang dingin dan manis.
****************************
Ya Allah, terima kasih di atas hujan itu. Di kampung saya, ini hujan lebat pertama dalam masa lebih dua bulan. Bukan manusia saja menanggung derita tak hujan, tumbuh-tumbuhan seperti rumput dan lalang, longlai, layu tak bermaya. Demikian juga binatang, suatu malam saya terperasan cacing-cacing 'menjerit nyaring' bersahut-sahutan, mungkin 'mereka' kehausan agaknya.
**************************
Pada kuliah subuh Ahad (sehari selepas hujan), ustaz mengingatkan, bukan manusia saja berdoa untuk didatangkan hujan. Binatang pun berdoa, demikian juga dengan tumbuh-tumbuhan. Jadi doa siapa dikabulkan Allah SWT kita tidak tahu, jadi manusia janganlah perasan. Namun kekalkan berdoa dan solat, bukan saja ketika ditimpa musibah tetapi sepanjang masa dalam kita menunaikan perintah Allah - melakukan apa disuruh-Nya sebaliknya meninggalkan apa dilarang.
******************************
Namun, pada zahirnya kebanyakan manusia berteleku, menghadapkan diri kepada Allah ketika mereka ditimpa musibah. Misalnya, solat hajat memohon keselamatan pesawat MH370 yang dianjurkan oleh sebuah sekolah, murid-muridnya memenuhi satu kawasan lapang sekolah. Ya, murid-murid dipinta untuk solat hajat, tetapi bagaimana solat lima waktu? Tidakkah dulu kita digemparkan dengan satu hasil kajian yang menunjukkan hanya 20 peratus murid-murid solat fardu lima wahtu sehari semalam?
******************************
Ketika bersolat hajat, kita terlebih dahulu dinasihatkan untuk meminta keampunan daripada Allah SWT (bertaubat) kerana kita melakukan kezaliman terhadap diri sendiri dan pihak lain. Untuk bertaubat kepada-Nya kita merintih kepada-Nya, berazam tidak mengulangi kesalahan; tetapi kezaliman kepada pihak lain bagaimana? Apakah kita sudah meminta ampun kepada orang dizalimi misalnya orang tak dapat dibuktikan bersalah mengikut hukum hakam Islam akhirnya terpaksa meringkuk dalam penjara?
******************************
Seorang ustaz mengingatkan betapa besarnya akibatnya jika kita berani bersumpah menggunakan nama Allah seperti Wallahi kerana Arasy Allah SWT akan bergegar kerananya. Katanya, jika ada orang menggunakan atau menyebut nama kita dalam dalam satu-satu kes, kita menjadi tak tentu arah, demikianlah Allah SWT akan memandang berat orang yang berani bersumpah atas nama-Nya apatah lagi jika pengakuan itu tidak benar. Murka Allah SWT tersangat dahsyat, tidakkah kita memikirkannya?
**********************
Demikian juga kezaliman lain seperti menipu dalam pilihan raya, memperkudakan harta awam termasuk mengeksploitasi media massa untuk kepentingan pihak sendiri; semua ini perlu diminta keampunan daripada pihak teraniaya. Apa, sudahkah kita melakukannya?
******************************
Pada khutbah Jumaat, 7 Mac (sehari sebelum kehilangan pesawat MH370), ketika solat Jumaat di masjid kampung saya, jelas kedengaran khatib memberi pengingatan kepada jemaah mengenai bahaya syirik dan khurafat termasuk tidak mendatangi bomoh kerana boleh terkeluar daripada agama kerananya.
*****************************
Teks khutbah ini dibaca di hampir semua masjid seluruh negeri kerana ia disediakan oleh pihak berkuasa agama; ya bagus untuk mengingatkan orang Islam agar menjauhkan kesyirikan yang nyata ini, tetapi alangkah memeranjatkan apabila sejumlah BOMOH didatangkan khas dan mendapat liputan istimewa media massa apabila mereka muncul di KLIA! Jadi peringatan untuk 'tidak berbomoh' itu sebenarnya ditujukan kepada SIAPA?
***************************
Di kampung saya hujan hari Sabtu tetapi pada hari Ahad saya perhatikan ratusan pokok-pokok kecil di pembahagi jalan Lebuh AMJ dibongkar untuk dibuang. Sepanjang dua bulan kemarau, saya tidak nampak pihak berkuasa menyiram pokok-pokok ini. Kenapa begitu, mungkinkah mereka sengaja membiarkan pokok-pokok ini supaya mati, supaya tiba masa yang sesuai pokok-pokok lama dibuang untuk digantikan dengan yang baru.
***************************
Jika ini berlaku, adalah pihak yang mendapat kontrak membekal dan menanam pokok-pokok baru. Ya, hal ini bagi saya tersangat pelik, pokok-pokok itu ditanam dalam masa tak sampai setahun tetapi sudah dikorek balik untuk dibuang. Tak sayangkah mereka dengan pokok-pokok itu yang ongkos membiayainya adalah daripada kantung rakyat?
******************************
Subhanallah, sungguh takjub saya saksikan perkembangan ini, mungkin betullah dakwaan seorang kawan saya, seorang kontraktor bahawa ada orang yang tidak pernah pegang cangkul dan tak tahu apa-apa mengenai tanam-tanaman, diberi tender untuk membekal dan menanam pokok di tepi dan di pembahagi jalan! Ya sungguh pelik, hari ini hujan, esok perangai kita kembali kepada yang asal!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment