Friday, August 2, 2013

Ramadan di luar 'tembok istana'...

****************** Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ******************* Renungan ********************* "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32 *************************** SEKALIPUN menjalani puasa Ramadan, saya tetap ke kebun. Menunaikan rutin biasa - mencangkul dan menanam pepohon. Tetapi ada perbezaan ketara dari segi kemampuan fizikal ketika berpuasa dan tidak berpuasa. ********************* Pada Ramadan ini selepas beberapa kali menghayun cangkul, saya tidak dapat bertahan lantas bergegas ke tempat teduh untuk berehat. ************************* Sudah tentu diri ini tidak dapat dibandingkan sekelumit pun dengan baginda Rasul s.a.w. dan sahabat-sahabatnya yang pada bulan Ramadan semangat juang mereka meningkat disertai kemantapan, kegigihan dan kesabaran amat tinggi sehingga mencapai kejayaan gemilang pada ujian Ramadan seperti di medan Badar atau Perang Khandaq (Ahzab). *************************** Berdasarkan ini, tahulah betapa lemahnya iman sendiri. Cubaan Ramadan sebahagian besar daripada kita termasuk diri penulis tidaklah seberat mana - kita hanya tidak makan dan minum di siang hari pada suasana kondusif - aman, damai dan mententeramkan - dalam rumah nyaman, pejabat berhawa dingin malah kenderaan juga berhawa dingin. Kita berpuasa dalam keadaan kita tahu ada makanan sedap dan banyak menunggu pada waktu iftar (berbuka). Untuk menunaikan ibadat khusus misalnya, solat; masjid-masjid kita cukup selesa dengan kipas dan 'air condition'-nya. **************************** Teringat saya akan subjek Tawarikh Darjah Empat yang saya pelajari pada tahun 1972 dulu, ada bab mengenai pembawa agama-agama besar dunia, salah seorang tokohnya Gautama Buddha. Beliau seorang anak raja yang hidupnya penuh gembira dan mewah dalam istana bertembok tinggi. Dikhabarkan tiada penderitaan di dalam tembok istana; apabila dewasa Gautama teringin sangat melihat kehidupan di luar tembok istana - di sanalah beliau menyaksikan penderitaan. Suasana itu menginsafkan dirinya lantas bermulalah pencarian kerohanian beliau... **************************** Ya, sebahagian besar daripada kita berpuasa di dalam tembok keselesaan 'istana'; kita tidak mengerti derita di luar sana. Seperti yang nukilkan pada awal celoteh ini, saya tidak dapat bertahan lama menghayun cangkul dalam terik mentari membakar diri. Selepas lima hayunan saja saja sudah 'cabut'. Saya boleh lakukan ini sebab 'menghayun cangkul' itu bukan pekerjaan atau punca rezeki utama saya. Saya boleh kembali ke rumah untuk terus menikmati suasana nyaman dengan fikiran tidak terlalu gusar memikirkan soal wang bagi membiayai keluarga kerana saya ada sumber lain. ***************************** Tetapi bagaimana nasib insan yang hidupnya bergantung kepada pekerjaan membanting tulang seperti petani, nelayan, buruh ladang, pekerja pembinaan dan tukang cuci? Pekerjaan mereka adalah mata pencarian; mereka tidak boleh meninggalkan tugas mereka sesuka hati seperti saya. Malah gaji 'ciput' atau bayaran harian yang diterima adalah penentu apa yang dapat dihidangkan di meja berbuka puasa dan pada hari lebaran nanti! ************************** Pada Ramadan mulia ini, saya cuba mengamat-amati kehidupan sebahagian mereka di luar 'tembok istana'. Suatu hari ketika memandu pada jam 12.00 tengah hari yang cukup terik saya lihat sekumpulan buruh terbongkok-bongkok merumputi rimbunan pokok bunga di pembahagi jalan raya. Jam empat petang mereka masih di sana. Jam lima baru mereka beredar. Saya cuba bayangkan perasaan dan keadaan mereka - jika saya tidak tahan tiga minit saja di bawah sinar matahari, bagaimana mereka? ******************************** Seorang kontraktor kecil-kecilan (tauke pembinaan) memberitahu: "Sebelas bulan aku kerja macam nak ......, tahun ini pada bulan Ramadan aku kerja juga. Taubat aku, lain kali aku tak nak ambil projek pada bulan puasa." Dia yang turut sama pekerjanya membanting tulang menyiapkan rumah orang, mengakui adalah berat untuk berpuasa apabila melakukan kerja-kerja lasak sedemikian. Namun, dia bolehlah kerap ambil 'time-off" (berehat) daripada kerja sebab dia bos, tetapi bagaimana pekerjanya? *********************************** Demikianlah, ada pekerja tugasan berat tak berpuasa. Suatu hari ketika melepasi sebuah van syarikat terbabit dengan projek pemotongan rumput di tepi jalan, saya perhatikan sejumlah pekerja santai menikmati makan tengah hari. Hati marah, melihatkan mereka 'relaks' saja makan di tempat laluan orang ramai, namun kemudian hati jatuh kasihan; di dunia mereka sudah hidup susah, di akhirat nanti bagaimana? Kalau saya dalam kedudukan mereka yang berhempas pulas dalam terik mentari dari pagi ke petang, adakah saya 'confirm' boleh berpuasa? **************************** Seorang tukang cuci kontrak memberitahu saya "Ramadan atau tak Ramadan" tugasannya tetap sama. Kerja berat, tetapi perolehan kecil RM22 sehari. "Tak kerja tak ada gaji. Jika sakit dan tak datang kerja, gaji dipotong." Kalau RM22 sehari, kalau dia kerja 20 hari sebulan berapa dia dapat? Lebih kurang RM400 sebulan! Bagi sesetengah kita jumlah ini hanya cukup untuk diberi kepada kanak-kanak yang datang ke rumah semasa hari raya, tetapi dia menggunakan wang itu menanggung keluarga selama sebulan termasuk menyediakan persiapan hari raya. Apa yang dapat disiapkan? ************************ Ramadan ini membuatkan saya merenung diri. Mungkinkah "aku berpuasa sebab aku senang berpuasa?" Apa kata kita berada dalam golongan susah disebutkan, apakah kita akan berpuasa? Demikianlah persoalan lain seperti "aku tidak berbuat 'jahat' sebab aku 'tiada kuasa' melakukannya, misalnya aku tak rasuah sebab aku tak ada kuasa, jika ada kuasa aku pun sama jadi perasuah!" ***************************** Jadi janganlah kita perasan diri kita ini baik sangat. Hakikatnya Allah SWT sayangkan kita, sebab itulah Dia tak bagi sesetengah daripada apa kita idamkan seperti kekayaan, kuasa, pangkat, wang ringgit dan sebagainya. Mungkin itu antara sebab Allah SWT tidak takdirkan kita dilahirkan dalam istana sebab Dia tahu kita tak mampu mengawal diri sebagai bangsawan, orang kaya, berkuasa dan berpangkat. *********************** Ya, hidup di luar tembok istana itulah yang paling padan untuk diri kita, jadi bersyukurlah dengan apa yang kita ada, usah digusarkan apa yang kita tiada. Ini kerana Allah tahu apa yang terbaik bagi diri kita!

No comments: