Saturday, August 17, 2013
'Membasuh dosa' selepas raya...
******************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
******************
Renungan
"Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang mati dan Kami menuliskan apa yang telah mereka kerjakan dan atsar (bekas-bekas) yang mereka tinggalkan. Dan segala sesuatu Kami kumpulkan dalam kitab induk yang nyata. (Lauhul Mahfuzh)." - Surah Yasin, ayat 12)
*******************
AIDILFITRI ini menemukan saya dengan seorang sahabat lama; rakan di IPT puluhan tahun lalu. Dia seorang usahawan, bidangnya termasuk membekalkan peralatan dan kelengkapan kepada jabatan dan agensi pihak pemerintah.
********************
Beliau mendedahkan akan dunia bisnes dan politik yang dakwanya banyak penyewelengannya termasuk rasuah. Bagi menghadapinya, kata beliau, seseorang itu ada beberapa pilihan - pertama lakukan 'kejahatan sejahat-jahat' tetapi jangan sampai 'tertangkap' dan yang kedua, tinggalkan terus bidang berkenaan.
*************************
Katanya, bagi rakan-rakan bisnes dan politik yang memilih untuk berbuat 'sejahat-jahatnya' termasuk tidak menunaikan ibadat seperti solat sama sekali (ada yang melakukan solat secara berpura-pura demi kepentingan politik dan bisnes) dan zakat, beliau menyaksikan mereka dilimpahi nikmat demi nikmat seperti kekayaan melimpah luah, kemasyhuran, pangkat, gelaran dan pelbagai kelebihan duniawi. Yalah, dia macam Firaun yang dikatakan tidak pernah sakit; menyebabkan dia mengaku dirinya tuhan.
*************************
Namun bagi mereka yang hatinya berbelah-bahagi (50-50) seperti takut-takut mengamalkan rasuah dan maksiat tetapi ada kala melakukannya kerana 'terliur' dan 'lalai' dengan kenikmatan dunia tetapi tidak meninggalkan solat secara terus; mereka akan diuji dengan kemewahan yang diperolehi.
****************************
Bagi golongan kedua; ada saja yang tidak kena - ahli keluarga kemalangan dan matilah, isteri sakit teruklah, anak berperangai jahatlah, rumah dimasuki pencurilah, diri sendiri kena rompaklah; pendeknya banyak masa dan duit dalam poket dihabiskan untuk menyelesaian masalah.
******************************
Sahabat saya itu berpendapat; golongan pertama sudah dilupakan oleh Yang Maha Berkuasa - apa saja mereka kehendaki diberi; mereka mendapat bahagian mereka di dunia ini tetapi tidak di akhirat nanti. Mereka bolehlah 'beraya sakan' di dunia, tetapi ingatlah kesenangan hidup di dunia hanya sebentar cuma! Mereka macam Firaun, Hamman dan Qarun.
*******************************
Kepada mereka yang masih solat yang di dalamnya ada diucapkan "Ya Allah, tunjukki kami jalan yang lurus", Yang Maha Berkuasa menguji mereka dengan mendatangkan pelbagai masalah agar mereka dapat berfikir - "Ya Allah tak betul jalan yang aku ikuti selama ini, aku mahu kembali ke jalan-Mu yang lurus!"
*********************************
Kata sahabat saya itu, ramai orang bisnes dan politik yang dikenalinya sudah 'kembali ke jalan yang lurus'. Pada konteks, hari raya ini, ungkapan kerap digunakan adalah 'kembali kepada fitrah'. Namun katanya, bagi orang bisnes dan politik tidaklah semudah orang awam untuk mengucapkan '0-0' ketika bersalaman antara satu sama lain pada Aidilfitri. Ucapan '0-0' bermaksud kedua-dua pihak kembali kepada fitrah, saling maaf memaafkan antara satu sama lain.
********************************
Dosa kepada Allah; Yang Maha Berkuasa Yang Maha Pemurah dan Penyayang sedia mengampunkannya tetapi dosa sesama manusia antara syarat pengampunan dan taubat seseorang itu perlu mengembalikan hak dan harta orang yang diambilnya. Inilah, yang beratnya kata sahabat saya itu.
*******************************
Bagi orang bisnes dan politik, jika dulu dalam setahun dia rasuah RM100,000, dia perlu kembalikan wang itu kepada pemiliknya. Itu dalam tempoh setahun, kalau 10 tahun, wang rasuah itu adalah RM1 juta; kalau 20 tahun; RM2 juta. Persoalan ke mana wang RM2 juta (jika dapat disediakan) itu hendak dikembalikan? Itulah kalau rasuah dan penyelewengan RM2 juta; kalau RM20 juta, RM200 juta atau RM2 bilion?
*********************************
Kata sahabat saya itu; dia mengenali seorang lagi sahabat bisnes yang 'sudah kembali ke fitrah'; dia sudah meninggalkan 'dunia lamanya' - dia dan keluarganya kini duduk dalam sebuah teratak buruk sebaliknya sebahagian besar harta-hartanya diinfakkan untuk membuat sekolah tahfiz yang kos pengurusannya dia tanggung sendiri. Dengar khabar lebih RM10,000 sebulan.
**********************************
Selain itu, dia membuat pelbagai projek dan program kebajikan lagi semata-mata untuk 'membasuh dosa'nya. Demikianlah, apabila cahaya keimanan sudah menghampiri seseorang termasuk menyedari dosa lampau yang terlalu banyak, seseorang sanggup berkorban apa saja demi menggapai pengampunan Illahi. Tidaklah dia menguar-uarkan 'taubat' dengan bermodalkan 'air liur' saja atau kejap-kejap ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah!
*****************************
Oohh, nampaknya pandai sekali penulis ini (LanH) menceloteh mengenai kisah orang lain. Penulis mengakui banyak dosa kepada ibu bapa, anak isteri, kaum kerabat, rakan setugas, sahabat handai dan juga pembaca sekalian; jadi pada Syawal mulia ini, penulis menyusun jari memohon ampun bagi 'membasuh segala dosa' itu. Kita '0-0' selepas ini, ya!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment