Monday, July 29, 2013
Ramadan bukan bulan 'pesta-pestaan'...
*********************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
********************
Renungan
"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat…" (Surah al-Ahzab, ayat 21)
*******************************
Bersyuku ke hadrat Illahi, kita sudah memasuki fasa ketiga Ramadan di mana Allah SWT menjanjikan pembebasan api neraka kepada hamba-Nya.
*******************************
Namun pada ketika Ramadan yang sewajarnya menjadi pesta beribadah kepada-Nya, kini ia sudah menjadi bulan memenuhi hawa nafsu termasuklah pesta makan-makan dan membeli-belah.
****************************
Menjelang Ramadan, pelbagai kisah pelik kita lihat dan dengar. Antaranya ribuan peniaga terutama yang menjual makanan berebutkan lot bazar atau pasar Ramadan.
****************************
Kemudian stesen televisyen sibuk menguar-uarkan rancangan khas sempena Ramadan termasuklah program memasaknya, seperti Ketuk-ketuk Ramadan. Hotel pula sibuk dengan buffet Ramadannya. Masjid dan surau pula sibuk dengan jaudah berbuka puasa dan morehnya. Pendeknya semuanya berkaitan makanan sedangkan antara maksud puasa itu menahan diri daripada makan dan minum.
************************
Dalam masyarakat kita, belum pun umat Islam berpuasa, para peniaga sudah pun mengeluar dan mengedarkan risalah dan katalog tawaran Ramadan dan Aidilfitrinya. Katalog tawaran raya sebuah rangkaian kedai perabot terkenal yang dihantar ke rumah-rumah, bukannya nipis - gulungan kertasnya membentuk sebuah 'baton lumba lari berganti-ganti'. Selain katalog 'baton' ini, peti surat juga dipenuhi dengan pelbagai risalah tawaran istimewa. Daripada barangan elektrik sehingga kain ela, semuanya ada ditawarkan.
***********************
Pelbagai hadiah istimewa disediakan, siap dengan slogannya, 'siapa cepat dia dapat'. Ramai suri rumah, malah 'bapa rumah', terpesona dengan tawaran istimewa itu. Mana tidaknya, misalnya, syarikat rangkaian perabot terkenal itu tidak memerlukan seseorang pembeli membayar cengkeram untuk barangannya. Mula saja puasa, pusat membeli-belah pun berlumba-lumba menyiapkan dekrorasi dalamannya dengan 'setting' Hari Raya; ada yang menyediakan pentas khas berbentuk pelita dengan slogan 'Cahaya Lebaran'.
******************************
Selain pesta membeli-belah sebelum raya, di Malaysia seolah-olah sudah menjadi 'trend' untuk menjadikan Ramadan sebagai pesta atau karnival makan-makan. Menjelang saja Ramadan, wujud pelbagai tempat pelbagai aktiviti tambahan seperti 'Pasar Ramadan, Bazar Ramadan, Pasar Minggu Ramadan, Gerai Ramadan dan Karnival Ramadan', seolah-olah bulan ini adalah untuk perhabis dari segi makan dan kegiatan membeli-belah.
**************************
Pelik sungguh, Ramadan adalah bulan puasa tetapi berdasarkan keghairahan kita mewujudkan pelbagai jenis pasar Ramadan ini, soal makan menjadi keutamaan bukannya puasa itu. Aktiviti 'makan-makan' tidak terhad tempatnya - daripada di gerai tepi jalan sampailah ke hotel lima bintang. Makanan pelik-pelik yang tiada pada bulan lain seperti tahi itik atau tepung pelita, tiba-tiba saja muncul untuk memenuhi selera 'orang berpuasa'.
**************************
Di masjid dan surau pula diadakan 'majlis makan' (moreh), biasanya selepas solat tarawih. Adalah digalakkan untuk mengadakan majlis sederhana tetapi yang menyedihkan ada pengurusan surau yang sanggup 'mengemis bantuan' kepada orang politik (wakil rakyat) bukan Islam semata-mata untuk membeli gula dan kopi. Di mana terletak maruah orang Islam jika untuk membeli kopi dan gula pun, mereka tidak dapat berdikari tetapi terpaksa 'meminta-minta' terutama daripada orang kaya bukan Islam?
***************************
Dalam suasana Ramadan ketika ini, di tepi-tepi jalan di sesetengah tempat, dibina gerai sementara yang menjual aneka barangan. Ada pula mendirikan bangsal untuk menjual daging lembu dan ayam. Semuanya seolah-olah menunjukkan fikiran dan tumpuan orang Islam hanya pada 'makan dan perhiasan saja'.
*****************************
Ada ulama menegur sesetengah umat Islam yang menjadikan Ramadan bulan pesta makanan serta membeli-belah dan tidak mempedulikan langsung untuk meningkatkan amalan masing-masing. Misalnya ada yang 'seronok' menjual daging lembu di bangsal di tepi jalan sehingga sehingga tidak mempedulikan solat waktu termasuk solat Jumaat. Mereka sanggup menjadi 'penunggu atau hamba lembu' siang dan malam.
**********************
Kita bimbang ibadat puasa umat Islam akan bertukar menjadi pesta haji seperti yang berlaku pada zaman Jahiliah. Sejarah haji yang bermula sebagai ibadah pada zaman Nabi Ibrahim a.s. dan anak baginda, Ismail a.s. akhirnya bertukar menjadi pesta selepas itu sebelum dikembalikan ke landasannya oleh Nabi Muhammad s.a.w.
*************************
Pada kemuncak maksiat pesta haji itu, pengunjung Baitullah melakukan tawaf dengan keadaan bertelanjang bulat. Kita bimbang jika kecenderungan buruk sesetengah anggota masyarakat kita tidak dibendung, ibadat puasa akan bertukar menjadi 'pesta-pestaan' yang terkandung pelbagai unsur negatif seperti menggalakkan amalan membazir, bercampur-gaul lelaki perempuan ketika majlis berbuka dan dicampur-adukkan dengan pesta hiburan termasuk nyanyian.
********************************
Apabila menyambut Aidilfitri pula, pelbagai amalan songsang seperti pesta-pesta hiburan menjadi 'trend' sesetengah orang yang mengaku beragama Islam. Semua amalan-amalan negatif ini perlu dibendung agar hukum-hakam dan syiar Islam sentiasa terpulihara manakala orang bukan Islam tidak memandang hina kepada Islam hanya disebabkan sikap buruk sesetengah penganutnya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment