Sunday, July 14, 2013
Jiwa muda terperangkap dalam badan tua...
********************
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
********************
Renungan
*********************
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
*************************
TIDAK lama dulu, rakan-rakan lama saya mengadakan satu majlis 'reunion' (perjumpaan semula). Ketika perpisahan puluhan tahun lalu, kami remaja yang menginjak ke usia dewasa. Pada pertemuan semula ini ada yang 'berkelakuan gila-gila' bagaikan remaja, hakikatnya kami adalah lelaki dewasa yang menginjak ke usia tua - 'dunia kata pergi, kubur kata mari!'
*********************************
Seorang rakan mendapat teguran daripada seorang lagi rakan di laman sosial, mengapa dia berlagak begitu. Jawapannya mencetuskan pelbagai reaksi. Ada yang merasakan lucu, tidak kurang mengambil sikap 'selamba' manakala ada menyatakan rasa meluat mereka kepada pengakuan bahawa; "well, I am a young man trapped inside an old body" (aku seorang muda yang terperangkap.dalam tubuh seorang lelaki tua).
***********************
Ada yang memberi komen: "Saya dari pusat ke atas saja nampak tua, dari pinggang ke bawah muda weh!" Berfikirlah dengan keras untuk memahami apa maksud 'mamat' ini!
****************************
Cis, sudah tua mengaku muda pula. Sudahlah tu, perhati dan telitilah bagaimana berbezanya 'rasa badan' kita ketika berusia 20-an dulu berbanding 50-an kini. Ada seorang bijak pandai merumuskan begini: "Oohh, alangkah malangnya nasibku ketika tua, ketika mataku diperlukan untuk dibuka (seperti di kelas pengajian masjid malah ketika solat) dia kerap tertutup pula (tidur) tetapi apabila diperlukan untuk ditutup pada dinihari (tidur) ia terbuka pula (terjaga).
**************************
Terlalu banyak perbezaan itu seperti pada waktu tua ini badan kerap terasa sengal-sengal manakala pelbagai 'penyakit tidak berjangkit' seperti kencing manis, darah tinggi, lemah jantung dan gaut mula menyerang menyebabkan seseorang itu tidak boleh lagi bermewah-mewah menikmati makanan sedap seperti durian, rambutan, hasil laut dan daging sebaliknya mungkin terpaksa berpuas hati dengan memakan bijirin, biskut dan roti kering saja! Ya, asyik-asyik bijiran dan roti kering walaupun wang dalam akaun bank bertimbun-timbun!
**************************
Pada bulan Ramadan mulia ini, ketika kita menjalani ibadah puasa, eloklah saya celoteh atau ingatkan pembaca terutama yang masih muda itu supaya mempergunakan sepenuhnya masa muda itu untuk melakukan ibadah semaksimumnya, yalah sebelum kamu menjadi tua. Ada sebuah hadis menyebut, pergunakan lima sebelum datang lima iaitu masa mudamu sebelum tuamu; masa lapangmu sebelum sibuk; masa beradamu sebelum papa, masa sihatmu sebelum sakit dan masa hidupmu sebelum mati.
****************************
Ya, banyak ibadat memerlukan tenaga; misalnya Ramadan ini untuk bertarawih 20 rakaat dan witir tiga rakaat, tidak boleh mata kita asyik-asyik nak tutup saja (tidur). Ramai orang tua larat melakukannya mengalahkan orang muda, tetapi banyak juga orang tua yang bukan saja tak larat untuk bertarawih dengan banyak rakaat itu (walaupun mereka berhajat melakukannya) tetapi untuk berpuasa pun mereka dah tak larat.
**************************
Apabila sudah tua, apatah apabila penyakit 'sudah datang', sukarlah kita untuk menunaikan ibadat dengan selesa. Misalnya, jika Allah SWT uji kita dengan 'kerap-kerap kencing' atau 'kencing tak tos' atau tak boleh kencing (kerana pembesaran prostat -atau ada batu karang, nauzubillah), tahulah kita tinggi rendah dunia ini. Demikian juga jika kita 'dianugerahkan' penyakit gaut, untuk bergerak sikit saja sendi-sendi rasa berbisa apatah lagi untuk berdiri lama dan berbongkok ketika solat. Kemudian, apatah lagi jika kita sudah terlantar di katil di rumah atau wad hospital. Untuk menunaikan solat waktu yang wajib itu pun ramai yang tak buat apatah lagi nak buat ibadat sunat.
*************************
Untuk menunaikan ibadah haji, seseorang itu juga perlu sihat tubuh badannya termasuk dari segi fizikalnya. Terlalu banyak aktiviti yang memerlukan pergerakan tubuh badan malah untuk berulang alik antara tempat kediaman dan Masjidilharam untuk solat waktu lima kali sehari semalam juga memerlukan kemantapan tubuh apatah lagi bagi menjayakan rukun dan wajib haji dan umrah seperti berwukuf di Arafah, bermalam di Mudzalifah dan Mina serta melontar di Jamrah.
*********************
Demikianlah, pergunakah masa muda untuk memaksimumkan ibadat kita. Namun sebagai manusia, kita (termasuklah diri penulis) sentiasa leka, masih mahu hidup berpegang kepada keyakinan salah seperti apa diungkapan sahabat lama saya: "I am a young man trapped inside an old body!"
*******************
Itulah ada orang bijak pandai berkata bahawa dalam kehidupan ini mudah benar seseorang itu tersadung; ketika kanak-kanak dan remaja, ilmu tiada pengalaman pun tiada jadi tersadunglah kita; kemudian apabila muda, tenaga banyak, ilmu dan pengalaman kurang maka tersadung juga kita; kemudian apabila sudah tua, ilmu dan pengalaman sudah banyak, malangnya tenaga sudah habis, maka akhirnya tersadung juga kita.
*********************
Ya, orang tua ini asam garam kehidupannya sudah banyak dilalui tetapi tenaga sudah habis, jadi bagaimana dia mahu hidup bagaikan seorang pemuda berusia 20-an? Demikianlah betapa kebanyakan manusia mahu kembali ke zaman silamnya tetapi semua itu adalah fantasi, tak mungkin semalam atau kelmarin akan kembali apatah lagi yang sudah berlaku 10, 20, 30, 40 atau 50 tahun lalu. Namun di akhirat nanti akan ditanya, di mana dan ke manakah usia muda itu kamu habiskan!
********************
Ilmuan agama sentiasa mengingatkan bahawa usah dikenang detik sudah berlalu, yang kita ada saat sekarang, pergunakanlah waktu ini sebaik mungkin untuk memperbanyak bekalan ke akhirat nanti. Esok usah difikir kerana belum pasti sang matahari akan muncul. Selamat menjalani ibadah Ramadan!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment