Saturday, June 29, 2013
Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran...
***************Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
*****************
Renungan
*******************
"Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan jual beli daripada mengingati Allah, dan daripada mendirikan sembahyang dan daripada mengeluarkan zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang hati dan penglihatan mereka goncang!" (Surah Al-Nur, ayat 37)
***********************
PERIBAHASA yang saya pilih sebagai tajuk celoteh kali ini bermaksud, keuntungan yang diharapkan tak didapati, sedangkan yang telah ada hilang pula. Itulah yang 'terbuai-buai' di hati saya tatkala pulang selepas menghadiri Perhimpunan 'Black Outout 505' di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada hari Sabtu, 22 Jun lalu.
***************************
Seperti perhimpunan bersejarah kebangkitan rakyat di Stadium Merdeka pada 12 Januari lalu (sebelum PRU13), peserta perhimpunan di Padang Merbok tidak dihadapkan dengan kehadiran anggota dan trak pasukan Unit Simpanan Persekutan (FRU) apatah lagi disemburkan dengan gas pemedih mata dan air kimia. Ketika berarak dari Masjid Negara ke Padang Merbok, kedengaran seorang peserta meneriak kepada seorang rakannya; "Tak 'trill' (tak ada cabaran)-lah, tak ada FRU; tak kena 'pancut'."
************************
Ya, pada ketika orang Cina dihadapkan dengan pertanyaan "apa lagi Cina mahu?" oleh pemimpin, akhbar, kumpulan dan puak rasis, pertanyaan yang sama mungkin boleh diajukan kepada Pakatan Rakyat; "apa lagi Pakatan Rakyat mahu?". Hakikatnya, Pakatan Rakyat sudah menang PRU13, hanya ia tidak dapat kuasa. Undi popular menunjukkan 51 peratus pengundi di seluruh negara memilih Pakatan Rakyat manakala tanpa Sabah dan Sarawak peratusannya lebih tinggi lagi. Amat ketara, Pakatan menguasai hampir semua kawasan bandar dan semi bandar di seluruh tanah air termasuk Sabah dan Sarawak.
****************************
Demikianlah, hampir seluruh penduduk bandar sudah bersama Pakatan; rakyat sudah memberikan 'bahagian' (undi dan sokongan) untuk memenangkan Pakatan Rakyat, jadi dengan kemenangan ini, pada pandangan saya yang kurang arif ini, sudah tiba masanya untuk pemimpin Pakatan Rakyat (terutama yang terpilih sebagai Yang Berhormat) membalas pengorbanan rakyat itu.
*******************************
Benar, kita boleh berterusan bercakap dan berdemonstrasi mengenai apa yang didakwa ketidakadilan dan penipuan dalam pilihan raya termasuk oleh pihak yang mengendalikannya seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR); tetapi melakukan demikian tanpa pelan tindakan dan tindakan bagi mengisi kemenangan bakal mengundang apa yang diungkapkan bijak pandai Melayu, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
**************************
Berdasarkan ucapan yang saya dengar pada perhimpunan antara kira-kira jam 2.00 hingga 6.00 petang di Padang Merbok tempoh hari; ada yang baik tetapi banyak juga yang 'merapu'! Demikianlah apabila diberi tempoh panjang (empat jam?) dengan terlalu ramai pengucap yang ada tidak diketahui latar belakang mereka (siapa-siapa agaknya), majlis menjadi hambar; banyak juga kata-kata yang tak baik dan manis diucapkan; bahkah akhbar-akhbar arus perdana mengecapnya sebagai lucah!
*********************************
Terfikirlah di otak saya, adakah saya yang datang dari jauh dan perlu berkorban untuk bermalam di Kuala Lumpur; berbaloi untuk mendengar kata-kata umpatan melampau sedangkan ada pihak menyatakan kehadiran peserta adalah bagaikan 'jihad'? Saya bimbang, perjuangan melalui demonstrasi ini, jika tidak diuruskan dengan betul pada jalan yang benar, akan perlahan-lahan menyimpang dan tersasar jauh.
*******************************
Perjuangan melalui demonstrasi, ada yang berjaya; saya mengambil contoh beberapa siri bantahan besar-besaran menentang pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di ibu kota Kuala Lumpur, akhirnya kerajaan tunduk membatalkannya, tetapi persoalannya, bagaimana kita mengisi kemenangan itu? Saya tidak nampak (maaflah jika saya jahil) usaha kita untuk 'mensinomimkan' ilmu sains dan matematik ini dengan bahasa Melayu. Adakah bangsa dan bahasa Melayu kini berada di laluan yang betul dan pantas untuk dimartabatkan sebagai juara dunia dalam bidang ini. Atau kita terus melupakannya semata-mata kita sudah berjaya? Apakah setakat berjaya dalam demonstrasi saja?
****************************
Berbalik kita kepada celoteh politik tadi; Pakatan Rakyat sudah menang tetapi belum dapat kuasa saja; sudah tiba masanya untuk kita berusaha keras mempertahan seterusnya mengisi kemenangan itu; jika tidak melakukannya sebaik mungkin, saya cukup bimbang, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran. Sebagai pemustautin di Melaka apatah lagi di Bukit Katil, sukacitalah saya mencelotehkan kemungkinan akan berlaku selepas kemenangan bersejarah KeADILan dan PAS di kubu kuat Umno dan Ketua Menteri Melaka ke-9, Mohd Ali Rustam.
*********************
Ya betul, Shamsul Iskandar Mat Akin daripada KeADILan (Pakatan) memberikan 'pukulan TKO' kepada Mohd Ali di Bukit Katil manakala calon PAS, Dr Mohd Khalid Kassim menang tipis di Dun Bukit Baru (dalam kawasan Parlimen Bukit Katil). Tetapi apa selepas ini? Daripada perbualan saya dengan orang-orang kampung, mereka sudah menunjukkan reaksi gelisah dengan Shamsul. Mereka bertanya, apa Shamsul buat? Mungkin Shamsul sudah membuat 'sesuatu' tetapi mereka sebagai orang kampung mahu melihatnya. Mereka mahu melihat dan menikmati hasil daripada kemenangan Pakatan Rakyat.
*************************
Mungkin dulu, sebagai pemimpin tiada kerusi, bolehlah Shamsul mengetuai bantahan di sana sini, memprotes itu dan ini tetapi kini sebagai 'pemimpin mempunyai kerusi'. pendekatan sebegini (termasuk demonstrasi) tidak meyakinkan penduduk; orang kampung pun tahu mengenai "action speaks lounder than words" atau "cakap biar serupa bikin." Mereka mula membanding-bandingkan Shamsul dengan Ali Rustam; mereka berkata Ali Rustam banyak jasanya kepada mereka (saya tidak bercakap mengenai ketelusan) seperti memberi pelbagai bantuan tetapi apa Shamsul dapat berikan kepada mereka? Benar Shamsul tiada peruntukan kerana Pakatan bukan pemerintah; tetapi siapa mahu faham?
***********************
Demikianlah; ini namakan 'politik kampung' yang menguasai hampir seluruh kawasan pedalaman di negara kita. Itulah punca Umno-BN menang besar. Umno-BN bijak memanfaatkan derita 'survival' (meneruskan kesinambungan hidup) kebanyakan orang miskin luar bandar; orang kampung tidak perlu kepada demonstrasi mengenai penipuan pilihan raya, rasuah dan sebagainya sebaliknya banyak keluarga memikirkan apa yang hendak diisi ke dalam perut anak-anak pagi ini, tengah hari dan malam nanti! Esok, minggu depan, bulan atau tahun depan, belum lagi dapat mereka fikirkan apatah lagi lima tahun lagi apabila PRU14 diadakan.
*************************
Kesimpulannya jika Pakatan mahu berkuasa (bukan setakat menang) PRU14, fikir dan bertindaklah untuk memenangi hati pengundi kampung dan luar bandar; di samping mengekalkan sokongan penduduk bandar dan semi bandar seperti Bukit Katil; jika tidak yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. PAS Negeri Sembilan sudah mendapat pengajaran, KeADILan dan PAS Melaka bagaimana?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment