Friday, June 21, 2013
Mak bapak tak solat macam mana anak nak solat?
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
************************
Renungan
**************************
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
*************************
PADA pertengahan tahun, kebiasaannya pengurusan sekolah mengundang ibu bapa untuk diserahkan atau menandatangani buku rekod (laporan prestasi) anak masing-masing. Saya tidak terkecuali, maka saya 'tunjuklah muka' di sekolah anak-anak. Selain di sekolah kebangsaan, kehadiran ibu bapa di sekolah agama rakyat (sesi petang) diperlukan.
*****************************
Suatu petang, di sekolah agama salah seorang anak, saya menunggu giliran untuk berjumpa guru kelasnya. Ada seorang ibu di depan saya manakala si ustaz sedang berbincang dengan seorang ibu muda yang di sisinya ada dua anak; seorang berpakaian sekolah agama manakala seorang lagi belum bersekolah agaknya.
**************************
Saya perhatikan si ibu begitu rancak menerangkan itu dan ini kepada si ustaz. Jarinya ditujukkan ke sana sini. Begitu ghairah sekali dia membincangkan hal anak-anak; sehingga saya lihat dia memberikan nombor telefon; mungkin bagi memudahkan si ustaz menghubunginya jika si anak bermasalah. Agak lama juga mereka berbincang; terpaksalah saya memujuk hati sendiri...bersabar, bersabarlah, insya-Allah akan tiba juga giliran saya.
**************************
Ketika 'sabar' menunggu itu, fikiran saya 'menyibuk dan jahat' pula (ya Allah, Kau ampunilah dosaku) untuk membuat analisis tentang si ibu muda yang sedang rancak berbual dengan ustaz. Dia bertudung tetapi berpakaitan T-shirt sendat dan singkat mempamerkan lengannya yang agak....itu. Selain itu dia mengenakan seluar ketat. Saya 'hairan' dengan penampilan si ibu muda ini di sekolah agama - duduk berhadapan dengan ustaz dengan berpakaian sebegitu.
**********************************
Mungkin dia seperti ramai juga wanita Muslim lain - berfikir menutup aurat itu cukuplah dengan memakai tudung tetapi tidak memandang berat anggota badan yang dibiarkan terbuka seperti lengan. Kadang-kadang wanita ini bertudung singkat atau berskaf saja mendedahkan leher dan bahagian atas dada. Ada pula yang berpakaian terlalu sendat termasuk mengenakan jeans ikut bentuk kaki malah ada yang memakai 'legging'. Bayangkanlah mengenakan pakaian melekap di tubuh tetapi di kepala ada tudung!
*****************************
Akhirnya tibalah giliran saya. Di belakang saya, tiada pula ibu bapa atau waris yang menunggu. Jadi bebaslah saya untuk bertukar-tukar pandangan dengan si ustaz. Ustaz ini bukanlah asing kepada saya. Saya kerap bertegur sapa dengannya tatkala 'terserempak' di masjid. Kerap juga beliau membawa anak-anak murid ke masjid untuk bersama-sama menyertai solat berjemaah atau mengajar mereka cara solat berjemaah secara praktikal.
*******************************
Saya memuji si ustaz dengan menghargai usahanya menunjukkan anak-anak untuk solat berjemaah. Ustaz berkata itu sudah menjadi tugas dan tanggungjawabnya - beliau menyatakan anak-anak sekarang ini cepat untuk menguasai ilmu; mereka juga cepat untuk menghafal tetapi apa yang dikesalkan kelemahan yang amat ketara ialah ketidak-cenderungan anak-anak untuk beramal dengan apa yang mereka sudah pelajari.
*********************************
Contoh cukup bagus, kata ustaz, adalah bab solat. Murid-murid telah diajar ilmu solat (fardu ain) sejak awal lagi, tetapi apa yang menjadi masalah, tidak mudah untuk membentuk anak-anak konsisten dalam solat. "Betul, kita bawa mereka ke masjid untuk tunjukkan cara praktikal solat berjemaah, tetapi itu tidak cukup untuk menanamkan sifat mengutamakan solat di kalangan anak-anak. Amalan di sekolah tidak cukup; apa ditunjukkan oleh ustaz dan ustazah tak memadai, ibu bapalah yang berperanan besar."
*******************************
Ustaz itu cukup sedih dengan sikap sesetengah ibu bapa berdasarkan jawapan anak murid apabila ditanya mengapa tak solat. Ada yang berkata: "Ustaz, mak bapak saya tak solat, jadi buat apa saya solat?" Sesetengah yang lain pula berkata: "Ustaz, mak bapak saya tak pernah suruh saya solat." Ada murid berkata: "Mak bapak saya pun tak pernah tanya saya sudah sembahyang ke belum."
*****************************
Bab solat ini satu hal; satu perkara besar lain adalah ada ibu bapa tidak kisah jika anak-anak tak ke sekolah agama. Ustaz itu memberitahu tidak semua murid daripada sekolah kebangsaan (beragama Islam) yang memasuki sekolah agama petang. Beliau menganggarkan hanya 90 peratus saja ke sekolah agama; yang lain itu ke mana mereka 'hanyut'?
******************************
Saya pernah bertanya budak-budak yang tidak pergi sekolah agama ini; antara jawapannya; "Mak mahu saya pergi tuisyen" dan "saya nak duduk UPSR tahun ini, jadi kena banyak studi kat rumah." Manakala di pihak ibu bapa ada yang berkata; "ehh tak tahulah, ingatkan budak tahun tiga baru 'start' sekolah agama" dan "susahlah, siapa nak hantar pada sebelah petang tu."
********************************
Berdasarkan rasa kebimbangan si ustaz di sekolah agama anak saya itu, saya percaya ada kebenaran satu kajian tidak lama dulu yang menyatakan 80 peratus daripada pelajar tidak solat atau tidak cukup lima waktu solat mereka. Perkara ini amat menyedihkan kerana solat itu tiang agama; tidak mendirikan solat bermakna runtuhlah agama.
*****************************
Hal solat ini begitu penting; daripada hampir 10 sesi pengajian dan ceramah Israk Mikraj yang saya ikuti baru-baru ini, semuanya ada menyentuh solat iaitu ibadah dan 'hadiah istimewa' yang kurniakan Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. ketika baginda Rasul menghadap Allah SWT ketika mikrajnya.
*******************************
Salah seorang penceramah berkata: "Tiada solat, tidak berjayalah seseorang itu sama ada dia doktor hebat, jurutera hebat ataupun peniaga hebat. Ya anak-anak, solatlah, kerana tiada solat apa saja kebaikan kita sama ada berpuasa setiap hari atau bersedekah selori wang ringgit semuanya tiada nilai di sisi Allah SWT. Semuanya tertolak dan kita dihumbankan ke neraka. Nauzubillah."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment