Tuesday, January 22, 2013

Wartawan bila nak berubah?

**************** Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. **************** Renungan *************** "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32 ***************** Bersyukur ke hadrat Illahi kita dipanjangkan usia, dapatlah kita memuzakarahkan isu semasa; kali ini kita ingin menyentuh pendekatan dua kumpulan kerjaya – polis dan wartawan - yang ada kaitan langsung dengan perhimpunan rakyat seperti Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) di Kuala Lumpur 12 Januari lalu. ***************** Berdasarkan pengalaman dan daripada laporan mengenai HKR, kita dapati pihak polis mempamerkan tindakan dan sikap yang jelas berbeza berbanding perhimpunan rakyat sebelum ini seperti Bersih 1, 2 dan 3, bantahan terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dan ISA. ****************** Kali ini kita perhatikan ‘ketiadaan’ anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang biasanya pada setiap perhimpunan rakyat akan bersiap sedia dengan meriam penyembur air kimia dan peledak gas pemedih mata. Kehadiran pasukan beruniform lengkap dengan perisai, cota dan ‘senapang peledak gas pemedih mata’ di samping trak mereka termasuk ‘black maria’, begitu menggetarkan orang awam. ******************* Sebaliknya apa yang orang ramai saksikan adalah anggota pasukan keselamatan yang sedia membantu rakyat seperti mengawal lalu lintas jalan dan laluan ke perhimpunan; sesetengahnya yang mengawasi persimpangan jalan mempamerkan senyuman dan bertegur sapa dengan peserta HKR. ***************** Kita menyambut baik dan mengucapkan syabas kepada perubahan yang dipamerkan oleh pihak polis (berdasarkan apa yang dilihat pada HKR) tetapi mempersoalkan ‘ketidak profesional’nya sesetengah wartawan terutama daripada akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris dalam membuat laporan mereka. Mungkin mereka telah membuat laporan yang ‘okay’ (menggambarkan suasana sebenar HKR) tetapi ‘laporan’ mereka telah ‘diputar-belitkan’ (spin) oleh pengarang. ***************** Sungguh mendukacitakan apabila pihak ini membesar-besarkan laporan kurang nilai berita (sepatutnya fokusnya adalah mengenai perhimpunan rakyat) seperti peserta perhimpunan membawa kanak-kanak, pekedai terpaksa menutup perniagaan dan sampah-sarap terbiar. Malah ada yang mencipta istilah sendiri yang tiada kena mengena dengan semangat kebangkitan rakyat seperti menggelar HKR ini sebagai perhimpunan Shamsidar (isteri Timbalan Presiden KeADILan, Azmin Ali) dan cuba dipopularkan TPM Muhyiddin Yassin. ****************** Nampaknya, di negara kita, keadaan berubah tetapi ada pihak termasuk media massa (terutama akhbar) tidak berubah. Mereka menunggu masa untuk rebah. Sewajarnya kejatuhan rejim diktator dunia terutama di dunia Arab seperti di Tunisia, Mesir dan Libya menyedarkan pihak tertinggi media massa ini bahawa pada era teknologi maklumat ini, rakyat tidak lagi dapat ‘dikelentong’. Mereka mempunyai akses kepada maklumat tepat dan terkini yang disiarkan melalui dunia maya. ****************** Perkembangan media massa di negara tetangga, Indonesia sewajarnya menjadi iktibar. Pada zaman revoulsi, media massa Indonesia berubah 360 darjah daripada prorejim Suharto kepada prorakyat. **************** Media terutama akhbar menyuntik dan menaikkan semangat rakyat untuk menuntut keadilan bagi semua. Suharto akhirnya tumbang bagi membolehkan pilihan raya yang dianggap telus diadakan membawa kepada kepada pemilihan tokoh seperti BJ Habibie, Gus Dur, Megawati dan kini Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) sebagai Presiden. ***************** Media massa negara ini tidak mahukah mengambil iktibar daripada peristiwa di luar negara ini? Nampaknya media massa ini begitu hebat dan terperinci dalam laporan dan paparan mereka mengenai kebangkitan rakyat di luar negara seperti di Mesir dan Tunisia yang terletak ribuan kilometer jauhnya tetapi tidak nampak langsung bangkai gajah (aneka penyelewengan, korupsi, salah tadbir, kenaikan harga barang) di depan mata? ****************** Ratusan ribu orang berhimpun pun tidak disedari bagi dirakam dan disiarkan gambarnya untuk tatapan pembaca sebaliknya mereka membesar-besarkan perkara remeh-temeh seperti kehadiran kanak-kanak dalam perhimpunan. Hanya satu pesanan untuk orang media – anda berubah atau anda rebah bersama-sama ‘tuan’ anda, Umno-BN!

No comments: