Friday, November 23, 2012
Tiga 'ta' pembinasa lelaki?
******************
Dengan nama Allah Yang Pemurah Lagi Maha Penyayang; salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
*****************
Renungan
*******************
“Sungguh Kami benar-benar akan menguji kamu sekalian agar Kami mengetahui orang-orang yang berjuang dan orang-orang yang sabar di antara kamu sekalian.” (Surah Muhammad:31)
******************
SAMA seperti sebelum ini, kedatangan tahun baru Hijrah (1434) disambut dengan pelbagai majlis terutama di masjid. Di masjid kampung saya ada majlis ceramah; satu perkara disentuh oleh si ustaz (usahlah saya nyatakan namanya di sini) mencuit hati saya untuk dicelotehkan.
***********************
Di ruangan ini, saya pernah celotehkan bahawa pengantin baru (lelaki) malah 'pengantin veteran' perlu ada tiga 'ras' untuk kebahagiaan rumah tangga yang berkekalan iaitu waras (berkaliber sebagai pemimpin rumah tangga yang sentiasa berfikiran matang), beras (kemampuan menyediakan nafkah kehidupan) dan keras (kesihatan yang baik); kali ini ustaz dalam ceramahnya mengutarakan tiga 'ta' yang katanya menjadi pembinasa lelaki.
*************************
Saya pun tertunggu-tunggu apakah 'ta' itu. Yang pertama kata si ustaz, 'takhta' iaitu kedudukan, pangkat dan kuasa. Orang yang gila 'ta' ini tidak pernah puas dengan kedudukan yang sudah diraihnya. Jika tiada kuasa, dia mahu kuasa, jika sudah ada jawatan dan kuasa dia mahu yang lebih tinggi lagi. Dia sentiasa lapar kuasa, mungkin dia mahu kedudukan setinggi langit. Dia akan buat apa saja untuk mendapatkan kedudukan ini - soal halal haram - tiada dalam kamus kehidupannya. Yang penting orang puji dan sanjungnya berdasarkan kedudukan, pangkat dan kuasa yang dia ada.
*********************
'Ta' kedua kata si ustaz, adalah 'harta'. Orang gila harta ini juga akan berbuat apa saja untuk memperbanyak kepunyaannya, halal dan haram tolak ke tepi. Harta ini adalah dalam pelbagai bentuk, yang paling penting adalah wang. Terlalu ramai orang gila wang, ada yang siang malam berhempas pulas bekerja kerana mahukan wang yang banyak. Mereka akan gembira melihat angka besar wang mereka dalam bank. Dengan melihat angka saja mereka rasa senang, tidakkah itu gila namanya.
****************
Mengenai 'gila harta' ini, Nabi kita (s.a.w.), ada memberi amaran dalam sebuah hadisnya yang bermaksud: "Andaikata anak cucu Adam (manusia) memiliki dua lembah emas, nescaya dia tetap menginginkan lembah (emas) yang ketiga, dan tidaklah penuh perut anak cucu Adam melainkan tanah, dan Allah memberi taubat kepada orang yang mahu bertaubat (kepada-Nya)." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
*********************
Ustaz itu memberitahu 'ta' ketiga adalah wanita. Ramai lelaki yang nampak perkasa dengan mudah tewas dengan wanita yang lemah lembut sifatnya. Ramai raja, pahlawan, 'spy' (pengintip) malah ada ahli agama tersungkur di kaki wanita. Dengan pujuk rayu wanita sudah cukup untuk mencairkan hati lelaki, semuanya akan digadaikan termasuklah takhta dan harta. Inilah pembinasa lelaki paling hebat.
********************
Dalam satu lagi ceramah yang saya dengar, si ustaz memberitahu perihal kelemahan orang lelaki dan wanita. Katanya, wanita cukup mudah tewas dengan harta kekayaan seperti assesori kehidupan seperti emas permata. Longgokkanlah harta di depan mereka, hati mereka akan cair. Orang tua ganyut yang meminang pun akan diterima asalkan dia berharta dan berkuasa. Cubalah orang tua tiada harta, tiada kuasa dan kedudukan mahu menyunting, mahukah mereka?
*********************
Jika perempuan lemah pada godaan harta benda, orang lelaki pula mudah tewas dengan perempuan, kata ustaz itu. Orang tua keriput yang berkuasa jika sudah kahwin orang muda, akan didengar dan diikuti saja kehendak isteri mudanya. Disepak dan diterajang oleh si isteri pun tak apa; bagi orang lain itu satu penghinaan, bagi si tua bangka tak sedar diri mungkin ia suatu keseronokan pula...syoknya kena sepak kerana yang melakukannya si intan payung cantik jelita daripada orang asing berbangsa mulia pula.
*******************
Berkenaan 'takhta' (kedudukan, pangkat dan kuasa) ketika membaca laporan mengenai Muktamar PAS ke-58 di Putik, Kelantan yang berlangsung pada 16-18 November lalu, hati saya tersentuh membaca pengakuan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa beliau senang sekali kembali menjadi nelayan ketika pelbagai pihak sibuk memperkatakan siapa akan menjadi perdana menteri jika Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya.
*****************
Ya, kedudukan, pangkat dan kuasa tidak wajar dikejar; itu bukan matlamat orang beriman; bagi mereka kehadiran di dunia ini adalah untuk mendapatkan keredaan Illahi semata-mata. Namun bagi orang yang tidak mengejar dunia, dunia akan mengejarnya pula. Itulah kedudukan, pangkat dan kuasa akan diberikan kepada mereka. Pada ketika itu, ia menjadi amanah dan inilah yang ditakuti oleh insan beriman.
******************
Seperti diperkatakan si ustaz pada awal celoteh, 'ta' (takhta) adalah pembinasa lelaki, namun jika 'ta' ini digunakan dengan ikhlas untuk mendapatkan reda Illahi, insya-Allah tugas berat yang dipikul ini akan sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah SWT. Demikian juga dengan dua 'ta' lagi iaitu harta dan wanita jika ditangani semata-mata kerana Allah Taala, insya-Allah akan membawa kita ke syurga-Nya.
*****************
Sepanjang sejarah Islam, ketiga-tiga 'ta' ini telah digunakan bagi mengapai keredaan Illahi. Dengan 'taktha', telah ditegakkan negara Islam Madinah, dengan adanya 'harta', Sayidina Abu Bakar r.a. telah menunjukkan contoh apabila mendermakan seluruh miliknya untuk jihad fisabillah manakala dengan adanya wanita serikandi seperti Sayidatina Khadijah Khauwalid, Sayidatina Fatimah Rasulullah dan Sayidatina Aishah Abu Bakar telah membantu menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.
*****************
Mereka berdiri kukuh di sisi suami, bapa atau saudara mereka dalam perjuangan menegakkan Islam. Terbukti tiga 'ta' itu (takhta, harta dan wanita) jika dipimpin di jalan benar, semuanya adalah penyumbang ke arah syurga Allah, jika disalahgunakan akan menjerumuskan seseorang lelaki ke neraka Illahi!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment