Tuesday, November 13, 2012

Presiden AS perlu matang hubungan dengan dunia Islam

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Nafsu itu benar-benar suka menyuruh yang buruk, kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku." (Yusuf 12:53)
Sama ada Barack Obama (Demokrat) mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden Amerika Syarikat buat sepenggal lagi atau Mitt Romney (Republikan) menjadi Presiden ke-45, peneraju negara yang mendakwa kuasa tunggal dunia itu, perlu matang dalam hubungan dengan umat, negara dan dunia Islam.
Ini kerana perkembangan terkini di dunia Arab seperti di Mesir, Tunisia dan Libya menyaksikan pemimpin dan parti bernaunsa Islam menerajui kuasa selepas berlaku kebangkitan rakyat manakala di rantau lain seperti di Xinjiang (China), Kashmir (India), Chechnya (Rusia), Mindanao (selatan Filipina) dan Rakhine (Myanmar) umat Islam berterusan ditindas dan dizalimi walaupun dilaporkan sudah diusahakan pelan damai di wilayah bergolak seperti Mindanao yang membabitkan bansa Moro.
Pastinya dalam mendepani isu Palestin dan Israel, Amerika tidak dapat lagi meneruskan lagak lama kerana negara sekutunya seperti Mesir tidak lagi diterajui pemimpin terlalu pro-Amerika seperti Hosni Mubarak. Sebaliknya Mesir kini diterajui Dr Mohamad Morsi yang mempunyai kaitan kuat dengan Ikhwanul Muslimin yang dizalimi Mubarak. Diharapkan Presiden Amerika tidak mengulangi kesilapan Presiden ke-43, George W Bush yang menyumbang kepada kemusnahan Iraq dan kehancuran Afghanistan. Sebaliknya, Presiden Amerika diharapkan dapat menyumbang dalam menjadikan dunia tempat aman untuk didiami seluruh insan.
Dulu Obama diharapkan dapat member sinar kepada hubungan AS-dunia Islam selepas membuat ucapan memberangsangkan dan bersejarah di Kaherah, namun hakikatnya adalah sebaliknya. Obama terlalu pro Israel hinggakan melantik anak seorang militan Zionis Israel, Rahm Emanuel sebagai Ketua Staf (Chief of Staff)nya. Emanuel, bekas penasihat Bill Clinton, adalah anak seorang pemimpin Irgun (Etzel atau IZL), sebuah kumpulan militan Zionis yang bergerak di Palestin pada 1931-1948. Apabila tokoh Yahudi sudah menguasai Obama, apakah yang dapat diharapkan daripada lelaki ini untuk membawa keamanan di dunia, khususnya di Timur Tengah?
Sejarah merakamkan bahawa tentera Amerika yang hebat dan sofistikated itu tidak pernah terbabit dalam peperangan di negara sendiri sebaliknya menunjukkan kejantanan dan membasahi darah bumi yang jauh seperti Timur Tengah, Afghanistan dan Vietnam. Namun, kuasa Ilahi tidak mampu dihalanginya; kini taufan Sandy telah menghuru-harakan negara itu. Dunia menanti pemasyhuran Presiden Amerika dengan penuh harapan, moga-moga beliau dapat menjadikan dunia lebih aman, namun pemimpin negara umat Islam tetap menunjukkan reaksi berhati-hati. Obama malah presiden terdahulu seperti Bush Jr dilaporkan cuba memahami Islam termasuk mengadakan majlis berbuka puasa untuk sejumlah pemimpin umat Islam, persoalannya aspek Islam mana yang difahami oleh mereka.
Jika Bush melabelkan orang Islam sebagai pengganas selepas serangan ke atas WTC, Obama mengambil sikap lebih berhati-hati, dan diharapkan Presiden baru Amerika lebih matang dalam menghadapi isu membabitkan umat dan dunia Islam. Hari ini berdasarkan perkembangan semasa, dunia terus dihantui keganasan bukan dilakukan oleh orang Islam ke atas orang bukan Islam bagi melayakkan mereka dicop sebagai 'pengganas Islam' seperti dilabel Bush, tetapi kezaliman yang semakin menjadi-jadi ke atas umat Islam.
Contohnya amat jelas, rejim Israel semakin ganas ke atas umat Islam Palestin, rejim Moscow makin ganas ke atas umat Islam Chechnya, rejim Beijing semakin ganas ke umat Islam Xinjiang dan yang terbaru keganasan rejim Myanmar (Burma) ke atas orang Islam Rohingya. Sehubungan itu, diharapkan Presiden Amerika dapat memahami umat dan dunia Islam dan bagi orang Islam sempena kedatangan tahun baru Hijrah, marilah kita bersama-sama berdoa agar Presiden Amerika tidak lagi melumurkan tangannya dengan darah anak-anak di dunia Islam seperti Afghanistan, Palestin dan Iraq seperti dilakukan Bush laknatullah.

2 comments:

mr edz said...

buku tuan sudah saya terima. terima kasih. semoga tuan sihat hendaknya. Insyaallah

Lanh Sr. said...

barakallah fi kum...