Sunday, November 11, 2012

Haji berperananlah sebagai utusan kebenaran , bukan utusan Melayu

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan "Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
SELAMAT pulang diucapkan kepada kira-kira 28,000 jemaah haji Malaysia; semoga dikurniakan Allah SWT haji mabrur yang tiada balasannya kecuali syurga.
Haji mabrur amat mulia dan berharga, untuk memperolehinya menjadi harapan setiap orang beriman. Dalam hubungan ini Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud; "Dari umrah ke umrah adalah penghapus dosa di antara kedua-duanya. Dan haji mabrur tiada balasannya kecuali syurga. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Seseorang haji dan hajah perlu bertanggungjawab dan berusaha keras memastikan ibadah hajinya itu kekal mabrur (yang diterima) sepanjang hidupnya. Seseorang haji dan hajah sewajarnya mengekalkan peranannya sebagai utusan kebenaran dan menjadi model kepada masyarakat.Namun apa dikesali masih ada haji dan hajah yang mahu berterusan menjadi utusan atau penyambung lidah orang Melayu yang sikap mereka kadang-kadang tidak sejajar dengan kehendak Islam.Amalan dan sikap buruk sesetengah Melayu seperti percaya kepada hal karut marut (termasuk khurafat dan perbomohan), enggan menambah ilmu, fitnah memfitnah dan mutakhir ini mempertikai dan mempermain-mainkan hukum Allah SWT seperti hudud perlu dibanteras oleh semua Muslim apatah lagi di kalangan mereka bergelar haji dan hajah.
Haji dan hajah adalah utusan kebenaran; mereka perlu sentiasa menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan sebaliknya tidak membabi buta menjadi utusan (rasul) Melayu yang kerjanya hanya mahu memenangkan ‘tuannya' sekalipun terpaksa melanggar perintah Allah seperti mempersenda-sendakan hukum hudud atau menggunakan pihak lain untuk melakukannya. Mereka akan melakukan apa saja bagi mencapai matlamat termasuk menang pilihan raya untuk kekal berkuasa dulu, kini dan selamanya, sekalipun terpaksa menghina agama sendiri.Setiap Muslim, apatah lagi yang bergelar haji dan hajah perlu mengetahui bahawa mengamalkan Islam sepenuhnya dan menegakkan segala hukum-hakamnya menjadi tanggungjawab mereka.Apabila dinyatakan mengamalkan Islam sepenuhnya, ia bermaksud menjadikan al-Quran dan hadis sebagai panduan hidup dalam semua bidang kehidupan.
Ia bukan sahaja dalam soal ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji seperti difahami sesetengah pihak tetapi merangkumi segala-galanya - daripada soal dipandang remeh temeh kepada urusan mengatur masyarakat seperti politik (termasuk pilihan raya), muamalat dan perundangan.Dalam urusan masyarakat hari ini banyak perkara termasuk hukum-hakam disandarkan kepada undang-undang ciptaan manusia. Manusia memilih untuk melaksanakan perintah Allah dalam perkara yang dirasakan menguntungkan dirinya sebaliknya menolak yang difikirkan tidak menguntungkan.Perhatikan, misalnya bagaimana penerimaan seseorang Muslim itu terhadap perintah menjalankan hukum qisas (ayat 178 Surah Al-Baqarah) dan perintah berpuasa (ayat 183 Surah al-Baqarah). Kedua-dua ayat bermula dengan, “Wahai orang-orang beriman...” namun mengapa perintah berpuasa dijalankan dengan senang hati sedangkan qisas disertakan dengan 1,001 alasan.
Pesanan Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi melalui buku 'Panduan Untuk Jemaah Haji dan Umrah serta Pengunjung Masjid Rasul' (diberikan kepada semua jemaah haji) yang menegaskan perkara-perkara yang membatalkan Islam, perlu dihayati.Selain syirik iaitu mempersekutuan Allah yang dianggap kesalahan terbesar, turut disenaraikan perkara batil ialah berkeyakinan bahawa petunjuk lain daripada Nabi s.a.w. adalah lebih sempurna atau berkeyakinan bahawa hukuman yang lain daripada hukuman Nabi s.a.w. lebih baik seperti mereka yang mengamalkan peraturan thaghut (aturan manusia yang melampaui batas dan menyimpang daripada hukum Allah) dan mengenepikan Rasulullah s.a.w. Maka orang yang berkeyakinan seperti itu adalah kafir.
Sebagai contoh;
a) berkeyakinan bahawa peraturan atau perundangan yang dibuat oleh manusia lebih utama daripada Syariat Islam; atau perundangan Islam tidak sesuai dilaksanakan sekarang; atau Islam adalah sebab kemunduran umat Islam; atau Islam hanya mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya sahaja dan bukan urusan kehidupan dunia.
b) Berpendapat bahawa melaksanakan hukum Allah seperti melaksanakan hukum hudud, memotong tangan pencuri dan merejem penzina yang telah berkahwin (muhsan) tidak sesuai lagi pada masa kini.
c) Berkeyakinan bahawa dibolehkan untuk mengamalkan perundungan yang lain daripada Syariat yang diturunkan oleh Allah SWT sama ada dalam hukum muamalat (perdagangan) atau dalam melaksanakan hukum hudud (jenayah) atau lainnya sekalipun tidak disertai dengan keyakinan bahawa hukum-hukum tersebut lebih utama daripada Syariat Islam kerana dengan sedemikian, ia telah menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah WT menurut ijmak (kesepakatan) ulama.
Setiap orang yang menghalalkan perkara yang sudah jelas dan tegas diharamkan oleh Allah SWT dalam agama seperti zina, arak, riba dan melaksanakan perundangan yang lain daripada Syariat Islam adalah kafir menurut kesepakatan umat Islam.Perkara lain yang boleh membatalkan Islam ialah membenci sesuatu yang telah ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai Syariat walaupun ia mengamalkannya. Dengan melakukan demikian dia telah menjadi kafir, kerana firman Allah SWT yang bermaksud: "Demikian itu adalah kerana mereka benci terhadap sesuatu yang diturunkan Allah, maka Allah menghapuskan (pahala) segala amal perbuatan mereka."
Selain itu, mempersendakan Allah SWT atau Kitab-Nya, atau Rasulullah s.a.w. atau sesuatu daripada ajaran agama, maka dia telah menjadi kafir, kerana firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Adakah terhadap Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu sekalian memperolok-olok? Tiada ertinya kamu meminta maaf kerana kamu telah kafir setelah beriman."

No comments: