Sunday, September 2, 2012

Merdekakan diri daripada perasan ‘aku sentiasa betul’

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ************** Renungan ***************** "Maka barangsiapa yang derhaka dan mengutamakan hidup di dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat diamnya. Adapun orang yang takut akan kebesaran Tuhannya dan menahan dirinya daripada hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat diamnya." - Q.S An-Nazi'at 37-41 ***************** SEPANJANG hidup saya yang menjangkau usia 50 tahun ini, ada beberapa kali orang menegur cara solat saya. Beberapa tahun lalu, seorang jemaah memberitahu sebutan ‘la-dzii’ (swi-raa-twal la-dzii-na an-‘am-ta ‘a-lai-him) yang saya baca ketika mengalunkan al-fatiHah tidak tepat, bacaannya adalah nipis, saya telah membuat kesalahan di situ, katanya. **************************** Saya terima tegurannya dengan besar hati, dia mengajar saya menyebut bacaan itu beberapa kali. Katanya, jika saya tersilap sebut, maknanya dikhuatiri sudah lari, akibatnya sangat berat sehingga solat boleh jadi tak sah. Namun, Allah itu Maha Pengampun, ada ruang untuk Dia memaafkan perbuatan tidak sengaja atau kerana kejahilan seseorang. **************************** Seorang jemaah pernah menegur bacaan saya agak kuat, boleh mengganggu jemaah di sebelah. Kemudian ada menegur, duduk tahiyat akhir saya agak terbuka, ada kemungkinan aurat terdedah. ******************** Ya, dalam menjalani kehidupan pada mulanya, memang sukar untuk saya menerima teguran, tetapi secara beransur-ansur hati ini dijinakkan untuk mengakui bahawa diri ini sebenarnya begitu banyak kelemahan dan kesilapan, hanya kita sendiri perasan atau syok sendiri kita yang terbaik dan berada di jalan betul sedangkan banyak hal yang kita lakukan adalah tidak betul. ************************* Kita tidak nampak kesalahan sendiri, kita perlukan orang lain menegur kita. Orang yang menegur itu sebenarnya sayang kepada kita, dia mahu kita selamat di akhirat sana (termasuklah kehidupan di dunia ini), malangnya tidak ramai yang bersedia menegur atau ditegur. Ramai tahu kesilapan kita tetapi tiada kesanggupan menegur. Ini kerana mereka bimbang bahananya kerana ramai orang melenting apabila ditegur. ************************** Semua orang membuat kesilapan (peribahasa Melayu berbunyi ‘bumi mana yang tidak ditimpa hujan’) dan yang terbaik adalah orang yang mengaku kesalahannya dengan meminta ampun kepada Allah SWT dan meminta kemaafan sesama manusia. *********************** Setiap orang yang mengaku dirinya banyak melakukan kesalahan dan dosa berada di jalan benar sebab itu ada doa berbunyi: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar kata-kataku, Melihat tempatku berada, Mengetahui perkara yang rahsia dan yang nyata daripadaku dan tiada sesuatu pun urusanku yang tersembunyi daripada pengetahuan-Mu. ****************************** “Aku adalah hamba-Mu yang hina dan serba kekurangan, yang sentiasa mengharapkan pertolongan dan perlindungan, cemas dan takut serta mengakui segala dosaku di hadapan-Mu. Aku memohon kepada-Mu umpama si miskin yang meminta-minta, aku juga tunduk di hadapan-Mu sebagai orang berdosa dan hina. Aku memanjatkan doa kepada-Mu umpama orang yang dicengkam rasa takut dan bahaya sebagai hamba yang patuh dan tunduk di hadapan-Mu...” *************************** Kalau kita hayati doa Rabiatul Adawiyah lagi mengharukan...ya Tuhanku, aku tidak layak dengan syurga-Mu tetapi aku tidak sanggup menahan azab neraka-Mu... ************************** Kebalikannya, jika kita terus mengaku diri kita sentiasa betul walaupun ada orang pernah menegur, dikhuatiri kita berada di jalan salah. Amat dibimbangi jika kita membawa bersama sikap itu sehingga tanah memasuki mulut kita (matilah). ********************** Dalam tafsiran Surah Al-A’raf, 7: 8 ada dinyatakan: “Allah menerangkan dialog penghuni A’raf dengan penghuni neraka yang terdiri daripada orang-orang yang sombong dan takabur pada masa hidup di dunia. Orang-orang yang merasa mulia kerana kekayaan dan hartanya yang banyak, merasa bangga hidup di dunia, memandang hina orang-orang mukmin yang miskin dan lemah kekuatan dan lemah, iaitu lemah kekuatan dan lemah kedudukan, dan sedikit pengikutnya. Mereka selalu membanggakan bahawa siapa yang hidup kaya dan mulia, serta berkuasa di dunia, itulah orang-orang yang akan berbahagia di akhirat dan terhindar daripada azab Allah.” (Syaamil Al-Qur’an, The Miracle, Departmen Agama RI, ms 310) ************************* Berdasarkan keterangan ini, fahamlah kita mengapa ada tokoh pelbagai bidang termasuk politik yang pernah berkuasa puluhan tahun sentiasa berfikir dia betul dan enggan menerima teguran. Dia saja betul, orang lain salah. ************************ Sempena sambutan kemerdekaan negara kita ke-55 tahun ini, marilah semua (termasuk penulis) memerdekakan diri daripada ‘perasan’ atau ‘syok sendiri’ “aku sentiasa betul.” Marilah kita berubah termasuk berlapang dada menerima teguran, yalah, sebelum ‘tanah memenuhi mulut kita’.

No comments: